Memaparkan catatan dengan label Rancangan TV. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rancangan TV. Papar semua catatan

29 Mac 2011

Siri Cerita Rakyat 2: Animasi TV Gagak Yang Bijak

Ramai Sang-Sang Gagak yang meluahkan perasaan kurang senang terhadap entri saya berkenaan asal-usul mereka sebelum ini (sila klik di sini: Mengapa Gagak berwarna hitam? untuk membacanya). Tidak kurang juga yang marah-marah. Pada hujung minggu lepas, Gagak-Gagak datang membuat bising di hadapan rumah saya pada waktu pagi sampaikan saya nak sambung balik tidur pun tak boleh.

Akhirnya, untuk menenangkan mereka, saya berjanji kepada Gagak-Gagak tersebut yang saya akan menulis satu entri baru yang menceritakan tentang kebaikan ataupun kelebihan Gagak ini, berbanding dengan unggas-unggas yang lain.


"Apa ni bang. Segalanya yang negatif semuanya dikaitkan dengan kami. Kami pun ada juga ciri-ciri positif", salah seekor Gagak yang mencurahkan perasaan dari hati ke hati kepada saya.

Semasa saya kecil, hampir setiap petang saya menonton TV. Ketika itu Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM) selalu menayangkan siri animasi kartun pendek berkisarkan kehidupan haiwan di Malaysia. Objektif utama tayangan animasi kartun tempatan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak khasnya, dan rakyat Malaysia, amnya.


Pasti anda selalu ternampak logo Sang Harimau yang sedang menerkam ini. Inilah dia logo Jabatan Filem Negara Malaysia.

Kadang-kadang, nak mengajar orang dewasa tentang nilai-nilai murni ini jauh lebih sukar dari mengajar kanak-kanak. Rebung sudah bertukar menjadi rebung.

Berbalik kita kepada Sang Gagak tadi. Jabatan Filem Negara Malaysia pernah suatu ketika menerbit dan menayangkan satu siri animasi pendek yang menceritakan tentang kesabaran dan kebijaksanaan seekor Gagak dalam menyelesaikan masalah seharian. Jika anda ingin menontonnya, klip videonya ada saya lampirkan di bawah. Selamat menonton.


Saya sungguh mengagumi Sang Gagak dalam cerita di atas. Beliau kelihatan sungguh "cool" sekali. Sumber video You Tube: Aredown


Dua tahun yang lepas, ketika saya pun sudah dewasa, saya ada terbaca satu strip kartun di Majalah Ujang yang mengisahkan tentang dua ekor Gagak yang cuba untuk meminum air dari bekas jag air yang muncungnya sempit. Jalan ceritanya saling tidak tumpah seperti animasi Filem Negara Malaysia yang baru anda tonton tadi.

Gagak 1: "Nasib baik kita jumpa bekas jag air ni. Dahaga betul rasanya"

Gagak 2: "Syukur. Eh, awak nak pergi cari apa tu?"

Gagak 1: "Nak pergi cari ketul batu lah. Kalau tak masukkan batu dalam jag air ni, macam mana paras air nak naik? Macam mana kita nak minum? Muncung kita tak sampai..."

Gagak 2: "Tak payah cari ketul batu. Tak bersih lagipun. Jom ikut aku".


Ke mana kedua-dua ekor Gagak ni nak pergi? Rupa-rupanya....


Gagak 2: "Dah sampai dah kat kedai mamak ni. Macha, mintak straw dua!"

Gagak 1: "Iya tak ya jugak. Pakai straw aje kan senang...."


Burung Gagak pun sudah kreatif dan mempunyai daya fikiran berinovasi pada zaman sekarang. Jadi, kepada semua Gagak yang akan bertandang ke rumah saya lagi pada minggu ini, saya sudah tunaikan janji saya. Tolong jangan marah-marah lagi kat saya ye.

Dan kepada pembaca di luar sana, kalau ada Sang Gagak yang ingin menumpang pinjam PC anda untuk melayari blog saya kerana hendak membaca entri berkenaan dengan Gagak, silalah bagi pinjam sekejap ye. Kasihan kat diorang...


