22 Februari 2011

Minuman berkarbonat SUDI

Hari ini genap 19 tahun pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, penyanyi tanahair yang masih belum ada galang-gantinya sehingga kini. Sejarah Sudirman tidak perlu saya ceritakan lagi kerana hampir seluruh rakyat Malaysia mengetahui tentang kejayaan beliau sebagai penghibur serba-boleh yang berjaya mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa.

Peristiwa kejayaan Sudirman masih kekal di ingatan setiap rakyat Malaysia. Lagunya masih rancak berkumandang di radio, wajahnya terpampang di risalah-risalah perlancongan negara dan video klip nyanyian beliau boleh ditonton seberapa banyak kali yang anda mahu di laman web You Tube.

Tetapi ada satu hasil tangan Sudirman yang tidak lagi boleh didapati sekarang. Masihkah anda ingat bahawa Sudirman pernah mengeluarkan produk minuman berkarbonatnya (soft drink) sendiri? Produk minuman tersebut dijenamakan dengan nama "SUDI".



Allahyarham Sudirman ketika memperkenalkan produk minuman SUDI. Slogan yang digunakan  untuk mempromosikan minuman ini adalah "Sudi-sudikanlah...". Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Pada tahun 1989 (kalau tak silap saya), Sudirman telah menubuhkan sebuah syarikat perniagaannya sendiri iaitu Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal berjumlah RM3 juta. Salah satu produk utama keluaran syarikat ini adalah minuman berkarbonat SUDI inilah.

Minuman tin SUDI ini dipasarkan dalam empat jenis perisa iaitu Oren, Kola, Lemonade dan Isotonik. Harganya lebih kurang sama dengan hargan minuman berkarbonat tin yang lain. Semasa pertama kali dilancarkan, minuman SUDI mendapat sambutan yang cukup menghangatkan sehingga ia begitu cepat habis dijual di kedai-kedai runcit.


Minuman SUDI berperisa oren. Rasanya gambar wajah Sudirman pada tin tersebut adalah gambar yang diambil ketika beliau merangkul gelaran Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Ini pula minuman SUDI berperisa kola. Rasanya lebih kurang sama seperti Coca-cola dan Pepsi. Sumber gambar:  http://ramlan1984.blogspot.com/

Pada tangan Sudirman itu ialah minuman SUDI berperisa Lemonade. Antara ketiga-tiga perisa, SUDI berperisa lemonade inilah yang paling saya suka dan paling kerap saya beli. Rasanya saling tak tumpah seperti minuman 7Up atau Sprite. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Saya masih ingat lagi betapa gembiranya saya ketika pertama kali membeli minuman SUDI ini di sebuah kedai Jimat Pernas di kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Masa mula-mula beli dulu, ramai yang berebut-rebut nak ambil minuman SUDI ini dari peti sejuk kedai sehinggakan tuan punya kedai terpaksa menghadkan seorang pembeli hanya boleh beli satu tin sahaja.


Jika anda lihat gambar di atas dengan teliti, anda dapat lihat ada satu tin minuman SUDI yang berwarna perak (silver) berjalur biru. Yang itulah SUDI berperisa isotonik. Rasanya sama seperti minuman 100 Plus yang ada sekarang. Tetapi entah mengapa perisa isotonik ini kurang dipasarkan berbanding perisa-perisa yang lain. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Ada juga pembeli yang saya lihat menyanyi lagu Sudirman ketika hendak membuka penutup tin minuman SUDI ini. Agaknya beliau betul-betul peminat setia Sudirman. Saya banyak kali juga beli minuman SUDI ini tapi tidak pernah teringat untuk menyimpan tin minumannya. Semuanya saya kumpul dan jual untuk program kitar semula.

Sebagai menghargai jasa peminatnya yang memberi sokongan dengan membeli minuman SUDI, Sudirman telah mengadakan konsert percuma beliau di Tapak Ekspo Ayer Keroh, Melaka pada 9 Mac 1991. Perbelanjaan konsert ditaja sepenuhnya oleh syarikat SUDI Sdn Bhd.