Memaparkan catatan dengan label Permainan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Permainan. Papar semua catatan

16 Januari 2018

Permainan Game Watch Bola Sepak: Tomytronics Soccer

Menjelang pertengahan tahun 2018 nanti, akan muncul kembali demam musim perlawanan bolasepak Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia. Bila berbicara tentang bola, secara tiba-tiba saya teringkat akan satu permainan elektronik Game Watch bola sepak yang pernah saya bermain sewaktu saya berumur 7 tahun yang lalu. 

Walaupun saya bukanlah seorang yang gila bola, tidur bola dan makan bola, tetapi permainan Game Watch Bola Sepak yang akan saya kongsikan ini pernah membuatkan saya lalai sejenak kerana terlalu leka bermain dengannya.

Sumber gambar: https://www.ebay-kleinanzeigen.de/s-anzeige/tomy-electronic-9223-world-cup-soccer-led-game-fussball-vintage/773922893-279-3413

Inilah dia Permainan Elektronik Game Watch Tomytronics Soccer yang dikeluarkan oleh syarikat Tomy Electronics Japan pada tahun 1983. Permainan ini dikuasakan oleh sebiji bateri berkuasa 9 Volts (yang sekarang anda guna untuk mesin Touch & Go tu) dan 3 biji bateri bersaiz AA. Kiranya permainan Game ini kuat jugalah makan bateri. Bila bateri yang ada sudah habis, maka berkerutlah dahi ayah saya untuk membeli bateri baru, kerana pada zaman 1980-an, harga bateri bukannya murah. Mana ada adapter untuk charge bateri macam charge smartphone sekarang...



Ruang bateri di bawah konsol game. Satu biji bateri petak 9V dan tiga biji bateri 1.5 V saiz AA. Ternyata game ini menuntut pengorbanan dompet ayah atau ibu setiap kanak-kanak yang memililinya. Selalunya sebelum membeli bateri baru, ibu saya suruh saya jemur bateri lama tengah panas, katanya boleh dapat kuasa balik...

Cara permainannya? Mudah sahaja, tak perlu sampai tergeliat jari macam main FIFA guna Playstation atau X-Box sekarang ni. Jika anda lihat pada gambar di atas, Game ini boleh dimainkan oleh dua pemain pada satu masa.

Anda boleh memilih untuk bermain bagi pasukan Biru (sebelah kiri) ataupun pasukan Merah (sebelah kiri). Biasanya saya akan memilih Pasukan Biru dan abah saya Pasukan Merah. Pada sebelah setiap pasukan, terdapat tiga butang arah menendang bola ke arah depan, kiri dan kanan. Ketiga-tiga butang ini dilabel sebagai "Offense". Passing bola ke belakang tidak ada sama sekali ya. Anda hanya perlu menekan salah satu butang ini sahaja untuk menggerakkan bola. Kira macam passing bola lah tu kepada player di hadapan.

Barisan butang hantaran bola bagi pasukan Biru 
Sumber gambar: https://www.todocoleccion.net/

Terdapat sebuah butang ala-ala space bar berwarna putih bersebelahan butang tiga arah tadi. Butang ini dilabel sebagai butang Defense di mana anda boleh menghalang hantaran bola pihak lawan. Butang ini juga digunakan sebagai pertahanan terakhir menjaga benteng gol oleh Penjaga Gol. Kiranya butang putih ini macam butang Tackle dalam Game FIFA Playstation

Tetapi anda perlu pandai menekan butang ini senada dengan pergerakan tekanan butang arah oleh pemain lawan. Biasanya abah saya lebih cekap kerana dia pandai mengacah jarinya dengan buat-buat nak tekan, tapi tak tekan...

Butang kawalan bola bagi pasukan Merah
Sumber gambar: https://www.todocoleccion.net/

Dalam Game ini, bola ditandakan dengan nyalaan sebiji LED berwarna merah pada permukaan paparan game, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah. Paparan plastik tebal berwarna gelap adalah gelanggang padang bola sepak. Jika diperhatikan dengan teliti, anda akan dapat lihat di bawah paparan tersebut terdapat banyak LED berwarna merah...

Sumber gambar: https://www.ebay-kleinanzeigen.de/s-anzeige/tomy-electronic-9223-world-cup-soccer-led-game-fussball-vintage/773922893-279-3413


Kan boleh nampak tu lampu LED warna merah yang menandakan bola untuk ditendang....
Sumber gambar: https://www.todocoleccion.net/videojuegos-y-consolas/antigua-maquinita-game-watch-tomy-electronic-games-funcionando-correctamente~x52958278

Jika dilihatkan secara terperinci, rekabentuk konsol game ini direka seakan-akan mirip sebuah stadium bola sepak bertaraf Olimpik atau Piala Dunia. Ini bagi mewujudkan rasa ghairah seolah-olah anda sedang bermain bola di peringkat antarabangsa, dengan stadium dipenuhi penonton. Dalam kes kami sekeluarga, biasanya hanya ibu saya sahaja yang menjadi penonton perlawanan di antara saya dan abah saya...


Saiz konsol game yang kompak membolehkan permainan ini dibawa ke mana sahaja
Sumber gambar: https://www.ebay.com/itm/Vintage-LCD-Game-and-Watch-Tomy-Tomytronics-Soccer-still-works-1980s-/202088288910

Sepertimana konsol game yang lain, konsol game Tomytronics Soccer ini juga mempunyai limitasi. Jika anda lihat, pada bahagian atas konsol terdapat paparan skor jaringan gol buat pasukan Biru dan Merah. Jumlah maksimum bilangan gol yang boleh disumbat hanyalah setakat 9 gol sahaja kerana hanya satu digit nombor yang mampu dimuatkan di skrin LED. 

Jelas kelihatan pasukan Merah mendahului pasukan Biru dengan jaringan 2-0. Pasukan Biru sedang melakukan sepakan mula
Sumber gambar: https://www.todocoleccion.net/videojuegos-y-consolas/antigua-maquinita-game-watch-tomy-electronic-games-funcionando-correctamente~x52958278

Ada dua mode permainan bagi game ini. Mode pertama ialah anda boleh berlawan dengan komputer, manakala mode kedua anda boleh berlawan sesama sendiri dengan rakan anda. Permainan mode kedua pada saya jauh lebih menarik kerana lawan anda ada di depan mata. Anda juga boleh menjerit di depan lawan anda bagi meraikan jaringan gol, seterusnya menambahkan rasa pedih di hati mereka pabila mereka tewas. 

