Memaparkan catatan dengan label Peristiwa lampau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peristiwa lampau. Papar semua catatan

26 Mei 2018

Saya dan politik negara: Bahagian 1

Perkataan POLITIK mula saya dengari ketika saya berumur 7 tahun, ketika di darjah satu. Ketika itu saya sekeluarga tinggal di dalam Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu. Ayah seorang anggota Tentera manakala ibu adalah suri rumahtangga sepenuh masa. Ekoran komitmen tugas ayah sebagai tentera, dan selepas sekolah masa saya sudah tentu dihabiskan di rumah, maka cerita-cerita berkisarkan politik tempatan banyak saya dengari dari ibu saya.

Tidak banyak yang saya pelajari dari rentetan peristiwa politik semasa Pilihanraya Umum (PRU) ke-7 pada tahun 1986. Di tempat kami, DUN Seberang Takir, hanya ada dua sahaja parti yang bertanding; Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Logo parti cukup mudah saya kenali, Dacing dan Bulan Penuh.

Ibu dan ayah adalah pengundi pos. Ayah mengundi di Markas Kem, manakala Pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) datang membawa kertas undi ke rumah kami di Blok Kediaman Rumah Pangsa Anggota. Itulah kali pertama saya melihat kertas undi, ibu memangkah betul-betul di hadapan saya dan saya masih ingat saiz pangkah yang ibu tanda pada kertas undi tersebut. Pegawai SPR pun nampak. “Tak perlu nak sorok-sorok..” kata ibu saya sambil senyum meleret.

Apa yang melucukan sehingga kini adalah pabila saya teringat bahawa saya tidak tidur semalaman kerana melihat siaran langsung pengumuman keputusan pilihanraya. Bayangkan seorang murid darjah 1 tidak tidur malam semata-mata menunggu keputusan pilihanraya! 

Saya masih ingat ketika itu, pengantara RTM membacakan keputusan. Mereka juga bergilir-gilir muncul di depan kamera. Terdapat sebuah jag air sejuk yang besar bersama gelas diletakkan bersebelahan mereka. Pada masa itu, tiada keputusan tidak rasmi yang ditayangkan, hanya keputusan rasmi yang terpapar di kaca TV. Kesemua keputusan diterima terus melalui telefon rasmi Pegawai Pengurus SPR kepada produser RTM. 



Proses pengiraan undi ketika PRU 1986 (Sumber: my1foto.penerangan.gov.my)

YB Datuk Abdul Rashid Ngah merupakan ADUN Seberang Takir yang dipilh ketika itu. Jika tidak silap saya, beliau merupakan antara ADUN BN yang paling lama kekal di DUN Seberang Takir. Beliau masih lagi menang pada PRU tahun 1999 walaupun ketika itu PAS menjadi Kerajaan Negeri. Beliau memang banyak berjasa kepada komuniti Seberang Takir.

Datuk Abdul Rashid Ngah (Sumber foto: Persatuan Sejarah Malaysia).



18 Ogos 2014

Gambar aksi berani Ketua Polis Negara ketika peristiwa amukan Prebet Adam

Gambar ini barulah dikatakan gambar yang dirakam oleh jurugambar yang sentiasa praktikkan elemen "Don't capture pictures, you must capture moments.."

Gambar ini merupakan sedetik rakaman peristiwa cemas pengepungan amukan seorang lelaki yang disyaki telah melepaskan tembakan liar di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur pada 18 Oktober 1987.



Gambar yang dirakamkan oleh jurufoto BERNAMA, Encik Abdul Ghani Ismail ini menceritakan saat cemas tindakan polis dan ketangkasan mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar. Waktu itu beliau bersama anggota-anggota polis yang lain berlindung di sebalik kereta, tembok dan parit. Ketika melihat Tun Hanif Omar keluar daripada perlindungan untuk mendekati sasaran, Encik Abdul Ghani tidak melepaskan peluang, muncul dengan kameranya, terlupa akan keselamatan dirinya sendiri yang terdedah kepada kemungkinan sasaran tembakan.


Menyingkap kembali peristiwa yang berlaku, Encik Abdul Ghani menyatakan bahawa situasi pada ketika itu amat cemas dan membimbangkan, namun tumpuan beliau hanya kepada pergerakan polis, terutama Ketua Polis Negara.


Encik Abdul Ghani telah menunggu sejak beberapa jam sambil berlindung di dalam longkang, semak dan tembok bersama-sama anggota Unit Tindak Khas (UTK) PDRM untuk mendapatkan ‘shot’ terbaik dengan hanya bersenjatakan sebuah kamera biasa. Beliau bersyukur kepada tuhan kerana segala-galanya berjalan dengan selamat.


