14 Disember 2010

Minyak Limpa Ikan Haliborange








Cuba anda teka, apakah produk barangan yang ditunjukkan oleh gambar di sebelah? Ada seekor ikan berbibir merah tebal lagi seksi seperti Angelina Jolie.    Berdiri di sisinya pula terdapat sebiji buah oren kecil yang sedang tersenyum riang.

Jawapannya ialah: Minyak Limpa Ikan Haliborange. Seangkatan dengan Scott's Emulsion, Haliborange cukup terkenal pada akhir 1970-an hingga lenyap dari pasaran tempatan sekitar tahun 1992. Saya tidak berapa pasti samada Haliborange atau Scott's Emulsion yang terlebih dahulu sampai ke pasaran Malaysia. Tetapi Scott's Emulsion masih bertahan sehingga kini.

Haliborange bersaiz 250 mL.

Jika dibuat perbandingan, ramai kanak-kanak yang lebih menyukai Haliborange dari Scott's Emulsion. Mungkin disebabkan rasanya yang lebih sedap, ditambah pula dengan perisa pati perahan buah oren. Jadi, bau hanyir ikan yang kurang digemari sepertimana yang terdapat pada Scott's Emulsion dapat dikurangkan dengan signifikan dengan adanya perisa pati oren. Pada masa itu, hanya terdapat satu jenis sahaja minyak ikan Scott's Emulsion, iaitu yang asli tanpa sebarang campuran pati buah. Sekarang Scott's Emulsion sudah ada dalam bentuk campuran buahan seperti oren dan blackcurrent. Dalam bentuk tablet pun dah ada, khusus untuk kanak-kanak yang malas hendak menggunakan sudu untuk menikmati minyak ikan. Kaum ibu juga turut menikmati faedahnya kerana tak perlu membasuh banyak sudu...

Pesaing hebat Haliborange; Scott's Emulsion. Masih bertahan sehingga kini. Bukan sahaja oren, kalsium pun dicampurkannya sekali.

Kanak-kanak zaman itu juga memilih Haliborange kerana setiap kali menonton kaca TV, agak kerap juga muncul iklan Haliborange yang memaparkan seorang ibu menyuapkan Haliborange kepada dua orang anak lelakinya yang sedang belajar taekwando (sparing bergaduh adik-beradik kot). Watak ibu dilakonkan oleh seniwati Dian P. Ramlee. Petikan iklan didapati dari fail Youtube Abang Cantik.


Sebenarnya, Haliborange masih lagi dipasarkan di negara luar, khususnya di benua Eropah. Dekat Malaysia sahaja yang tidak ada. Bagaimana pula dengan negara jiran?
 



















Tuala wanita Sanita

Kali ini saya ingin memperkenalkan anda dengan Sanita, jenama tuala wanita yang cukup popular dan menjadi pilihan majoriti kaum wanita sekitar tahun 1970 hingga pertengahan 1990-an. Perkataan "wanita" dan "Sanita" tidak dapat dipisahkan. Itu yang kadang-kadang sampai tersasul mulut hendak menyebutnya; "Tuala Sanita wanita" (sepatutnya "Tuala wanita Sanita"). Sekarang jenama Sanita ini sudah pupus dari muka bumi pasaran tempatan. 

Tuala wanita Sanita. Ini adalah pek promosi dengan bonus tambahan ekstra 20%  (maksudnya  bilangan tuala wanita di dalam pek tersebut lebih dari pek biasa atau pek yang tiada promosi)



Ibu saya merupakan pelanggan tetap tuala wanita Sanita. Biasanya tuala Sanita ini dibeli ibu saya di kedai-kedai runcit, terutamanya ketika tiba waktu kecemasan. Nak pergi membeli di Supermarket, agak jauh di bandar dan takut tak sempat. Biasanya bila tiba waktu kritikal, saya merupakan satu-satunya individu di rumah kami yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan bekalan. Pelik sungguh saya rasa ketika itu. Kenapa ibu tak suruh saja ayah saya yang pergi beli? Kan senang...

Dan saya bertambah pelik apabila setiap kali saya membeli pek tuala wanita ini, juruwang kedai runcit tersebut mesti membalut pek atau kotak tuala wanita tersebut. Kenapa nak kena balut dengan kertas surat khabar? Kadang-kadang saya lihat pakcik kedai tu membalut kotak tuala wanita tersebut dengan begitu bersungguh-sungguh, sehinggakan tiada ruang sedikitpun yang terbuka mahupun terdedah. Mengapa identiti pek tuala wanita itu perlu sangat dirahsiakan. Apa yang nak dimalukan sangat?

Pada masa tersebut, kebanyakkan kaum wanita tidak menggunakan perkataan "tuala wanita" atau "Pad" ketika hendak membeli produk tersebut di kedai. Mereka selalu menggunakan perkataan "Modes". Tak moden langsung bunyinya perkataan "Modes" tu. Pelik betul lah kalau difikirkan tentang tuala wanita ni semasa saya masih kanak-kanak.

Sepanjang perjalanan saya pulang dari kedai membeli "Modes", sambil berjalan saya pun sempat juga membaca isi kandungan berita yang tertera pada muka kertas surat khabar yang membaluti kotak tuala wanita tersebut. Ada juga hikmahnya kotak tuala wanita ini dibalut dengan kertas surat khabar. 

Paling lucu sekali bila satu hari saya dapati pada muka kertas surat khabar tersebut terpampang iklan tuala wanita jenama yang sama. Mesti pakcik kedai tadi tak perasan masa bungkus tadi....