Biasanya berlawan dengan komputer jauh lebih sukar kerana komputer cukup cekap dalam menyekat hantaran bola anda. Pabila bermain dengan mode kedua, pastikan anda tidak mengasari pihak lawan anda dengan menghaburkan kata-kata kesat atau memukul mereka di alam nyata kerana ini hanyalah sekadar game semata-mata. Pengadil pun tiada untuk beri kad kuning ataupun kad merah...

Untuk lebih merasai dan memahami bagaimana game ini dimainkan, di sini ada saya sediakan link YouTube untuk anda tonton...

Sumber video: https://www.youtube.com/watch?v=C9Vw95Jvpio


27 Ogos 2014

Permainan Tikam-tikam

Elemen-elemen "judi" dan "pertaruhan" sememangnya sukar untuk dikikis disebabkan beberapa faktor keseronokkan. Siapa di antara kita sewaktu zaman kanak-kanak tidak pernah mempertaruhkan duit syiling yang ada di dalam poket kita untuk bermain "tikam-tikam"? Tikam-tikam merupakan sejenis permainan yang cukup popular suatu masa dahulu. Ia boleh didapati di kedai-kedai runcit segala pelusuk kampung dan kota. 

 Antara papan permainan tikam-tikam yang cukup popular suatu masa dulu. Paparan kemasan gambar kartun yang menarik bagi meransang budak-budak supaya terus membelanjakan wang untuk memenangi hadiah. Sumber foto dari: http://azreenamran.blogspot.com/2012/01/there-were-moment-well-always-remember.html

Pembeli hanya perlu membayar sebanyak 20 sen sahaja untuk membolehkan mereka mencabut sekeping kertas tiket pada papan permainan tikam-tikam tersebut. Pada kertas tiket yang dicabut itu akan tertera nombor yang merujuk kepada "hadiah" yang dimenangi. Kebanyakkan hadih dipamerkan atau dilekatkan pada papan tikam-tikam. Tak lain dan tak bukan objektifnya untuk membuatkan kanak-kanak berasa geram bila hadiah tidak dapat dimenangi. Mahu tak mahu, kenalah terus-menerus membeli sehingga duit habis.

Permainan tikam-tikam ini juga mengajar kanak-kanak tentang ilmu kebarangkalian matematik. Peluang untuk menang sebenarnya boleh diagak jika kanak-kanak itu berfikir secara logik dan praktikal. Sebab itu ramai ibu bapa yang memberi nasihat kepada anak-anak mereka terlebih dahulu sebelum bertaruh. 

Dengan godaan tawaran hadiah seperti gambar di atas, mana taknya budak-budak ketagih nak main tikam-tikam. Ternyata ketegasan dan kegarangan ibu bapa tidak mampu menghalang anak-anak dari terus merengek meminta untuk bermain tikam-tikam. Silap-silap, ibu bapa pun terjebak bermain sama sebab rambang mata; Sumber foto: http://penceritamaya.blogspot.com


Kalau dah namanya pertaruhan (a.k.a judi), memanglah akan ada unsur-unsur penipuan. Kebanyakkan pekedai akan melakukan beberapa taktik bagi melariskan lagi bisnes tikam-tikam ini. Kononnya ini dikira sebagai satu strategi pemasaran yang berfalsafahkan slogan "Berniaga kalau tak tipu, tak untung wooo..."


Taktik 1:
Tiket cabutan semakin kurang sebab banyak yang dah dibeli. Lalu pekedai akan mengubah nombor rujukan pada hadiah tikam-tikam. Senang saja nak amalkan taktik ini lebih-lebih lagi bila kedai dah ditutup, siapa yang nampak ya tak? (Sumber foto: http://nadiahrafie.blogspot.com/)












Taktik 2:
Letak hadiah-hadiah paling best (sampai tak logik langsung) pada papan hadiah tikam-tikam. Padahal sebenarnya hadiah tersebut memang tak akan dapat dimenangi sampai kiamat sebab nombor rujukan hadiah itu tidak pernah ada dalam susunan tiket cabutan. Contoh hadiah yang dimaksudkan seperti yang ditunjukkan dalam gambar di sebelah. Takkanlah dengan bermodalkan 20 sen sahaja boleh menang scale model superbike macam ni.










Taktik 3:
Kalau sudah banyak hadiah yang telah dimenangi, nescaya papan hadiah tikam-tikam itu sudah hilang bisanya. Apa tidaknya, asal cabut saja, pasti dapat tiket cabutan yang tertera ayat "TERIMA KASIH". Maka pekedai akan serta-merta akan menggantikan dengan set tikam-tikam yang baru. Maklumlah, budak-budak pun berfikir jugak, bila lihat hadiah sudah makin kurang, tapi tiket cabutan masih banyak lagi. Akan tetapi kejadian ini jarang-jarang sekali berlaku.


Saya mempunyai seorang bapa saudara yang umurnya tak jauh sangat dengan umur saya. Sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja, kehadiran beliau di kedai-kedai runcit sangat ditakuti oleh towkay kedai disebabkan kemahiran beliau bermain permainan tikam-tikam ini. 

Asal cabut satu aje kertas tikam, mesti menang hadiah punya; sehinggakan towkay kedai memujuk rayu kepada beliau supaya berhenti membeli dan memberi peluang kepada budak-budak lain untuk bermain. Kalau dibiarkan, dengan hanya berbekalkan dua ringgit sahaja, beliau mampu menyapu bersih semua hadiah yang ada.


Bayangkanlah kalau setiap kali cabut tiket mesti menang satu hadiah, towkay kedai runcit mana yang tak "freak". Hadiah makin kurang sebab dah menang, tiket masih banyak tersusun lagi. 
Macam mana tu? Sumber foto: http://kedaikasimbaba.blogspot.com


Saya ingat nanti nak ajak beliau pergi funfair kat Semenyih. Nak tengok samada sentuhan beliau masih berbisa lagi..

14 Februari 2011

Malam Burung Hantu

Kehidupan saya kebelakangan ini yang saling tak tumpah seperti seekor burung hantu mengingatkan saya tentang satu jenis aktiviti adventure yang selalu dimainkan ketika zaman persekolahan menengah dahulu. Pernahkah anda mendengar tentang aktiviti atau permainan "Malam Burung Hantu"?