Hasil siasatan mendapati bahawa lelaki yang mengamuk dan melepaskan tembakan liar tersebut dengan meggunakan senjata m-16 adalah seorang anggota tentera berpangkat Prebet bernama Adam Jaafar, berumur 23 tahun ketika itu. Beliau yang sebelum itu berttugas sebagai anggota Renjer di Kompeni C, 6 Renjer, Kem Syed Putra, Tambun, Ipoh, Perak didapati telah meninggalkan tugas tanpa izin pada 17 Oktober 1987.

Hasil rundingan dan pujuk rayu, Prebet Adam Jaafar akhirnya menyerah diri pada 19 Oktober 1987


Sumber diolah dari Berita Bukit Aman 1989, Petikan Berita BERNAMA Jan/Feb 89 dan akhbar Berita Harian 20 Oktober 1987.

13 Ogos 2014

Setem Pelancaran Penerbangan Sulung ke Los Angeles oleh Sistem Penerbangan Malaysia / Malaysia Airlines System (MAS)

Pada tanggal 31 Julai 1986, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) telah melancarkan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur (KUL) ke Los Angeles (LAX), Amerika Syarikat. Penerbangan dua hala hala ini turut melibatkan operasi transit penumpang di Tokyo, Jepun. Penerbangan dari Kuala Lumpur berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, transit di Lapangan Terbang Narita (NRT) Tokyo, selama lebih kurang satu jam setengah, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Tom Bradley, Los Angeles. Masa penerbangan adalah kira-kira 18 jam, dengan merentasi lautan Pasifik.

Jabatan Pos Malaysia ketika itu telah mengeluarkan setem kenang-kenangan bagi memperingati detik bersejarah penerbangan sulung MAS ke Los Angeles. Los Angeles merupakan destinasi pertama MAS ke benua Amerika Utara, sebelum New York (NWK) dimasukkan sebagai destinasi berikutnya.

Terdapat tiga jenis setem yang dikeluarkan; setem bernilai 20 sen, 50 sen dan satu ringgit. Yang ada dalam koleksi buku setem saya hanya setem 20 sen dan satu ringgit saja.

Setem bersempena pelancaran penerbangan MAS ke Los Angeles, USA yang bernilai 20 sen. Masa dulu, setem bernilai 20 sen inilah yang paling kerap digunakan untuk menghantar surat-surat biasa termasuklah surat cinta. Kalau hantar poskad, pakai setem 15 sen sahaja.


 
Setem bersempena pelancaran penerbangan MAS ke Los Angeles, USA yang bernilai satu ringgit. Setem satu ringgit ini jarang-jarang orang nak beli kerana pada era 1980an ia dianggap sebagai setem yang mewah dan cukup berprestij. Saya pun tak beli setem ini, hanya dapat dari keratan sampul surat yang dikirimkan kepada keluarga saya (atas Urusan Seri Paduka Baginda).

Cari punya cari dalam internet, akhirnya saya jumpa juga setem yang bernilai 50 sen (yang dekat tengah-tengah sampul surat di atas). Pos Malaysia juga ada mengeluarkan sampul surat hari kenangan bersempena perlancaran penerbangan sulung MAS ke Los Angeles ni. Kalau saya tahu, saya beli saja sampul surat ni, dapat tiga-tiga setem sekaligus.



Pengenalan Los Angeles sebagai destinasi serantau pertama MAS ke benua Amerika merupakan salah satu langkah berani MAS dalam merancakkan operasi serantau mereka selepas krisis Malaysian Singapore Airways (MSA) yang membawa kepada kewujudan MAS dan Singapore Airlines (MSA) (boleh rujuk kepada artikel saya sebelum ini:Pesawat Boeing 707 MAS). Laluan Kuala Lumpur (KUL) > Tokyo (NRT) > Los Angeles (LAX) dan LAX > NRT > KUL juga merupakan salah satu laluan yang cukup menguntungkan MAS ketika itu.

Pesawat yang digunakan ketika itu untuk operasi penerbangan di atas adalah pesawat Boeing 747-219B (no. pendaftaran 9M-MHG) dan Boeing 747-3H6 (no. pendaftaran 9M-MHK). Sumber maklumat diperolehi dari http://www.planespotters.net/Airline/Malaysia-Airlines




Pesawat Boeing 747 yang digunakan MAS untuk operasi penerbangan ke Tokyo dan Los Angeles. Ketika ini MAS menggunakan warna livery klasik; merah dan putih.

Satu majlis anugerah penyerahan sijil mengalu-alukan penerbangan sulung MAS ini telah diadakan di Los Angeles. Sijil tersebut disampaikan sendiri oleh Datuk Bandar Los Angeles sendiri, Mr Tom Bradley (gambar di bawah).