"Abang, boleh tak saya pinjam pakai PC tu kejap? Nak surf internet sebab nak baca blog tentang saya lah bang. Boleh ye bang? Ala boleh lah...". Sumber gambar: Monkeyc.net



19 Disember 2010

Moero Attack


Pada tahun 1989, kemunculan sebuah siri drama alih-suara dari Jepun telah meletuskan satu fenomena baru di kalangan kanak-kanak dan remaja muda ketika itu. Saya yang masih belajar di Darjah 4 sekolah rendah pun turut terikut-ikut sedikit dengan impak sosial yang dicanangkan oleh siri Jepun tersebut. Entah macam mana, semua kanak-kanak (tak kira lelaki dan perempuan) secara tiba-tiba suka dan minat bermain bola tampar (volleyball) ketika itu. Badminton dan bola sepak tenggelam sekejap. Kuat betul pengaruh siri alih-suara ciptaan Shotaro Ishinomori dari Jepun ini.

Poster drama aksi sukan Moero Attack. Tapi tak dapat pula cari poster berbahasa Melayu. Rasanya memang tak wujud pun. RTM buat terjemahan untuk skrip drama saja. Bahasa poster diorang tak terjemahkan ke Bahasa Melayu.

  
Dengan ini saya mempersembahkan anda kepada siri "Moero Attack". Drama sukan ini mula ditayangkan di Jepun seawal Januari 1979 (saya belum lahir lagi pada masa tersebut) sehingga Julai 1980 (saya dah lahir dah). Moero Attack mengisahkan seorang gadis Jepun bernama Kojika Joon yang mengejar cita-citanya untuk menjadi pemain skuad kebangsaan bola tampar negara Jepun.

Kojika Joon, pelakon merangkap hero dalam drama Moero Attack. Kenapa  saya sebut Kojiko sebagai hero, tak dipanggil sebagai heroin? Sebab dalam drama ni, asyik bercerita pasal pemain bola tampar wanita sahaja. Pelakon lelaki langsung tak menonjol. Watak hero lelaki hampir tidak wujud. Jadi lebih baiklah Cik Kojiko ini kita anggap secara automatik sebagai hero. Arigato guzaimas!

Setelah dialih-suara ke Bahasa Melayu untuk ditayangkan di Malaysia, nama "Kojika Joon" dipanggil dengan sebutan "Kojika Chun". Kalau anda masih ingat, betul tak? Dalam drama tu, semasa bermain bola tampar khususnya ketika hendak melakukan pukulan spike, mesti ada dialog macam ni: "Chun! Summersault!" Jadi selepas ini saya akan gunakan nama Chun sebagai ganti nama kepada Kojika Joon.


Saya tahu anda mesti tak puas hati bila tengok gambar Chun yang dalam mode hitam putih kat atas tu. Ini gambar Chun yang berwarna. Hait!

Berbalik kita kepada tunjang drama sukan bola tampar ini. Chun ingin menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihat beliau mewakili Jepun dalam acara bola tampar di temasya Sukan Olimpik. Ibu Chun telah meninggal dunia semasa Chun masih bayi lagi dan tak tahu apa-apa langsung tentang sukan bola tampar. Walaupun Chun tidak mengenali ibunya, beliau mendapat tahu tentang sejarah dan latar belakang ibunya melalui Pengurus Pasukan Bola Tampar Shirafuji. Tuan Pengurus ini adalah sahabat baik kepada ibu Chun masa muda-muda dulu. Tak tahulah lah pula ke mana perginya ayah si Chun ni. 

Pengurus pasukan Shirafuji. Minta maaf sebab tak ingat nama beliau. Watak Tuan Pengurus ni agak serius dan beliau boleh dikatakan kedekut dalam melontarkan senyuman kepada sesiapa sahaja.
   