Untuk mengelakkan anda berasa terkejut lalu takut dengan tajuk entry kali ini, saya letakkan gambar kartun burung hantu sahaja pada bahagian awal cerita ini. Diharapkan perasan ketakutan dapat dikurangkan supaya anda dapat meneruskan pembacaan entry blog ini.


Aktiviti Malam Burung Hantu ini pastinya dijalankan pada waktu malam, khususnya selepas jam 12 tengah malam. Kalau tidak, takkanlah dinamakan sebagai Malam Burung Hantu. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk menambahkan daya keyakinan, ketabahan dan keberanian individu. Aktiviti ini sering dijadikan acara kemuncak dalam program-program ko-kurikulum di sekolah khususnya dalam aktiviti perkhemahan (camping) dan program-program bina semangat. Tetapi biasalah, mesti ada objektif-objektif lain yang ditambah kemudiannya. Antaranya ialah keseronokkan hendak mengusik pelajar-pelajar Junior atau ahli-ahli kelab yang baru.


Kehadiran bulan mengambang penuh memang sangat dialu-alukan oleh penganjur aktiviti Malam Burung Hantu. Lebih terasa keseramanannya. Barulah mencabar bulu roma dan tengkuk para peserta. Sumber gambar: thereknee.blogspot.com

Konsep aktiviti ini agak mudah difahami dan dipraktikkan, di mana setiap peserta akan melihat diri mereka sebagai seekor burung hantu yang duduk bersendirian di waktu malam gelap untuk menghayati suasana malam. Bukannya tidur ye. Burung Hantu hanya tidur pada waktu siang.


Nama sahaja aktiviti Malam Burung Hantu. Tetapi sebenarnya tiada seekor pun burung hantu yang terlibat secara langsung dalam menjayakan aktiviti ini. Walaubagaimanapun kehadiran burung hantu sebenar amatlah dialu-alukan bagi menambah kesan bunyi yang menyeramkan. Woo...woo...woo! Sumber gambar: knowledgera-theworld.blogspot.com


Setiap peserta akan ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu dan jaraknya berjauhan antara satu sama lain. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya komunikasi di antara mereka. Peserta tidak dibenarkan membawa sebarang bentuk alat hiburan (contoh: walkman) dan komunikasi (telefon, wisel). Tapi masa saya sekolah dulu, mana ada pelajar sekolah yang pakai handphone! Berapa lama anda akan ditinggalkan bersendirian, itu bergantung kepada kehendak penganjur aktiviti.


Bagaimanakah rasanya pabila duduk seorang diri di tempat yang gelap pada malam yang gelap-gelita? Inilah persoalan yang sering menghantui perasaan peserta Malam Burung Hantu sebelum mereka terpaksa tanpa rela menyertai program tersebut. Waa...nak balik!

Sebenarnya aktiviti Malam Burung Hantu ini terbahagi kepada dua kategori;
  1. Malam Burung Hantu tanpa Hantu, dan
  2. Malam Burung Hantu dengan Hantu.

Malam Burung Hantu tanpa Hantu

Dalam kategori ini, peserta akan ditinggalkan berseorangan di satu lokasi tertentu. Jadilah peserta itu seperti seekor burung hantu. Peserta tidak dibenarkan meninggalkan tempat tersebut dan mereka hendaklah kekal berada di sana untuk satu tempoh yang ditetapkan. Mereka hanya  boleh meninggalkan tempat tersebut hanya setelah dijemput pulang oleh pengelola aktiviti Burung Hantu.

Kebiasannya peserta akan berhadapan dengan cabaran emosi dan godaan yang timbul dari dalam diri sendiri. Ada peserta yang ternampak atau terdengar "sesuatu", dan ada juga yang tidak terjumpa apa-apa. Kadang-kadang ada yang menjerit ketakutan walaupun sebenarnya tak nampak apa-apa pun.


Menutup mata dan telinga tidak banyak membantu para peserta dalam menghilangkan perasaan takut kerana perasaan takut itu datang dari dalam jiwa mereka sendiri.
 

Malam Burung Hantu dengan Hantu

Aktiviti kategori ini jauh lebih menakutkan dan lebih mencabar keberanian para peserta. Kaedahnya sama seperti sebelum ini tetapi beberapa inidividu telah dipilih untuk menjadi "Hantu". Hantu-hantu ini biasanya terdiri dari barisan pelajar-pelajar Senior yang berpengalaman luas dalam menjadi Hantu pada aktiviti-aktiviti Malam Burung Hantu yang diadakan sebelum ini. Mereka juga semestinya telah merasai jerit-perih pengalaman menjadi Burung Hantu dan dikacau oleh Hantu sewaktu mereka berstatus Junior.



Status identiti sebenar Hantu-Hantu yang terlibat dalam program Malam Burung Hantu biasanya dirahsiakan oleh pihak penganjur. Ini bagi mengelakkan para peserta a.k.a Burung Hantu menaruh perasaan geram dan dendam terhadap mereka di kemudian hari. Sumber gambar: atoyis-san.blogspot.com

Sebelum aktiviti malam itu dimulakan, Hantu-hantu yang terpilih hendaklah menyiapkan diri mereka dengan persediaan fizikal dan mental. Dari segi fizikal, mereka akan memilih pakaian dan solekan yang bersesuaian dengan tema atau jenis hantu yang dipilih. Kebiasaannya mereka lebih senang memilih untuk berlakon menjadi Hantu Pontianak/Langsuir atau Hantu Pocong, tapi biasanya Pocong yang boleh berjalanlah. Tak mahu mereka jadi Hantu Pocong yang melompat-lompat. Bukannya senang. 

Pakaian pula direka sendiri berdasarkan daya kreativiti masing-masing. Kalau nak senang, pinjam saja kain telekung emak masing-masing di rumah. Kulit batang serai atau penyedut minuman (straw) yang diraut halus boleh disarungkan pada hujung jari bagi menonjolkan imej "kuku panjang Hantu". Teknik solekan juga mudah, di mana hanya bedak sejuk sahaja yang diperlukan untuk memutihkan wajah, seperti gambar di bawah ini.