Walaubagaimanapun, penerbangan MAS ke Los Angeles terpaksa digantung operasinya pada 30 April 2014. Menurut CEO MAS, En. Ahmad Jauhari Yahya, faktor penggantungan operasi ini disebabkan oleh beberapa faktor kekangan ekonomi seperti peningkatan kos bahan api dan kos operasi pesawat Boeing 777-200 ER (yang menggantikan penggunaan pesawat Boeing 747-400).




Sebelum ini penggunaan pesawat Boeing 747-400 MAS diberhentikan operasinya ke Los Angeles disebabkan pesawat ini semakin kuat menggunakan bahan api berbanding pesawat MAS generasi baru Boeing 777-200 ER (ER itu maksudnya extended range). Tetapi sayang, walaupun Boeing 777-200 ini jimat bahan api, tetapi kos pengoperasiannya masih lagi tinggi dari kaca mata Pengurusan MAS. Nak buat macam mana kan...



  Pesawat B777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRB yang digunakan untuk penerbangan terakhir KUL-LAX dan LAX-KUL pada 30 April 2014.


Jika berkesempatan, saya akan menulis tentang sejarah perkhidmatan Boeing 747 MAS dalam post yang akan datang.


05 Ogos 2014

Pesawat Boeing 707 MAS (Sistem Penerbangan Malaysia / Malaysia Airlines System)

Syarikat MAS atau Sistem Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines System) mula menggunakan khidmat pesawat Boeing 707 (B707) seawal tahun 1972. Pesawat ini dibina oleh Syarikat Boeing yang berpangkalan di Seattle, Washington DC, Amerika Syarikat. Varian B707 yang digunapakai oleh MAS ketika itu adalah dari jenis siri B707-300.

Antara pesawat B707-300 dalam armada MAS, dengan nombor pendaftaran 9M-MCS.(Sumber foto: Airliners.net)

Sebelum penubuhan MAS, pada tahun 1966, sebanyak tujuh buah pesawat B707-300 telahpun dimiliki oleh Malaysia-Singapore Airlines (MSA). MSA merupakan syarikat penerbangan yang diasaskan oleh Malaysia ketika Singapura masih lagi berada sebagai sebuah negeri di dalam naungan Kerajaan Malaysia. 

Pesawat B707-300 MSA ketika mendarat di lapangan terbang Zurich sekitar tahun 1972. Sumber foto: Wikipedia.com

Walaubagaimanapun, berikutan konflik politik yang melanda ketika itu, Singapura mengambil keputusan untuk keluar dari Malaysia. Tindakan ini telah menyebabkan perubahan drastik kepada syarikat MSA di mana Malaysia dan Singapura masing-masing telah "berpatah arang berkerat rotan" untuk membina syarikat penerbangan mereka sendiri. Malaysia telah menubuhkan MAS (Sistem Penerbangan Malaysia) manakala Singapura pula menubuhkan Singapore Airlines (SIA). 

 Pesawat B707-300 MSA ketika mendarat di lapangan terbang Heathrow, London sekitar tahun 1972. Sumber foto: Wikipedia.com

Pada mulanya MAS menghadapi kesukaran dalam operasi mereka memandangkan Singapura entah macam mana boleh mengambil kesemua pesawat B707 yang sedia ada untuk operasi SIA. Biasalah kan jika Singapura berperangai sedemikian rupa...Siapa yang tak tahu dengan sikap pemimpin Singapura. 

Pesawat 707-300 yang telah diwarnakan semula dengan warna livery SIA untuk menutup cat asal syarikat MSA.

MAS ketika itu bangkit berusaha untuk merancakkan kembali operasi mereka memandangkan MAS telah kehilangan beberapa destinasi penerbangan serantau yang menguntungkan seperti London, Tokyo, Hong Kong dan Sydney. Menjelang pertengahan era 1970-an, MAS telah berjaya memiliki beberapa buah B707-300 yang baru dibeli untuk operasi serantau mereka, merangkumi destinasi popular seperti Seoul, Hong Kong, Taiwan, Paris, Frankfurt, Dubai, London dan Amsterdam.

Mengikut sumber dari seorang rakan, pesawat B700-320B yang dimiliki MAS disewa dari British Overseas Airways Corporation (BOAC) dan ada juga yang didapati dari Qantas Airlines. Langkah menyewa mahupun membeli pesawat terpakai mungkin relevan ketika itu memandangkan MAS baru hendak membuka lembaran baru dalam perkhidmatan operasi penerbangan serantau.

Pesawat baru B707-320B varian yang lebih baru dari varian B700-300 tak B yang diambil oleh SIA dari MAL, mendarat di lapangan terbang Hong Kong. Perhatikan warna livery dan logo MAS yang baru.


Pesawat B707 MAS yang mendarat di Lapangan Terbang Subang pada tahun 1977. Penerbangan B707 ini berlepas dari London dan transit di Kuwait sebelum mendarat di Malaysia. Gambar diambil dari filem Menanti Hari Esok arahan Tan Sri Jins Shamsudin.



