Kelab Colgate telah ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1988 oleh pengeluar ubat gigi Colgate (di bawah Syarikat Colgate-Palmolive). Objektif penubuhan Kelab Colgate adalah untuk menjayakan kempen program penjagaan kesihatan gigi di kalangan kanak-kanak.
Kad keahlian Kelab Colgate. Sumber gambar: mforum.cari.com.my |
Untuk menyertainya mudah sahaja. Anda hanya perlu melengkapkan borang penyertaan dan lampirkan dua penutup kotak ubat gigi Colgate sebagai bukti pembelian, tidak kira Colgate berwarna hijau atau biru kerana masa tu Colgate hanya ada 2 jenis sahaja Colgate. Tak macam sekarang, macam-macam jenis Colgate yang berada di pasaran, sampai tak tahu nak pilih yang mana satu.
Sebagai seorang kanak-kanak yang mementingkan kesihatan gigi dan gusi, saya pun turut sama memohon keahlian Kelab Colgate ini. Sebagai seorang ahli, anda akan diberi sekeping kad keahlian kelab (seperti gambar di atas) dan anda akan menerima naskah majalah rasmi Kelab Colgate secara percuma yang diterbitkan setiap 3 bulan. Bukan main seronok lagi bila posmen hantar majalah tersebut. Dalam majalah tersebut dimuatkan beberapa artikel tentang penjagaan gigi, ada komik bergambar, ruangan sahabat pena dan bermacam-macam lagi aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak (minta maaf sebab tak dapat nak cari majalah Kelab Colgate tu....).
Yang bestnya, anda boleh membeli beberapa barangan rasmi Kelab Colgate. Paling best lagi, ada sesetengah barangan yang boleh didapati hanya dengan cara menghantar sejumlah penutup kotak ubat gigi Colgate! Jadi, pada masa tersebut, ramai ibu bapa yang membuang kotak ubat gigi Colgate hanya selepas menggunting penutupnya. Kalau tidak dulu, lepas saja buka kotak, terus dibuang begitu sahaja.
Pengurus Kelab Colgate ini ialah Kakak Dina. Orangnya tidak pernah saya kenali kerana gambar sebenar Kakak Dina tidak pernah ditunjukkan dalam mana-mana majalah. Hanya ditunjukkan rupanya dalam bentuk kartun sahaja. Sebagai seorang kanak-kanak yang selalu admire orang dewasa, saya selalu terfikir macam manalah rupanya Kakak Dina tu ya? Mesti cun orangnya, tapi sayang hanya kenal melalui nama sahaja.
Tak kiralah samada Kakak Dina ini wujud atau tidak, yang penting dia pernah hantar kad ucapan Selamat Harijadi kepada saya. Rasa sungguh bangga. Saya bawa kad tersebut ke sekolah untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan...
Kad ucapan Happy Birthday Kelab Colgate, eksklusif untuk ahli-ahlinya yang setia. |
Ucapan Happy Birthday yang ditandatangani Kakak Dina |
Namun, keahlian Kelab Colgate hanya dibuka kepada semua kanak-kanak di Malaysia yang berumur 12 tahun ke bawah. Yang berumur 13 tahun ke atas tidak layak menyertainya. Mungkin kerana mereka sudah mencapai taraf remaja yang sudah memasuki sekolah menengah dan semestinya mereka sudah arif tentang penjagaan gigi. Tidak seperti murid sekolah rendah yang selalu diajar tentang cara memberus gigi dengan betul oleh jururawat-jururawat yang datang melawat ke sekolah. Biasanya cik-cik jururawat ni masih muda-belia dan cun-cun belaka.
Kebiasaanya, jika esoknya akan diadakan program penjagaan gigi oleh Jabatan Pergigian Daerah, murid-murid akan dimaklumkan sehari lebih awal. Tujuannya supaya murid-murid dapat membawa berus gigi sendiri. Tapi ramai kawan-kawan saya yang terlupa bawa berus gigi. Taktik ini dilakukan secara secara sengaja, semata-mata untuk mendapatkan berus gigi percuma. Kalau tanya diorang, mesti kata tak sengaja punya.
Kalau tidak silap saya, Kelab Colgate ini dibubarkan pada sekitar tahun 1992. Tahu-tahu dah senyap sahaja dan ahli-ahlinya tidak dimaklumkan tentang perkara ini. Saya cukup berharap agar kelab penjagaan gigi seperti ini diwujudkan semula bagi menanam kesedaran kepada kanan-kanak tentang kepentingan penjagaan kesihatan gigi.