 
Hantu-hantu akan mengambil sajian makanan  sebelum malam menjelang tiba, bagi memastikan mereka dilengkapi keperluan tenaga dan nutrien yang mencukupi sepanjang menjalankan tugas sebagai seorang Hantu. Sumber gambar: forumkami.com

Persediaan dari segi mental juga perlu. Hantu-hantu akan diberikan panduan yang lengkap tentang bagaimana menangani situasi-situasi kecemasan dan keadaan yang tidak diingini. Kebiasaannya nasihat dan tunjuk ajar akan diberikan oleh Hantu-hantu yang lebih berpengalaman. Antara keadaan yang paling tidak diingini berlaku adalah situasi di mana Hantu-hantu ini terjumpa "Hantu-hantu yang sebenar".



Para peserta diminta supaya tidak sesekali menjalinkan persahabatan dengan para Hantu yang menguji mereka dalam aktiviti Malam Burung Hantu kerana tidak dapat dipastikan samada Hantu tersebut benar-benar "Hantu betul" atau "Hantu Palsu". Sumber gambar: noorizamshah.com


Pabila para peserta telah diletakkan bersendirian, maka keluarlah Hantu-hantu untuk menjalankan tugas mereka. Seorang Hantu biasanya akan diiringi oleh seorang pembantu yang bukan Hantu bagi membantu mobiliti Hantu. Iyelah, kalau dah berpakaian seperti Hantu, mestilah susah sikit nak berjalan kan...Bagi yang lebih kreatif, ada Hantu yang berdiri di atas scateboard dan pembantunya akan menarik atau menolak scateboard itu dengan menggunakan tali. Ini bagi mendapatkan special effect pergerakkan Hantu yang lancar dan smooth, macam berjalan atas angin dan kaki tidak berpijak di bumi...



Bukannya mudah nak berjalan ke sana ke mari jika anda berpakaian seperti ini. Sumber gambar: duniaseorangputera.blogspot.com


Bagaimana respon para peserta terhadap kehadiran Hantu-hantu tersebut? Bergantung kepada kekuatan mental mereka. Ada yang menjerit, menangis dan tidak kurang pula yang cabut lari terus meninggalkan lokasi kejadian. Ada juga yang hanya ketawa melihat gelagat Hantu-hantu yang mengusik mereka. Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah semasa sekumpulan pelajat Junior merayu-rayu sambil menangis-nangis kepada kami (pelajar Senior) supaya tidak mengadakan aktiviti Malam Burung Hantu pada satu program perkhemahan tahunan. Tapi kami peduli apa. Aktiviti tersebut tetap dijalankan seperti biasa...

Saya tidak berapa pasti sama ada program Malam Burung Hantu ini masih aktif dipraktikkan oleh badan-badan beruniform atau ko-kurikulum di sekolah-sekolah pada masa kini. Menurut kawan saya. ia masih lagi dijalankan tetapi tidak secara meluas. Aktiviti ini pun sudah semakin ditinggalkan. Kata kawan saya lagi, "Burung Hantunya memang ada, tapi tiada siapa yang nak jadi Hantunya..."


Pasukan Pengakap SEDAR Batch 1996. Kami sering mengadakan aktiviti Malam Burung Hantu pada setiap program perkhemahan Pengakap yang diadakan di dalam dan luar kawasan sekolah. Cuba anda teka siapa di dalam gambar ini yang selalu menjadi Hantu...

24 Januari 2011

Kereta Mainan Kayuhan Kaki

Salah satu faktor penyebab ramai kanak-kanak membesar sebagai seorang dewasa yang gemuk atau obes adalah disebabkan kewujudan pelbagai barang permainan yang menggunakan bateri. Penggunaan bateri bermakna semakin kurangnya penggunaan tenaga oleh kanak-kanak untuk bermain permainan tersebut. Alatan permainan yang dahulunya perlu digerakkan dengan menggunakan kudrat kecil kanak-kanak (misalnya basikal mini yang dikayuh) sekarang telah ditukarkan dengan basikal mini berkuasa elektrik dari bateri yang dicaj.

Walaupun begitu, kebanyakkan kanak-kanak zaman sekarang masih memilih untuk mengayuh sendiri basikal mainan mereka. Mungkin lebih menyeronokkan di samping dapat menjimatkan perbelanjaan isirumah ibu-bapa mereka. Tapi pernahkan anda melihat kereta mainan kanak-kanak yang menggunakan pengayuh kaki untuk bergerak?


Dua orang Puteri "Z" sedang bergaya memandu kereta mainan kayuhan kaki yang baru dibeli. Sungguh membanggakan kerana kereta ini dibeli dengan pembayaran tunai, tanpa perlu memohon pinjaman pembiayaan kenderaan dari mana-mana bank ketika itu.

Inilah dia kereta mainan kayuhan kaki yang begitu diinginkan oleh setiap kanak-kanak sekitar era 1970 hingga 1990-an. Untuk memandu kereta ini, beberapa langkah di bawah perlu dilakukan mengikut turutan.

  1. Masuk ke dalam kenderaan dan duduk di atas "seat" yang disediakan. Hanya boleh memuatkan seorang kanak-kanak sahaja. Jangan risau saiz badan kanak-kanak membolehkan anda duduk dengan selesa.
  2. Pandang ke hadapan sambil memegang stering kereta. Jangan tekan hon lagi.
  3. Letakkan kaki perlahan-lahan di atas pedal kayuhan (pada bahagian bawah stering).
  4. Tekan dan kayuh pedal secara beransur-ansur dan perlahan.
  5. Putar stering mengikut arah yang hendak dituju (kiri dan kanan).
  6. Sekarang anda boleh mula melakukan kayuhan dengan lebih pantas dan bertenaga.

Jika tidak diilakukan mengikut turutan, nescaya kereta tersebut tidak akan berganjak dari kedudukan pegun. Sudah tentu ia tidak akan bergerak ke depan mahupun ke belakang. Anda juga tidak akan dapat mencapai pecutan yang diinginkan (dah macam kelas Fizik ni...).


Kehadiran kereta mainan kayuhan ini memang mengundang perhatian kanak-kanak lain di kawasan kejiranan anda. Anda juga secara automatis akan mendapat ramai kawan. Lihatlah gambar di atas. Ramai yang hendak bergambar di sisi kereta anda. Tidak kurang juga yang kepingin untuk meminjamnya bagi tujuan memandu.