Ketika itu tiada lagi kemudahan skybridge di lapangan terbang Subang. Tangga mudah-alih akan digunakan bagi menurunkan penumpang dari pesawat. Cik pramugari yang cun-melecun akan menemani penumpang menuruni anak tangga, berjalan melalui jalan tarmac sehinggalah tiba di muka pintu terminal.

Saya tidak pasti bilakah masa MAS memberhentikan penggunaan pesawat B707 ini. Namun penggunaan pesawat ini telah berjaya menaikkan kembali kegemilangan syarikat penerbangan milik kerajaan Malaysia ini ke satu tahap yang cukup membanggakan rakyat.

Jika berkelapangan, saya akan menulis lagi tentang beberapa memori silam berkaitan dengan MAS.

21 Mac 2011

Setem perasmian bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak

Hari ini pada tanggal 21 Mac 2011 Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihanraya Negeri Sarawak.

Jika anda mahukan perkembangan selanjutnya tentang proses pilihanraya Negeri Sarawak, sudah tentu segala macam kisah boleh didapati dari media elektronik di luar sana. Minta maaf, blog Hilang Ditelan Zaman ini tidak menyediakan cerita-ceriti berkaitan politik negara. Bukannya tidak berminat, tetapi saya enggan meluahkan pendapat saya tentang kisah politik negara ke dalam internet.

Tetapi saya lebih berminat kepada "sekeping item" yang berkaitan dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita sedia maklum wakil rakyat yang dipilih rakyat akan memperjuangkan hak penduduk kerusi kawasan yang diwakilinya. Isu-isu berkaitan pentadbiran kawasan akan dibincangkan dalam sebuah bangunan kerajaan yang menempatkan Dewan Perbahasan, tempat Yang Berhormat (YB) berhujah, berselisih faham dan bertegang leher serta urat sebelum satu kata muafakat diambil.

Bagi Kerajaan Negeri Sarawak, dewan perbahasan untuk DUN ini sudah hampir tujuh kali berpindah tempat. Akhirnya pada 17 Ogos 1976, sebuah kompleks kerajaan lengkap yang menempatkan sebuah Dewan Perbahasan untuk DUN Negeri Sarawak telah dibina di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Sempena perasmian dewan baru ini, Pos Malaysia telah mengeluarkan sekeping setem kenangan-kenangan. Inilah dia "sekeping item" yang saya sebutkan tadi...


Inilah dia rupanya setem 15 sen yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia bersempena dengan pembukaan rasmi Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak. Setem ini diperolehi dari koleksi peribadi saya.

Kompleks DUN Negeri Sarawak ini digunakan dengan aktifnya sebagai tempat perbahasan dan penggubalan undang-undang negeri Sarawak. Rekabentuknya yang unik menyebabkan kompleks ini bukan sahaja dihadiri oleh YB-YB untuk berbahas, malah ramai pelancong-pelancong asing, mahupun pelancong dari Semenanjung Malaysia yang datang untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kompleks ini.


Wajah sebenar Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak. Gambar mungkin diambil ketika hari cuti kerana keadaan sekeliling kompleks yang sungguh hening.


Walaubagaimanapun, pada 28 Julai 2009, dewan perbahasan DUN negeri Sarawak sekali lagi berpindah tempat ke bangunan baru yang dibina berhampiran tebing Sungai Sarawak di Petra Jaya, Kuching. Bangunan sembilan tingkat ini dibina dengan kos RM300 juta. Seperti kompleks DUN yang lama, ciri binaanya juga cukup unik dan pastinya akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengambil gambarnya.


Bangunan baru yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru. Tidak berapa pasti pula samada setem kenang-kenangan yang baru ada dikeluarkan oleh Pos Malaysia bersempena dengan perasmian Bangunan DUN yang baru ini. Betul-betul baru Bangunan yang baru ini...

Sebagai penutup entry kali ini, saya perdengarkan lagu "Mari Mengundi" ciptaan Dato' Zainal Alam yang dicipta pada tahun 1950-an. Lagu ini ditujukan khas untuk semua rakyat negeri Sarawak yang bakal membuang undi tidak berapa lama lagi.




08 Mac 2011

Setem sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun 1975

Pada hari ini, 8 Mac 2011 genaplah 100 tahun ulangtahun sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Hari istimewa ini sebenarnya pertama kali disambut pada 19 Mac 1911 di negara Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland. Idea mengadakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini dicetuskan pada tahun 1910 dalam satu mesyuarat Petubuhan Sosial Antarabangsa. Hasilnya, sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini telah disambut dengan meriah setahun kemudiannya oleh kira-kira 1 juta wanita, bersama-sama dengan kaum lelaki. 

Ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang ke-64 dalam tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju untuk menetapkan tarikh 8 Mac pada setiap tahun sebagai tarikh rasmi sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun ketika itu cukup mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara. Isu-isu berkaitan dengan kebajikan kaum wanita semakin mendapat tempat di hati para pemimpin negara untuk diperjuangkan. Penyertaan wanita secara aktif dalam sektor pekerjaan ketika itu amatlah digalakkan.

Sebagai tanda menghargai wanita, Pos Malaysia ketika itu telah mengeluarkan satu setem kenang-kenangan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 1975. 




Setem ini diperolehi dari koleksi peribadi ibu saya. Dijual di pejabat-pejabat pos seluruh negara ketika itu, setem berharga 15 sen ini merupakan salah satu setem yang paling menarik pernah dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Mungkin kerana warnanya yang pink menyebabkan setem ini kelihatan begitu feminin sekali, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita tanpa mengira peringkat usia. Sememangnya hidup kita tidak lepas dari dikelilingi oleh wanita-wanita yang berjasa kepada kita, bermula sejak kita lahir ke dunia hinggalah kita meninggalkan dunia.

"Wanita, engkaulah racun, engkaulah penawar...."

Untuk semua wanita di Malaysia, saya tujukan khas lagu berjudul "Perempuan" dendangan Ito dari kumpulan Blues Gang untuk tatapan dan renungan anda semua...




Ramai yang bertanyakan kepada saya, "Kenapa tidak diadakan Hari Lelaki?"

Saya jawab, "Hari Lelaki tidak pernah ada kerana lelaki selalu berkorban untuk wanita".

Mereka bertanya lagi, "Berkorban macam mana dan sebanyak mana pengorbanan lelaki terhadap wanita?"

Saya jawab lagi, "Lelaki telah berkorban sejak zaman awal kewujudan manusia lagi di mana Adam telah mengorbankan sebatang tulang rusuknya untuk diberikan kepada Hawa...".



06 Mac 2011

Trak lama Tentera Darat Malaysia: Volvo C303

Sambutan hangat terhadap post sebelum ini; Pakaian tempur celoreng lama Tentera Darat, mengilhamkan saya untuk menulis satu lagi entry berkaitan dengan perkasasan lama yang pernah digunakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada suatu masa dahulu.

Kali ini saya akan berkongsi tentang kenderaan trak yang pernah digunakan oleh TDM. Koleksi trak-trak yang dibincangkan nanti adalah trak-trak tentera yang pernah saya lihat dan naiki ketika ayah saya ; Tn Syed Abu Bakar bertugas sebagai tentera darat di Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).

Antara trak askar yang selalu saya naiki adalah trak Volvo C303 buatan Sweden. Trak Volvo ini mula digunakan oleh TDM sejak 1970-an hingga penghujung 1990-an. TDM telah membeli dua variasi trak Volvo C303 ini iaitu jenis 4 x 4 (pacuan empat roda) dan 6 x 6 (pacuan enam roda). Trak Volvo ini digerakkan sepenuhnya dengan menggunakan kuasa petrol.


Inilah dia trak Volvo C303 pacuan empat roda (4 x 4) yang digunakan oleh 10 RAMD. Yang berada di atas bumbung trak sambil menjulang rifal M-16 itu ialah ayah saya. Dilengkapi dengan empat buah tayar, trak Volvo 4 x 4 jenis ini biasanya digunakan untuk membawa senjata sokongan artileri seperti mortar atau meriam.


Gambar ayah saya bersama dengan trak Volvo C303 pacuan enam roda (6 x 6). Dari segi rekabentuk bahagian hadapan (kepala) trak, model 6 x 6 ini tidak berbeza dengan model 4 x 4. Apa yang membezakannya adalah saiz muatan belakangnya yang lebih besar dan tinggi di samping dilengkapi dengan enam buah tayar. Trak jenis ini biasanya digunakan untuk mengangkut barang-barang operasi atau anggota-anggota tentera.


Ruang muatan belakang tak Volvo 6 x 6 ini sememangnya luas. Bahagian bumbungnya boleh dibuka dan ditutup bergantung kepada keadaan. Biasanya ketika mengangkut anggota tentera untuk pergi ke tempat operasi di dalam hutan, bahagian bumbung trak akan dibuka bagi membolehkan anggota tentera untuk terjun keluar dari trak dengan lebih pantas, sekiranya berlakunya sebarang serang-hendap oleh pengganas komunis.


Pada sudut kiri gambar anda akan dapat lihat bagaimana rupanya bahagian muatan belakang trak Volvo 6 x 6 ini. Pada bahagian tengah gambar adalah kereta Proton Saga yang merupakan kenderaan rasmi Pegawai Memerintah 10 RAMD berpangkat Lt. Kolonel ketika itu.