Ibu Chun telah mewasiatkan sebuah buku lama yang mengandungi lakaran taktik-taktik akrobatik dalam bermain bola tampar kepada Chun. Macam mana nak buat semua taktik-taktik tu, itu Chun kena fikir sendiri. Banyak kali jugalah Chun terpaksa bertapa seorang diri dalam gelanggang dewan bola tampar yang kosong dan tidak berpenghuni untuk mempelajari ilmu-ilmu tersebut. Anda jangan ingat nak menuntut ilmu seni mempertahankan diri saja yang kena bertapa. Main bola tampar pun kena bertapa juga tau.

Ini bukan bertapa, tapi ini adalah kedudukan bersedia untuk mengambil dan
membalas pukulan pihak lawan dalam permainan bola tampar.


Sebelum layak dipilih sebagai salah seorang pemain skuad kebangsaan Jepun, Chun telah mewakili pasukan Shirafuji dalam Liga Bola Tampar Jepun. Pasukan ini antara pasukan yang terhandal dalam liga tetapi selalu ditewaskan oleh satu pasukan senior. Saya tak ingat nama pasukan senior tersebut, tapi pemainnya memakai jersi warna hijau dan putih. Pasukan Shirafuji memakai jersi berwarna merah dan putih (warna bendera Nippon).

Pemain-pemain pasukan Shirafuji


Bagaimana saya boleh katakan yang siri Moero Attack ini begitu banyak mempengaruhi kanak-kanak ketika itu? Jawapan yang paling tepat sekali adalah kerana Moero Attack menampilkan pelbagai aksi-aksi akrobatik pemain-pemain bola tampar wanita, khususnya Chun kesayangan anda itu lah. Kadang-kadang bila difikirkan kembali, terutamanya bila anda yang sudah dewasa sekarang, kebanyakkan aksi akrobatik itu terlalu melampau dan tidak  masuk akal langsung untuk dipraktikkan dalam permainan bola tampar. Kalau kesemua teknik itu boleh dilakukan, pasti pingat emas acara bola tampar sudah berada dalam genggaman skuad Jepun setiap kali temasya Sukan Olimpik. Ternyata kita semasa masih di peringkat kanak-kanak, mudah ditipu dan tertipu oleh cerita-cerita sebegini. Teknik atau aksi yang dipertontonkan juga merbahaya untuk ditiru oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. Dalam konteks ini, RTM gagal untuk menyampaikan mesej atau pesanan amaran "JANGAN MENIRU AKSI SEPERTI INI DI RUMAH" sepanjang siri ini disiarkan di kaca TV.

Pelbagai teknik akrobatik bermain bola tampar dipertontonkan dan diperhalusi dalam Moero Attack. Setiap pemain dari pasukan yang berlainan mempunyai taktik yang unik dan tersendiri (sila rujuk klip video di bawah). Aksi-aksi sebeginilah yang selalu menjadi ikutan kanak-kanak semasa bermain bola tampar. Memanglah tak boleh buat, tapi ketika bermain, mesti akan terkeluar jeritan berupa dialog yang ditiru dari cerita Moero Attack tu. Konon-konon boleh buat lah...


Pukulan spike Summersault dari Chun. Teknik ini merupakan trade mark Chun, yang hingga kini masih disebut-sebut oleh peminat Moero Attack. Andalah tu!




Pukulan spike berkembar Summersault. Pada suatu masa muncul seorang pemain baru pasukan Shirafuji yang berkeupayaan melakukan summersault sama seperti Chun. Jadi, mereka berdua berganding bahu dalam melakukan teknik mengelirukan ini. Tetapi sayangnya teknik ini tidak kekal lama kerana pemain baru itu meninggal dunia atas sebab yang saya tak ingat. 
   


Ini lagi pelik. Pukulan spike summersault dibalas kembali dengan spike summersault juga. Ketika ini Chun telahpun diserapkan ke dalam skuad kebangsaan Jepun. Warna pakaian jersi Chun pun dah berubah dari merah putih kepada biru pekat (ada tulis Nippon lagi). Dah dekat-dekat nak pergi Olimpik dah ni...