Jika mahu memberhentikan kenderaan, anda boleh menghentikan kayuhan serta-merta. Sekiranya berlaku kes kecemasan, anda boleh menggunakan kaki anda sendiri sebagai brek, tetapi mesti dilakukan dengan berhati-hati. Biasanya hanya pemandu kanak-kanak yang profesional sahaja yang pakar dalam melakukan tindakan ini.

Kereta mainan kayuhan kaki ini juga dilengkapi dengan gear undur atau reverse. Tetapi gear reverse manual lah, bukan automatik. Adik-adik, jangan nak mengada-ngada. Masa dulu, kereta yang betul-betul bergerak atas jalan raya itupun semuanya pakai gear manual. Takdenya gear-gear automatik. Untuk bergerak ke belakang, anda hanya perlu mengayuh dengan arah lawan jam atau bersongsangan dengan corak kayuhan untuk bergerak ke hadapan.

Jangan memandang rendah keupayaan kereta mainan kayuhan ini. Dilengkapi dengan sistem hon, ia mampu mengejutkan jiran tetangga sebelah rumah yang sedang lena tidur di waktu awal petang. Sistem hon yang baik dapat memaklumkan kehadiran anda dan kereta anda di kawasan halaman rumah. Ini seterusnya dapat mengelakkan berlakunya kejadian langgar-lari, tak kira samada anda terlanggar kucing atau kaki orang lain.

Aspek keselamatan juga turut dititikberatkan. Terdapat cermin sisi (side mirror) di sebelah kiri dan kanan, membolehkan anda melihat pemandangan belakang yang jauh ditinggalkan (macamlah laju sangat kereta ni...)


Side mirror sebelah kanan sudah tercabut, kesan dari kejadian kemalangan yang berlaku sebelum gambar ini diambil.

Saya tidak begitu pasti tentang harga kereta mainan kayuhan ini. Tetapi jangkaan saya ia tidaklah murah dan boleh dianggap mahal ketika suatu masa dahulu. Saya sendiri pun tidak pernah memiliki kereta seperti ini. Saya hanya kadang-kadang tumpang bermain dengan kereta kepunyaan keluarga angkat saya. Memandunya memang seronok. lebih seronok lagi jika ada kawan-kawan lain yang mempunyai kereta yang sama jenisnya tetapi berlainan warna dan bentuk. Boleh diajak berlumba...


Lama sungguh rasanya nak menunggu sampainya giliran anda kembali untuk memandu kereta. Akibatnya saya telah dikeluarkan oleh pemandu lain dari seat kereta. Saya menangis kerana diperlakukan sedemikian rupa tanpa kerelaan saya. Waa...naik main lagi!

Walaubagaimanapun, kereta mainan kayuhan ini tidaklah dilengkapi dengan sistem lampu dan signal yang boleh dinyalakan. Yalah, di mana nak cari punca kuasanya. Mana ada bateri. Nak bergerak pun kena kayuh guna tenaga sendiri. Kadang-kadang kalau dah malas tu, minta tolong emak atau ayah tolong tolakkan. Nak minta tolong kat adik-beradik atau kawan-kawan pun boleh, tapi kena bergilir-gilir lah tolak. Mana aci, asyik kita saja yang kena tolak...


Beruntung kanak-kanak zaman sekarang. Tidak perlu mengayuh lagi. Semua kereta mainan sudah pakai bateri. Rupabentuk pun sudah semakin canggih. Tetapi fikirkanlah, anda sebenarnya sudah menggalakkan anak-anak anda supaya tidak mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Sumber gambar: mudah.my

28 Disember 2010

Kuda Longkang

Sepertimana yang kita tahu, pertandingan lumba kuda merupakan salah satu perlumbaan yang amat diminati oleh golongan elit. Ia bukan hanya tentang perlumbaan kuda dan Jockeynya semata-mata, tetapi ia melibatkan pertaruhan wang yang tinggi, disebabkan kos pertandingan lumba kuda yang juga tinggi. Kos pemilikan seekor kuda lumba dan penyelenggaraannya amat mahal. Hanya golongan yang berada sahaja dapat memiliki seekor kuda lumba. Gaji Jockey kuda pun cukup bulan kena dibayar juga.


Namun begitu, individu-individu yang kurang berkemampuan juga mampu memiliki kuda lumba sendiri dan boleh menyertai pertaruhan lumba kuda. Tetapi ia bukanlah kuda biasa seperti yang anda ketahui sebelum ini. Inilah dia permainan lumba KUDA LONGKANG untuk golongan yang kurang berkemampuan, tetapi masih mahu bertaruh dalam perjudian lumba kuda.

Kalau nak berjudi tu, tak kira siapa. Kaya atau miskin, muda atau tua…


Inilah dia, sukan lumba Kuda Longkang. Kesemua kuda dalam keadaan bersedia untuk dilepaskan.

Permainan kuda longkang ini mula mendapat sambutan hangat dari penduduk Kuala Lumpur bermula sejak pertengahan era 1960-an hingga awal 1980-an. Permainan ini mengadaptasi konsep pertandingan perlumbaan kuda sebenar. Kuda pertama yang mencecah garisan penamat akan diisytiharkan sebagai Juara dan seterusnya sehinggalah yang paling akhir sekali tiba.

Kuda longkang tidak memerlukan Jockey (penunggang). Kuda longkang sebenarnya adalah satu bentuk kepingan plastik ringan berbentuk bujur yang boleh terapung serta bergerak di atas permukaan air. Jika kuda lumba sebenar berlari di atas padang trek, kuda longkang akan “berlari” di atas permukaan air di dalam longkang atau parit.

Kelihatan 3 ekor kuda longkang yang sedang rancak berlumba di dalam longkang

Jika anda mahu menyertainya, anda memerlukan seekor kuda. Kuda hendaklah disewa dari penganjur pertandingan. Anda juga wajib membayar yuran pertandingan yang melayakkan anda untuk bertaruh dalam perlumbaan. Jika tidak berlumba, anda boleh menjadi penonton dan membuat pertaruhan sesama rakan dengan meneka kuda mana yang sampai dahulu. Konsepnya sama macam judi lumba kuda betul.