Bahagian dalaman atau interior trak Volvo C303 ini amatlah ringkas dan sungguh basic. Panel pemukanya (dashboard) hanya mempamerkan beberapa instrumen asas, tidak seperti yang terdapat pada trak-trak tentera pada masa kini. Bahagian permukaan dalam pintunya hanya dibuat dari kepingan kayu biasa dengan corak berlubang-lubang. Yang kurang best tentang trak Volvo ini adalah ia langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Radio pun tiada. 


Bahagian interior Volvo C303. Ramai anggota tentera ketika itu melahirkan kekecewaan kerana trak ini langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa mahupun radio. Untuk mengatasi masalah tersebut, biasanya anggota tentera akan memasang sendiri kipas kecil dan membawa radio mini berkuasa bateri ke dalam trak. Sumber gambar: http://www.real4x4.com/Volvo303.shtml



Mengikut apa yang diceritakan oleh ayah saya, kesemua trak-trak tentera ketika itu diselenggara sendiri oleh tentera yang bertugas di bahagian MT (military transport). Setiap seorang anggota tentera di bahagian MT akan ditugaskan untuk memandu, menyelenggara, memperbaiki dan mencuci hanya sebuah trak yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Saya tidak berapa pasti samada trak-trak tentera pada masa kini masih diselenggara oleh anggota tentera itu sendiri atau dihantar ke pusat-pusat servis kenderaan di luar sana. Kadang-kadang saya selalu nampak ada trak tentera yang diletakkan di workshop-workshop di luar kawasan kem tentera untuk diservis atau diperbaiki.



 Apabila trak Volvo ini hendak dipamerkan untuk pertunjukkan atau pemeriksaan oleh Pegawai Kanan Tentera Darat, ia akan dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Permukaan bahagian badan trak akan disapu dengan lapisan minyak bagi menghasilkan kesan kilat pada trak, seolah-olah kelihatan baru dibeli.


Selain dari kegunaan untuk mengangkut barang-barang dan anggota tentera ke tempat operasi, trak Volvo ini turut digunakan bagi mengangkut para-para isteri dan anak-anak anggota tentera. Kebiasaanya pihak pengurusan kem tentera akan menyediakan pengangkutan percuma kepada mana-mana ahli keluarga anggota tentera yang hendak pergi keluar ke bandar-bandar berhampiran untuk membeli barang keperluan (shopping) atau untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital-hospital kerajaan.

Ketika bersekolah, salah satu perkara yang menjadi kebanggaan saya sebagai seorang anak tentera adalah setiap hari saya akan sampai ke sekolah dengan menaiki trak tentera Volvo 6 x 6 inilah. Glamour tu! Kesemua murid-murid sekolah akan memandang saya dan rakan-rakan saya (yang juga sama-sama anak tentera) dengan rasa penuh kagum. Agaknya mereka pun teringin nak naik trak tentera ni. 

Untuk memuatkan murid-murid sekolah ini ke dalam trak dengan selesa, sebuah kerusi kayu yang panjang akan diletakkan di bahagian tengah muatan belakang trak. Ini bagi memastikan adanya ruang tempat duduk yang mencukupi. Seramai dua orang abang tentera akan ditugaskan bagi setiap buah trak yang digunakan untuk menghantar anak-anak tentera ke sekolah. Seorang pemandu trak, manakala seorang lagi akan duduk di belakang trak bersama-sama dengan anak-anak untuk menjaga keselamatan mereka. 

Disebabkan setiap hari persekolahan saya dah naik trak Volvo ni, hampir segenap bahagian trak Volvo ini saya sudah explore. Kadang-kadang saya selalu juga duduk di seat kiri bahagian kepala trak, sebelah pemandu. Memang seronok duduk di hadapan sambil berborak dengan abang askar yang memandu trak tersebut. Peluang ini saya gunakan sebaik-baiknya untuk melihat dan mempelajari serba-sedikit tentang fungsi panel bahagian depan dan dashboard trak.



 Saya (berdiri) dan rakan-rakan seangkatan ketika bersiap-sedia untuk ke sekolah dengan trak Volvo 6 x 6. Sebatang tangga kayu disediakan untuk membolehkan anak-anak memanjat naik dan turun dari trak dengan mudah. Seperkara yang tidak dapat saya lupakan adalah sekiranya hujan turun pada waktu malam, kami akan membawa kertas suratkhabar pada keesokkan paginya. Kertas suratkhabar tersebut akan digunakan bagi melapik tempat duduk dalam trak yang basah akibat hujan malan tadi. Keadaan dalam trak juga akan basah dan selalunya digenangi air. Hujan tempiaslah tu. Gambar diambil pada tahun 1989 di Blok Selangor, Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu.