Ada satu pasukan mempunyai dua orang pemain penyerang yang merupakan adik-beradik kembar seiras. Jadi bila melakukan pukulan spike, pasukan lawan akan terkeliru dan tak tahu mana satu di antara adik-beradik kembar tu yang akan membuat pukulan. 




Inilah dia pasukan senior berjersi hijau putih yang gagal dikalahkan oleh pasukan Shirafuji walaupun Chun dah buat macam-macam teknik. Tak tahulah macam mana diorang buat teknik mengkelabukan biji mata dengan bayang-bayang ni...




Bukan teknik bayang-bayang saja. pemain pasukan senior hijau putih ini juga berkeupayaan untuk melakukan servis kencang yang menghasilkan junaman bola berbentuk piring terbang. Mak aih! Memang susah betul nak tahan servis macam ni. Servis piring terbang ini selalu saya gunakan ketika bermain bola tampar dengan kawan-kawan sebaya.




Chun pun ada teknik servis yang tersendiri. Teknik ini dikenali sebagai "Servis Tinggi" Sebelum ambil servis dan pukul bola, kena jerit dulu "Servis tinggi!...Kalau tak sebut, tak syok dan mungkin servis tak menjadi.




Ini pula pukulan spike yang boleh menyebabkan bola itu berpusing-pusing membentuk pusaran. Boleh pening kepala melihatkannya.




Ini merupakan teknik terakhir yang dipelajari oleh Chun dari buku lakaran teknik bola tampar yang diwariskan ibunya. 


Ramai kanak-kanak yang ponteng kelas agama sebelah petang sebab nak tonton Moero Attack sebab siri ini ditayangkan di saluran RTM 1, jam 4.30 petang, dari hari Isnin hingga Khamis. Tidak kurang pula yang sanggup berlari sehingga tidak cukup nafas untuk pulang ke rumah setelah selesai kelas mengaji, semata-mata takut terlepas babak-babak awal siri ini. Manakala budak-budak sekolah sessi petang tak habis-habis merungut dan menyumpah-seranah sebab tak dapat tengok langsung. Kalau yang ada pemain VCR (video cassette recorder) tu, bolehlah buat rakaman sendiri. Tapi harga VCR ketika itu mahal, cassette pun mahal. Bilangan keluarga yang memilikinya pun boleh dikira dengan jari.


Moero Attack juga dijelmakan dalam bentuk komik Manga di Jepun. Walaubagaimanapun, komik ini tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti komik Tora Aman Doraemon. 



Satu pengajaran yang boleh diteladani dari siri Moero Attack ini adalah sikap jati diri orang Jepun yang sentiasa kuat berusaha dan tidak putus asa dalam mencapai sesuatu kejayaan. Betul lah tu. Masa nak ambil balik atau pukul bola tu, kalau tak jatuh atau guling-guling tak sah. Aspek disiplin yang tinggi dan saling menghormati antara satu sama lain (khususnya kepada orang tua) sentiasa dipertontonkan. Di negara China, siri Moero Attack ini dipertayangkan berulang-ulang kali untuk merangsang inspirasi dan semangat pemain skuad kebangsaan bola tampar wanita China, walaupun negara China dan Jepun pernah bermusuhan pada suatu ketika (Perang Dunia Ke-2). Hasilnya, mereka berjaya menjulang kejuaraan bola tampar Piala Dunia pada tahun 1981. 


Sudah saya katakan. Kalau tak jatuh, tak sah main bola tampar dalam Moero Attack ni.  Nasib baik Chun tak apa-apa.

Agaknya memang pengarah Moero Attack selalu suruh Chun buat-buat jatuh setiap kali nak ambil atau pukul bola kot.

Pendek kata, majoriti kanak-kanak ketika itu semuanya secara tiba-tiba berminat main bola tampar. Lebih mengejutkan, ramai juga yang dapat berbahasa Jepun sikit-sikit, dengan menyanyikan lagu tema intro drama Moero Attack (klip video disediakan di bawah). Selepas siri Moero Attack ini tamat, barulah sedikit demi sedikit nampak makin ramai yang kurang hendak bermain bola tampar.