Antara kriteria pemilihan longkang untuk dijadikan trek perlumbaan kuda longkang adalah:
  1. Longkang mestilah bersih dan bebas dari sampah-sarap atau lumut hijau.
  2. Air longkang mestilah jernih dan tidak kotor sama sekali.
  3. Aliran air longkang tidak terlalu perlahan dan tidak juga terlalu laju.
  4. Panjang longkang sekurang-kurangnya 70 kaki.
Sebab mengapa kriteria-kriteria di atas begitu penting, akan saya perjelaskan satu persatu di bawah.


Cara-cara bermain kuda longkang (sila rujuk gambarajah lakaran di bawah)



  1. Pengadil “A” akan meletakkan barisan kuda-kuda di atas sekeping papan pemula (jika kurang faham, sila rujuk gambar pertama yang mula-mula muncul dalam siri blog kali ini).
  2. Sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan, papan pemula akan diturunkan ke atas permukaan air. Dengan arus air longkang yang telah tersedia ada, kuda-kuda akan terus meluncur dengan gagahnya di atas air longkang.
  3. Pengadil “A” akan memastikan perjalanan kuda-kuda tidak diganggu oleh penonton-penonton yang berdiri di tepi longkang.
  4. Pengadil “B” di garisan penamat akan melihat dan memutuskan kuda mana yang mencecah garisan penamat. Beliau mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan tempat pertama, kedua atau ketiga. Yang kemudiannya tu, dianggap kalah. Beliau juga akan mengutip kembali kuda-kuda dari dalam longkang yang telah menghabiskan perlumbaan.

Disebabkan pengadil perlumbaan terpaksa bergelumang dengan air longkang (banyak kali jari-jemari dan tangan terendam dengan air longkang), maka adalah sangat penting bagi penganjur memastikan longkang tersebut sentiasa bersih, tanpa sebarang sampah-sarap dan lumut. Kehadiran sampah dan lumut juga boleh mengganggu pergerakkan kuda di dalam longkang. Keadaan air yang jernih juga penting kerana jika keruh, pengadil mungkin kurang Nampak dengan jelas, kuda mana yang mencecah garisan penamat terlebih dahulu.


Sungguh bersih dan cantik sekali longkang ini. Untuk makluman pembaca, ini bukan longkang di tanahair, tetapi di Korea Selatan. Sumber: ilhamfatihah.wordpress.com

Aliran air longkang yang terlalu perlahan mungkin akan menyebabkan pergerakkan kuda menjadi lambat, seterusnya boleh menyebabkan penonton berasa bosan. Bila penonton rasa bosan, mereka mungkin tidak mahu meletakkan pertaruhan sekaligus boleh menyebabkan perlumbaan tidak mendapat sambutan. Jika pertandingan tidak mendapat sambutan, tiada siapa yang akan membuat pertaruhan wang. Sudah tentu penganjur akan rugi besar. Kalau aliran air terlalu cepat, nanti pengadil tidak sempat pula nak lihat, kuda mana yang sampai dulu. Perlumbaan pun tentu akan tamat terlalu awal. Mungkin tak sempat nak lihat aksi-aksi kejar-mengejar dan pintas-memintas antara kuda.

Mengikut apa yang diceritakan oleh ibu saya, antara lokasi longkang di Kuala Lumpur yang selalu dijadikan tapak perlumbaan kuda longkang adalah di longkang besar berhampiran tapak pasar malam Kampung Baru. Pada zaman kini, sudah tiada siapa lagi yang nak bermain kuda longkang. Salah satu sebabnya adalah keadaan longkang zaman sekarang. Dah tak bersih macam dulu dah.


Poster filem "Sikit Punya Gila". Filem ini memang cukup kelakar. Jika anda masih ingat, ada adegan Seniwati Yusni Jaafar tercekik tongkol jagung setelah melihat Ibrahim Pendek (membawa watak sebagai suaminya dalam filem ini) menggatal dengan Norlia Ramli dan Nora Shamsudin 

Pada tahun 1980, sebuah filem berjudul “Sikit Punya Gila”, lakonan Hamid Gurkha dan Dharma Harun Al-Rashid telah memaparkan adegan perlumbaan kuda longkang di Kuala Lumpur (Poster filem ditunjukkan di atas). Bagi anda yang belum pernah melihat bagaimana meriahnya perlumbaan kuda longkang ini (serta mahu memahaminya dengan lebih lanjut), anda bolehlah menonton sedikit sedutan klip filem ini.




Permainan kuda longkang ini juga sudah pupus mungkin kerana ianya tidak lagi mendapat sambutan ramai kerana kesedaran masyarakat tentang kesan negatif perjudian. Kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk lesen penganjuran perjudian lumba kuda longkang. Jadi, kuda longkang ini boleh dianggap sebagai satu bentuk perjudian haram (sama statusnya seperti ekor haram). Tapi, pada masa dulu, tidak pernah ada operasi pembanterasan yang dijalankan oleh Pihak Polis atau Jabatan Agama Islam ke atas judi lumba kuda longkang ini.

Perlumbaan kuda mempunyai pengaruh yang cukup kuat ke atas rakyat Malaysia dan Singapura. Lihatlah. Sampai sekarang pun kita masih lagi menggunakan Kalendar Kuda ini. Ternyata, walaubagaimana cantik dan canggihnya kalendar-kalendar yang ada pada zaman sekarang, kalendar kuda tetap menjadi pilihan ramai. Sumber: koleksikalendarkuda.blogspot.com

Namun, acara lumba kuda longkang ini ada kebaikannya. Secara tidak langsung, kebersihan longkang-longkang tempat berlangsungnya perlumbaan akan sentiasa terpelihara kebersihannya. Nyamuk aedes dan spesis-spesis nyamuk yang lain pun tidak dapat membiak. Penganjur perlumbaan akan memastikan tiada sampah-sarap atau lumut yang tumbuh di dalam longkang. Begitu juga dengan barisan penonton. Mereka tidak akan sesekali membuang sampah ke dalam longkang.

20 Disember 2010

Jam tangan Robot

Kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan dengan alat permainan mereka. Jika kita lihat, ramai budak-budak di luar sana yang sentiasa membawa alat permainan mereka bersama ke hulu dan ke hilir. Asyik berkepit dan tak boleh berenggang,. Itu yang sampai ada yang sanggup gantung PlayStation Portable (PSP) kat leher tu. Bila berjalan, bukannya tunduk kerana rasa rendah diri, tapi kerana berat PSP tersebut.

