Jabatan Pos Malaysia ketika itu telah mengeluarkan setem kenang-kenangan bagi memperingati detik bersejarah penerbangan sulung MAS ke Los Angeles. Los Angeles merupakan destinasi pertama MAS ke benua Amerika Utara, sebelum New York (NWK) dimasukkan sebagai destinasi berikutnya.
Terdapat tiga jenis setem yang dikeluarkan; setem bernilai 20 sen, 50 sen dan satu ringgit. Yang ada dalam koleksi buku setem saya hanya setem 20 sen dan satu ringgit saja.
Setem bersempena pelancaran penerbangan MAS ke Los Angeles, USA yang bernilai 20 sen. Masa dulu, setem bernilai 20 sen inilah yang paling kerap digunakan untuk menghantar surat-surat biasa termasuklah surat cinta. Kalau hantar poskad, pakai setem 15 sen sahaja.
Setem bersempena pelancaran penerbangan MAS ke Los Angeles, USA yang
bernilai satu ringgit. Setem satu ringgit ini jarang-jarang orang nak beli kerana pada era 1980an ia dianggap sebagai setem yang mewah dan cukup berprestij. Saya pun tak beli setem ini, hanya dapat dari keratan sampul surat yang dikirimkan kepada keluarga saya (atas Urusan Seri Paduka Baginda).
Cari punya cari dalam internet, akhirnya saya jumpa juga setem yang bernilai 50 sen (yang dekat tengah-tengah sampul surat di atas). Pos Malaysia juga ada mengeluarkan sampul surat hari kenangan bersempena perlancaran penerbangan sulung MAS ke Los Angeles ni. Kalau saya tahu, saya beli saja sampul surat ni, dapat tiga-tiga setem sekaligus.
Pengenalan Los Angeles sebagai destinasi serantau pertama MAS ke benua Amerika merupakan salah satu langkah berani MAS dalam merancakkan operasi serantau mereka selepas krisis Malaysian Singapore Airways (MSA) yang membawa kepada kewujudan MAS dan Singapore Airlines (MSA) (boleh rujuk kepada artikel saya sebelum ini:Pesawat Boeing 707 MAS). Laluan Kuala Lumpur (KUL) > Tokyo (NRT) > Los Angeles (LAX) dan LAX > NRT > KUL juga merupakan salah satu laluan yang cukup menguntungkan MAS ketika itu.
Pesawat yang digunakan ketika itu untuk operasi penerbangan di atas adalah pesawat Boeing 747-219B (no. pendaftaran 9M-MHG) dan Boeing 747-3H6 (no. pendaftaran 9M-MHK). Sumber maklumat diperolehi dari http://www.planespotters.net/Airline/Malaysia-Airlines
Pesawat Boeing 747 yang digunakan MAS untuk operasi penerbangan ke Tokyo dan Los Angeles. Ketika ini MAS menggunakan warna livery klasik; merah dan putih.
Satu majlis anugerah penyerahan sijil mengalu-alukan penerbangan sulung MAS ini telah diadakan di Los Angeles. Sijil tersebut disampaikan sendiri oleh Datuk Bandar Los Angeles sendiri, Mr Tom Bradley (gambar di bawah).
Walaubagaimanapun, penerbangan MAS ke Los Angeles terpaksa digantung operasinya pada 30 April 2014. Menurut CEO MAS, En. Ahmad Jauhari Yahya, faktor penggantungan operasi ini disebabkan oleh beberapa faktor kekangan ekonomi seperti peningkatan kos bahan api dan kos operasi pesawat Boeing 777-200 ER (yang menggantikan penggunaan pesawat Boeing 747-400).
Sebelum ini penggunaan pesawat Boeing 747-400 MAS diberhentikan operasinya ke Los Angeles disebabkan pesawat ini semakin kuat menggunakan bahan api berbanding pesawat MAS generasi baru Boeing 777-200 ER (ER itu maksudnya extended range). Tetapi sayang, walaupun Boeing 777-200 ini jimat bahan api, tetapi kos pengoperasiannya masih lagi tinggi dari kaca mata Pengurusan MAS. Nak buat macam mana kan...
Pesawat B777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRB yang digunakan untuk penerbangan terakhir KUL-LAX dan LAX-KUL pada 30 April 2014.
Jika berkesempatan, saya akan menulis tentang sejarah perkhidmatan Boeing 747 MAS dalam post yang akan datang.