Lagu tema intro episod Moero Attack


Lagu penutup episod Moero Attack


Saya pun boleh juga menyanyikan lagu bahasa Jepun seperti di atas, walaupun sebutannya entah betul atau tidak sebab tiru bulat-bulat dengan mendengar apa yang dinyanyikan di TV. Namun, saya berbangga juga kerana dapat memahami tulisan Jepun dan boleh menuliskannya kembali di atas kertas dengan tepat. Satu-satunya ayat Jepun yang saya faham dan saya boleh tulis dengan penuh yakin adalah ayat di bawah:

Sebutannya dalam bahasa Jepun ialah "Tuduku". Cuba anda sebut. Tuduku maksudnya: akan bersambung atau to be continued...Ayat ini  akan muncul di penghujung cerita setiap episod Moero Attack. 

16 Disember 2010

Polis Angkasa Gaban

Kali ini saya akan bercerita tentang rancangan hiburan berbentuk aksi yang banyak mempengaruhi hidup saya sebagai seorang kanak-kanak yang aktif, tapi belum sampai ke tahap hyperaktif lagi ya. Saya mula menonton rancangan ini sejak berada di Darjah 4 sekolah rendah. Inilah dia siri aksi POLIS ANGKASA GABAN atau dalam Bahasa Jepun ialah Uchuu Keiji Gavan (宇宙刑事ギャバン). Yeah! Huh! Heeyah! Dah naik semangat dah ni...

Gaya klasik Polis Angkasa Gaban yang gagah lagi perkasa.

Siri Polis Angkasa Gaban ini diterbitkan oleh Toei Co. Ltd. (東映株式会社 Tōei Kabushiki-gaisha), sebuah syarikat animasi perfileman berpangkalan di Tokyo, Jepun. Selain Ultraman, siri aksi alih suara Gaban ini adalah salah satu lambang kemegahan kepada rakyat Jepun ketika itu. Selain Malaysia dan rantau Asia Tengara, siri Gaban ini juga turut ditayangkan dan mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat (AS). Di AS, siri ini dikenali sebagai Space Sheriff Gavan, dan kesemua watak dalam versi tayangan AS ini fasih berbahasa Inggeris. Di Malaysia, siri Gaban telah dialih suara ke Bahasa ibunda negara untuk memudahkan golongan kanak-kanak memahami dan lebih menghayati kebaikan serta nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh Gaban, seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Itu yang buat mudah terpengaruh tu sampai terbawa-bawa ke sekolah tu...

Dari segi fizikalnya, Polis Angkasa Gaban ini tidaklah tinggi dan besar sangat orangnya. Saiz biasa saja macam pemuda Malaysia memandangkan ketinggian lelaki Jepun biasa ketika itu masih lagi
dalam tahap sederhana. 

Gaban ditayangkan sehari dalam seminggu selama 30 minit, jam 4.35 petang di saluran RTM satu ketika itu. Setiap episod dinantikan dengan penuh debaran, walaupun sebenarnya jauh di sudut hati masing-masing sudah tahu yang walau sekuat mana pun pihak musuh, Gaban akan menang juga akhirnya.  Bila tiba masanya, semua kanak-kanak akan menunggu 15 minit lebih awal di depan kaca TV untuk menonton. Terasa macam ada satu semangat Nippon yang meresapi jiwa nurani setiap kanak-kanak yang menonton siri ini, terutamanya bila melihat Intro pembukaan sirinya (ditunjukkan di link YouTube di bawah).


Siri ini mengisahkan Retsu Ichijouji yang bertugas sebagai seorang Polis Angkasa Gaban. Misi beliau adalah untuk melindungi Bumi dari ancaman Empayar Makuu yang diketuai oleh Don Horror. Misi jahat Don Horror adalah untuk menguasai Bumi dengan menghantar kapal angkasa berserta dengan pelbagai jenis askar yang rupa masing-masing saling tak tumpah macam rupa raksasa hodoh. Takde yang handsome langsung. Taktik ini adalah semata-mata untuk menimbulkan panik di Bumi supaya Don Horror lebih mudah menguasai planet ini. 