Sebelum ini ada saya siarkan tentang jam tangan yang mempunyai permainan Game Watch. Kali ini saya akan perkenalkan anda semua dengan satu lagi produk permainan yang lebih kurang sama konsepnya dengan jam tangan Game Watch tapi tak serupa cara permainannya. Konsep yang digunakan oleh pereka produk ini adalah "Kanak-kanak dan alat permainan tidak dapat dipisahkan" macam pepatah P. Ramlee; irama dan lagu tak boleh dipisahkan...  




Apa bendanya tu? Nampak macam jam tangan sebab pakai di tangan. Tapi ini bukan jam tangan biasa. Inilah dia Jam Tangan Robot kalau anda nak tahu. Produk mainan ini sangat popular dan menjadi idaman kanak-kanak sekitar awal tahun 1980-an. Bahagian badan jam ini boleh ditukar atau "ditransform"kan menjadi sebuah robot kecil. Kagum betul saya pada masa itu melihatkan jam tangan boleh dilipat-lipat, diputar-putar, dibengkok-bengkok dan dipulas-pulas untuk bertukar menjadi robot (gambar di bawah).




Robot berkaki warna biru dan kuning (yang terletak di tengah) dalam gambar di atas itu adalah robot yang telah ditransformasikan dari jam tangan yang ditunjukkan dalam gambar sebelum ini. Kalau tak silap saya, rekabentuknya sama seperti robot Voltron. Kedua-dua robot yang menjadi pengiringnya itu (kiri dan kanan) saya tak pasti pula dari spesis robot mana. Tapi, kedua-duanya pun boleh jadi jam tangan juga. 

Kan betul kata saya. Robot jam dalam gambar sebelum ini adalah sebenarnya robot Voltron. Kalau tak percaya, lihat gambar robot Voltron di atas ni dan bandingkan dengan robot jam tangan tadi. 

Untuk menukarkan jam tangan ini kepada mod robot, bahagian badan jam ini perlulah dipisahkan dari talinya.   Bab yang ini sebenarnya agak meresahkan serta merisaukan ibu bapa. Apa taknya, bila dah jadi robot, kebarangkalian anak-anak mereka untuk menghilangkan tali jam tersebut secara tidak sengaja adalah tinggi. Bila tali jam dah hilang, maka secara automatiknya "Jam Tangan Robot" dah bertukar statusnya menjadi "Jam Robot Pegang Dengan Tangan". Sekali pandang, dah rupa macam Stopwatch pulak. Bila sudah jadi macam ni, anak-anak pun mulalah merengek kembali minta dibelikan jam tangan robot yang baru. Ramai budak-budak yang saya lihat pada mulanya mempunyai jam tangan robot yang lengkap dengan talinya. Selepas 4-5 hari, tali jam tu samada sudah tercabut atau sudah hilang.


Kadang-kadang sebab takut tali jam tangan robot tu hilang, ada ibu bapa yang sengaja tak mahu bagi anak mereka tu pakai jam tangan tersebut pada waktu-waktu kritikal seperti masa bermain dengan rakan-rakan. Bila dah dengan kawan-kawan, mesti ramai yang sekejap suruh tukar jadi robot dan jam bersilih-ganti. Kalau tak hilang jam, hilang tali jam. Jadi penyelesaiannya, hanya pakai jam robot pada waktu tertentu sahaja. Bila tak pakai, letak balik dalam pek plastik dia macam gambar di atas.

Walaubagaimanapun, jam tangan robot ini sedikit sebanyak dapat mengajar kanak-kanak supaya lebih menghargai dan menepati masa dengan cara melihat masa yang tertera pada jam tangan dengan lebih kerap. Bila teringat robot, akan teringat juga sekarang dah pukul berapa. Dan bila teringat sekarang dah pukul berapa, teringat pula tentang robot. 


Tidak banyak aksi yang boleh digayakan oleh Robot jam tangan ini.  Harapkan muka robot sahaja yang garang, tapi  tak boleh nak buat apa sangat selain mempamerkan masa.

Tetapi apakan daya, jam tangan robot ini tidak mampu dimiliki oleh semua kanak-kanak. Kemampuan memilikinya bergantung kepada ketebalan dompet ibu bapa masing-masing. Saya sendiri pun tidak pernah memilikinya walaupun menaruh minat yang agak mendalam. Yalah, mana ada budak-budak lelaki macam saya yang tak minat dengan robot pada masa itu? Tapi, apa boleh buat. Keadaan ekonomi keluarga saya tidak mengizinkan. 

Tapi sekarang bila saya sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, barulah saya boleh beli sendiri robot-robot yang saya idamkan, seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar di bawah.

Barisan robot-robot yang membintangi filem 
Transformers Revenge of the Fallen


Robot Decepticon Starscream yang sengaja lewat menghadirkan diri untuk sesi fotografi beramai-ramai dalam gambar sebelum ini. Dia ni demand sikit. Tak mahu ambil gambar bersama dengan robot lain. "Saya nak glamour sorang-sorang", katanya. 

13 Disember 2010

Jam tangan dengan "game watch"

Sewaktu saya mula-mula melihat jam tangan ini, saya berasa sungguh kagum kerana ia turut dilengkapi dengan permainan elektronik "game watch". Harganya cukup mahal ketika itu (lebih dari RM300). Setiap jam seperti ini didatangi dengan sejenis permainan elektroniknya yang tersendiri. Terpulanglah kepada pembeli untuk memilih berdasarkan citarasa dan kemampuan mereka.

Antara yang popular ialah game kapal terbang, kereta lumba, bola sepak dan lain-lain lagi. Tetapi game yang disediakan agak ringkas berbanding dengan set handheld game watch yang biasa (akan dibincangkan dalam post yang akan datang). Kalau game kapal terbang pun, hanya ada dua butang sahaja; kiri dan kanan. Bateri jam jenis ini pun cepat habis kerana penggunanya asyik dok picit butang untuk main game saja, bukannya nak tengok pukul berapa...


Jam tangan Casio dengan game kapal terbang

Jam tangan Nintendo dengan game Super Mario Bros 
(game jenis lompat sana dan lompat sini)

Jam tangan Nintendo dengan game Donkey Kong 
(pun game jenis lompat sana dan sini)

Yang ini saya rasa jam tangan game watch yang paling canggih dan terbaik dalam kelasnya. Jam tangan Casio dengan game kereta lumba.