Namun begitu, sehingga kini masih ada satu misteri yang belum terungkai tentang trak tentera ini, dan saya masih tercari-cari jawapan kepada persoalan ini sehingga kini. Kenapa trak tentera yang digunakan untuk membawa anak-anak tentera ini ke sekolah dinamakan sebagai "FERI SEKOLAH"? Siap tampal besar lagi label FERI SEKOLAH tu pada bahagian depan trak...


 Sehingga ke hari ini pun, gelaran "FERI SEKOLAH" masih diberikan kepada trak yang membawa anak-anak tentera ke sekolah. Rasanya Feri Sekolah pada masa sekarang mungkin lebih selesa berbanding Feri Sekolah pada zaman saya bersekolah dulu.

01 Mac 2011

Pakaian tempur celoreng Tentera Darat Malaysia yang lama

Hari ini genap 78 tahun penubuhan Tentera Darat Malaysia (TDM) di mana ulangtahunnya disambut pada 1 Mac setiap tahun. TDM ditubuhkan pada 1 Mac 1933. Dalam post kali ini, saya tidak mahu menghuraikan tentang sejarah TDM kerana pembaca boleh mendapatkan maklumatnya dengan mudah di internet.

Apa yang ingin saya kongsikan bersama kali ini adalah tentang pakaian tempur Tentera Darat (corak celoreng lama) yang sudah tidak lagi digunakan pada masa kini. Mungkin ada generasi sekarang yang tidak pernah melihat pakaian tempur celoreng tentera kita pada masa dahulu.

Hampir kesemua gambar yang saya kongsikan di sini adalah koleksi peribadi ayah saya; Tn Syed Abu Bakar b. Syed Mohamad, semasa beliau bertugas sebagai Tentera Darat suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, beliau dapat bersara dari dunia tentera dengan jayanya tanpa mengalami sebarang kemalangan atau kecederaan semasa bertugas. Ayah saya mula bertugas pada tahun 1973 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1992. Pada masa tersebut, aktiviti memerangi pengganas Komunis sedang giat dijalankan sehinggalah pada tahun 1990 apabila Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata secara rasmi.


Ayah saya (posisi bertinggung) bersama rakan platun semasa mula menyertai perkhidmatan Tentera Darat pada tahun 1973. Pada waktu ini Tentera Darat belum lagi menggunakan pakaian tempur yang mempunyai corak celoreng. Pakaian tempur di atas sebenarnya berwarna hijau muda. Lokasi gambar adalah rahsia.


Gambar ini diambil pada tahun 1979 di Kem Semanggo, Kuching, Sarawak. Ketika ini ayah saya bertugas di Rejimen ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD). Inilah dia sebenarnya pakaian tempur celoreng yang pertama digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.


Ayah saya ketika perbarisan 10 RAMD di Kem Semanggo, Kuching.


Gambar diambil di Cameron Highlands sewaktu operasi bersama Kor Armor Diraja. Kereta perisai V-150 TD dalam gambar ini sudahpun ditamatkan perkhidmatannya dalam Tentera Darat.


Ayah saya bergambar berlatarbelakangkan helikopter Aloutte yang masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga kini. Rasanya kena tukar lah tu dengan helikopter yang baru...


Gambar diambil di sebuah kem di utara Semenanjung ketika ayah saya mengikuti satu operasi. Kereta perisai APC SIBMAS dalam gambar di atas masih aktif lagi digunakan oleh Kor Armor Diraja. Senang saja kalau anda nak tahu samada seseorang tentera itu sedang menjalankan operasi atau tidak. Lihat saja pada pakaian celorengnya. Kalau warna celoreng itu sudah pudar atau lusuh, maknanya tengah operasi lah tu. Ayah saya kata kain celoreng ini macam kain denim (jeans). Lebih lusuh ia, lebih selesa dipakai. Material kainnya juga lebih tahan lasak dari kain celoreng jenis baru. 


Ayah saya dan rakan-rakan platun 10 RAMD ("skot" dalam bahasa askar) sedang berehat sebentar sambil berposing di hadapan kamera ketika menjalankan satu operasi di lokasi yang dirahsiakan. Ketika ini 10 RAMD berpusat di Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu.


Sekarang pakaian celoreng telah digantikan dengan corak yang baru. Menurut apa yang diceritakan oleh ayah saya, pakaian celoreng lama lebih bagus berbanding dengan celoreng yang baru. Ini kerana jika seseorang tentera berada dalam keadaan "menyamar" di dalam hutan, beliau lebih sukar untuk dikesan jika memakai pakaian celoreng jenis yang lama. Celoreng jenis lama lebih sesuai digunakan oleh anggota tentera yang bertugas di unit-unit khas seperti Sniper dan Marksman. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tanya ayah saya...