Don Horror (duduk di belakang sekali) bersama-sama dengan konco-konco setianya yang tidak jemu-jemu melakukan kekacauan di muka bumi (dalam cerita kat Jepun aje, takdenya kat tempat lain).

Semasa sedang menimbulkan kekacauan di Bumi, Gaban tiba dengan kapal angkasanya, Dolgiran untuk menghalang Don Horror dari terus membuat onar. Gaban sebenarnya berasal dari Planet Burung, tempat di mana anggota-anggota Polis Angkasa dilatih sebelum bertugas memelihara keamanan alam semesta. Gaban ditugaskan di Bumi kerana ibu kandungnya berasal dari planet Bumi. Ayahnya berasal dari Planet Burung. Perkahwinan campur antara planet ni...

Retsu Ichijouji selaku Polis Angkasa Gaban. Handsome tak?

Takkan nak kena jaga Bumi sorang-sorang. Retsu a.k.a. Gaban juga dibantu oleh Mimi, anak perempuan tunggal Commander Qom yang merupakan Bos kepada semua Polis Angkasa di merata ceruk angkasa lepas. Mimi biasanya melakukan tugas risikan dengan cara menyamar sebagai seekor burung. Mengikut jalan cerita, Mimi dalam diam-diam menyimpan perasaan cinta terhadap Retsu a.k.a. Gaban, tetapi tidak disedari oleh Retsu kerana kesibukkan beliau menjalankan tugas sebagai seorang polis angkasa. Mimi pula dibantu oleh seorang robot bernama Marin yang selau ditinggalkan keseorangan di dalam kapal angkasa. Mentang-mentanglah Marin tu robot, takde perasaan...

Mimi Qom, pembantu peribadi Gaban. Canggih betul topi keledarnya.

Bila tiba masanya berhadapan dengan musuh, Retsu akan menghantar mesej kepada Marin dengan cara menekan butang di jam tangannya. Dalam masa hanya 0.02 saat, Retsu akan terus bertukar memakai suit   Polis Angkasa Gaban. Sebelum suit dihantar, biasanya akan kedengaran bunyi suara Marin yang mengatakan "Baju Tahan Api akan dihantar sebentar lagi...". Masa nak bertukar jadi Gaban tu, Retsu akan mengayakan gerak aksi badan yang cukup unik lagi mengkagumkan (dalam gerak perlahan). Saya dulu siap hafal lagi macam mana nak buat gerakan tu.


Apabila askar Don Horror sudah mula nak kalah, biasanya Don Horror akan mengarahkan pengikutnya supaya menghidupkan sebuah mesin untuk menyongsangkan arah putaran Bumi. Ini akan mewujudkan satu ruang lohong hitam (black hole) yang menembusi ruang angkasa Syaitan yang dibina oleh Don Horror, khas untuk dijadikan medan pertempuran untuk menumpaskan Gaban. Biasanya beliau akan memberi arahan seperti begini, "Seret Gaban ke ruang angkasa Syaitan!". Kalau anda peminat setia Gaban, mesti ingat dan hafal lah semua dialog-dialog ni. Dengan serta-merta, langit bertukar menjadi gelap dan Gaban akan memanggil sebuah kenderaan khasnya yang dinamakan Cyberian.

Cyberian, motorsikal 3 roda yang selalu digunakan Gaban untuk masuk ke dalam ruang akan Syaitan ciptaan Don  Horror.


Untuk menewaskan askar Don Horror di dalam ruang angkasa Syaitan ini bukannya mudah. Jadi Gaban selalunya akan memohon bantuan tambahan. Sebuah robot Naga bernama Dol Blue (gambar di bawah) akan muncul membantu Gaban. Gaban biasanya akan berdiri di atas kepala naga tersebut. Tak jatuh ke?