Masa dulu, pabila terpandang jam-jam seperti ini di dalam meja pameran kaca, hanya boleh berangan sajalah untuk memilikinya. Melihatkan harganya, memang saya tak berani langsung nak buka mulut kat ayah saya. Ada juga kawan-kawan saya yang memilikinya. Bilangan mereka ini pun boleh dibilang dengan menggunakan jari pada sebelah tangan sahaja. Jadi, saya boleh membuat kesimpulan pada masa itu, jam tangan seperti ini merupakan jam tangan anak orang-orang berada sahaja. Kalau sesiapa yang pakai jam seperti ini ke sekolah, cara mereka berjalan sambil menghayunkan tangan pun berbeza dari mereka yang hanya pakai jam biasa atau tidak memakai jam tangan langsung. Untuk makluman anda, masa zaman saya kanak-kanak pun masih ramai budak sekolah yang tidak mempunyai jam tangan sendiri lagi...


Senapang/meriam buluh Cina

Kali ini saya akan memperkenalkan anda sebuah senjata yang digunakan oleh kanak-kanak pada zaman dahulu ketika bermain perang-perang, atau dengan sebutan glamournya ialah "Combat". 

Senapang atau meriam kecil buluh Cina 
Sumber gambar: http://yusmanhambali.blogspot.com

Senjata ini dikenali sebagai senapang atau meriam buluh Cina. Kenapa namanya begitu? Senapang ini diperbuat dari sebatang buluh Cina bersaiz sederhana. Pokok buluh Cina mudah didapati di kampung-kampung ketika itu kerana ia tumbuh melata, biasanya di tepi sungai.


Pokok buluh Cina
Senapang buluh cina juga dikenali sebagai "Caplog" di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Nama lain yang agak popular di kalangan kana-kanak ialah "Senapang Letup-letap" atau "Letap-letup" (terpulanglah kepada anda untuk nak sebut yang mana dulu). Proses pembuatan senjata ini agak mudah. Dua batang buluh cina diperlukan untuk membuat bahagian meriam (berlubang di tengah) dan bahagian laras. Sila rujuk kepada gambarajah lakaran di bawah untuk maklumat lanjut.


Lakaran skematik kasar jurutera senjata senapang/meriam buluh cina

Saya biasanya menggunakan buah cenerai sebagai peluru untuk senapang ini. Sebelum keluar berperang, setiap askar perlu memastikan bahawa dia dilengkapi dengan bekalan peluru yang cukup. Lokasi tempat ternanamnya pokok buah cenerai biasanya dijadikan lokasi strategik yang mesti dikuasai atau ditawan semasa berperang, macam gudang peluru lah ni. Untuk askar yang pemalas tapi masih mahu lagi berjuang di medan pertempuran yang tidak mempunyai pokok buah cenerai, mereka boleh menggunakan kertas suratkhabar yag telah dicarik-carik kecil dan direndam dalam air. Tak kira samada anda menggunakan buah cenerai atau kertas suratkhabar, yang penting anda harus meletakkan dua biji peluru pada laras senapang; pada muncung hadapan dan muncung belakang. Kalau tidak, senapang tak meletup dan mungkin mengakibatkan kecederaan pada diri sendiri (senjata makan tuan). 

Buah cenerai yang dijadikan peluru. Boleh makan juga buah ni...
Hasil tembakan mempunyai bunyi yang agak kuat dan menakutkan khususnya kepada kanak-kanak perempuan yang biasanya menjadi mangsa korban yang tidak berdosa dalam peperangan. Bunyi yang kuat akan menyebabkan mereka menjerit ketakutan. Orang-orang tua di sekeliling khususnya makcik-makcik akan menjerit kerana terkejut atau marah kerana menganggu mereka yang sedang rancak berbual tentang gossip-gossip semasa. Ada juga orang tua yang marah kerana bunyi letupan tersebut mengganggu mereka yang sedang lena diulit intan melelapkan mata semasa tidur di waktu petang. Jika tidak sabar, mereka juga akan turut sama turun ke medan pertempuran untuk menyertai peperangan tanpa membawa sebarang senapang/meriam buluh cina, tetapi dengan membawa rotan atau penyapu. Saya tak berapa pasti, mana yang lebih sakit. Samada kena rotan atau penyapu, atau kena tembakan dari senapang buluh cina.   

Kami selalu main perang-perang dengan senapang ini ketika menghadiri kelas agama petang. Satu hari, Ustaz Hassan menjalankan Operasi Insurgensi untuk menangkap kami hidup-hidup. Tapi akhirnya Ustaz Hassan tersungkur tewas selepas terkena tembakan tepat di leher. Ternyata tembakan itu meninggalkan kesan yang berkekalan kepada kesihatan fizikal dan mental Ustaz Hassan. Dari segi fizikalnya, kesan merah di leher Ustaz Hassan hasil tembakan tersebut masih jelas kelihatan walaupun hampir dua minggu selepas kejadian. Dari segi mentalnya pula, ramai pelajar perempuan yang senyum-senyum simpul sambil memperkatakan yang Ustaz Hassan mempunyai kesan "love bite" di leher...

Minta maaf ye Ustaz Hassan...

Kanak-kanak zaman sekarang sudah tidak berpeluang untuk bermain permainan seperti ini. Namun konsep permainan perang-perang ini masih lagi dipraktikkan sekarang dalam permainan aksi seperti "Paintball" dan "NERF". Tetapi, masalahnya kini anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli peralatan dan menyewa kawasan untuk dijadikan medan pertermpuran. Berbeza dengan zaman dahulu, kawasan kampung yang begitu luas membolehkan anda bertempur di mana sahaja dalam apa jua situasi. Tidak perlu keluar duit pun...


Permainan Paintball memerlukan kos yang agak tinggi. Oleh sebab itu, ia hanya dimainkan oleh budak-budak dan bapa budak-budak yang sudah matang dan mempunyai pendapatan sendiri

Permainan NERF boleh dimainkan di taman permainan sekitar kawasan perumahan. Tapi anda masih perlu mengeluarkan wang untuk membeli peralatan permainan ini. Tak semua kanak-kanak boleh memilikinya, bergantung kepada ketebalan dompet ibu bapa mereka.