Pakaian tempur celoreng Tentera Darat yang baru. Pada pendapat anda, celoreng mana yang lebih cantik? Lama atau baru?


Sniper Tentera Darat Malaysia. Cuba anda lihat betul-betul pada corak celoreng yang digunakan pada pakaian dan pada senjata Sniper di atas. Celoreng baru digunakan untuk pakaian manakala celoreng lama digunakan sebagai pembalut samaran pada senjata. Corak celoreng mana yang lebih realistik? 


Tidak kisahlah sama celoreng baru atau lama, yang penting ialah semangat kesetiaan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap anggota Tentera Darat. Pakaian celoreng sebenarnya adalah pakaian eksklusif untuk anggota tentera sahaja. Saya sama sekali tidak bersetuju jika pakaian celoreng ini dipakai oleh individu-individu yang bukan dari golongan tentera.

Ayah saya pernah melahirkan rasa tidak senang pabila melihat terdapat ramai orang awam (civilian) di luar sana yang bukannya tentera, tetapi mengenakan pakaian celoreng dengan bersahaja dan sesuka hati. Cuba anda lihat di kompleks-kompleks membeli belah, berapa ramai remaja yang suka-suka hati berpakaian celoreng. Tak kiralah pakai baju celoreng ke, seluar celoreng ke, topi celoreng ke...

Tahukah anda, apakah yang diperlu dilalui oleh seorang tentera untuk melayakkan mereka memakai pakaian celoreng tersebut? Cuba anda fikirkan segala perit-jerih latihan ketenteraan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal mereka. Anda mungkin faham, tetapi anda tidak dapat merasainya. Memahami dan merasai adalah dua perkara yang cukup berbeza.

Budak-budak remaja sekarang sedap saja melepak, mengurat aweks, membuat bising sambil bermain handphone di shopping complex dengan memakai baju celoreng ala-ala tentera. Mereka sedikit pun tidak tahu tentang keperitan dan erti pengorbanan seorang anggota tentera dalam mempertahankan negara. Tahu-tahu sekarang dah hidup senang-lenang. Adik-adik, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tak sama langsung dengan Program Rekrut Tentera...

Lebih menyedihkan lagi ada golongan tertentu pada zaman kini yang cuba mengangkat martabat pengganas Komunis sebagai pembela negara pula. Katakanlah apa sahaja, pendapat golongan ini memang tidak dapat saya terima langsung.

Bagi mengakhiri post kali ini saya kepilkan klip-klip video Filem "Darah Satria" dan "Prebet Lapok" yang cukup membangkitkan inspirasi anak-anak muda suatu ketika dulu untuk menyertai perkhidmatan tentera atau dengan panggilan sinonimnya dikenali sebagai "Masuk askar". Kalau anda mahu lihat aksi tentera semasa menggunakan pakaian celoreng lama, bolehlah menonton kedua-dua filem ini.


Filem Darah Satria dibintangi oleh Aman Shah, A Galak, AR Badul sebagai teraju utama. Filem tahun 1983 ini diarahkan oleh Datuk Aziz Satar. Jika anda menghayati lirik lagu ini dengan penuh khusyuk, boleh terasa semacam satu perasaan yang sukar digambarkan.



Klip dari filem Prebet Lapok arahan Datuk Aziz Satar. Klip di atas mempertontonkan gelagat dan aksi AR Badul ketika mula-mula memasuki kursus asas rekrut Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat Port Dickson.



Klip video lagu "Hoi Kawan-kawan" dalam filem Prebet Lapok. Lagu dinyanyikan di atas trak tentera ketika perjalanan ke tempat operasi.


Kenapa sudah tiada produser filem tempatan yang berminat nak buat filem tentera Malaysia ye? Kan banyak sumber cerita dan skrip yang boleh diolah berdasarkan kisah benar perjuangan anggota tentera ketika menentang pengganas komunis dulu?

Selamat menyambung ulangtahun ke-78 Tentera Darat Malaysia kepada semua perajurit dan bekas perajurit tanahair. Pengorbanan Tuan-tuan yang tiada tolok-bandingnya kepada negara amatlah kami sanjungi. Keamanan dan kemakmuran negara kini terbina dari hasil titisan keringat, darah serta air mata anda (dan juga keluarga anda). Al-Fatihah untuk semua pahlawan negara yang telah gugur mempertahankan bumi Malaysia ini.

"Untuk semua penulis blog, ingatlah bahawa kemajuan sistem internet negara yang membolehkan kita menulis blog pada hari ini adalah terbina hasil pengorbanan para perajurit dalam mempertahankan negara." 

p/s: Entry selanjutnya saya akan bercerita tentang trak-trak askar yang pernah digunakan oleh Tentera Darat semasa memerangi pengganas Komunis. Sila klik di sini: "Trak Askar Lama"