Senjata akhir Gaban adalah Pedang Laser. Ini adalah senjata yang paling bahaya dan akan digunakan pada babak-babak akhir pertempuran. Lepas tu dah takde apa-apa lagi senjata dah sebab musuh mesti akan mati punya. Tidak pernah pun saya lihat ada musuh yang terselamat dari menjadi korban pedang laser ini. Mesti anda masih ingat dialog Gaban ketika hendak menggunakan pedang laser ini. Dialog inilah yang paling kerap sekali digunakan oleh kanak-kanak ketika itu semasa berlakon memainkan watak sebagai seorang Polis Angkasa Gaban.

"GABAN Z POTONG DUA!"

Gaya hunusan Pedang Laser, senjata muktamad Gaban. Kenapa dari awal-awal tak keluar? Kan senang. Tak payah nak penat-penat bergasak separuh mati dulu untuk berlawan.


Di bawah ini, saya kepilkan klip video aksi Gaban dalam satu episod pertempuran melawan beberapa  orang pahlawan Don Horror. Anda boleh tonton bagaimana Retsu bertukar memakai suit Gaban, Don Horror menyongsangkan arah putaran Bumi lalu mewujudkan laluan ke Ruang Angkasa Syaitan. Juga ditunjukkan bagaimana Gaban memanggil Cyberian dan Dol Blue. Akhir sekali ialah aksi menggunakan Pedang Laser untuk mengerat musuh. Selamat menonton.
Minta maaf. Saya tak dapat cari episod yang telah dialih-suara ke Bahasa Melayu. Klip video ini dalam Bahasa Jepun, tapi ada disediakan sari kata dalam Bahasa Inggeris.


Bagi sesiapa yang ingin menyanyikan lagu Intro Gaban, saya kepilkan di sini lirik lagunya dalam Bahasa Jepun serta terjemahannya dalam Bahasa Inggeris. Kalau nak menyanyi, nyanyilah dengan penuh semangat ya...


"Uchuu Keiji Gavan"
Bahasa Jepun
Bahasa Inggeris

Otoko na n’ darou?

Guzuguzu suru na yo
Mune no enjin ni hi wo tsukero
Ore wa koko da ze Hito-ashi o-saki
Hikari no hayasa de
ashita e dasshu sa
[hey, hey, hey, hey]

Wakasa, Wakasa tte nan da

Furimukanai koto sa
Ai tte nan da
Tamerawanai koto sa

Gavan! Abayo namida

Gavan! Yoroshiku yuuki
Uchuu Keiji Gavan!

Warui yatsu-ra wa tenshi no kao shite

Kokoro de tsume wo toide ‘ru mono sa
Ore mo omae mo na mo nai hana wo
Fumitsukerarenai otoko ni naru no sa
[hey, hey, hey, hey]

Wakasa, Wakasa tte nan da

Akiramenai koto sa
Ai tte nan da
Kuyamanai koto sa

Gavan! Abayo kinou

Gavan! Yoroshiku mirai
Uchuu Keiji Gavan

Wakasa, Wakasa tte nan da

Furimukanai koto sa
Ai tte nan da
Tamerawanai koto sa

Gavan! Abayo namida

Gavan! Yoroshiku yuuki
Uchuu Keiji Gavan!

Aren’t you a man?

Don’t you hesitate
Fire up the engines of your heart
I am here, one step ahead
At the speed of light,
towards tomorrow we DASH!
[hey, hey, hey, hey]

Youth, oh what is youth?

It’s about not turning your back around
Love, oh what is love?
It’s about being unstoppable!

Gavan! Overflowing tears

Gavan! Bring on the courage
Space Sheriff Gavan!

Evil ones bear the face of an angel

Into your heart, they dig in with their claws
Me and you, nameless flowers,
We shall become unstoppable men!
[hey, hey, hey, hey]

Youth, oh what is youth?

It’s about not giving up
Love, oh what is love?
It’s about having no regrets!

Gavan! Overflowing pasts

Gavan! Bring on the future
Space Sheriff Gavan!

Youth, oh what is youth?

It’s about not turning your back around
Love, oh what is love?
It’s about being unstoppable!

Gavan! Overflowing tears

Gavan! Bring on the courage
Space Sheriff Gavan!