Sepertimana yang kita tahu, pertandingan lumba kuda merupakan salah satu perlumbaan yang amat diminati oleh golongan elit. Ia bukan hanya tentang perlumbaan kuda dan Jockeynya semata-mata, tetapi ia melibatkan pertaruhan wang yang tinggi, disebabkan kos pertandingan lumba kuda yang juga tinggi. Kos pemilikan seekor kuda lumba dan penyelenggaraannya amat mahal. Hanya golongan yang berada sahaja dapat memiliki seekor kuda lumba. Gaji Jockey kuda pun cukup bulan kena dibayar juga.
Namun begitu, individu-individu yang kurang berkemampuan juga mampu memiliki kuda lumba sendiri dan boleh menyertai pertaruhan lumba kuda. Tetapi ia bukanlah kuda biasa seperti yang anda ketahui sebelum ini. Inilah dia permainan lumba KUDA LONGKANG untuk golongan yang kurang berkemampuan, tetapi masih mahu bertaruh dalam perjudian lumba kuda.
Kalau nak berjudi tu, tak kira siapa. Kaya atau miskin, muda atau tua…
Inilah dia, sukan lumba Kuda Longkang. Kesemua kuda dalam keadaan bersedia untuk dilepaskan. |
Permainan kuda longkang ini mula mendapat sambutan hangat dari penduduk Kuala Lumpur bermula sejak pertengahan era 1960-an hingga awal 1980-an. Permainan ini mengadaptasi konsep pertandingan perlumbaan kuda sebenar. Kuda pertama yang mencecah garisan penamat akan diisytiharkan sebagai Juara dan seterusnya sehinggalah yang paling akhir sekali tiba.
Kuda longkang tidak memerlukan Jockey (penunggang). Kuda longkang sebenarnya adalah satu bentuk kepingan plastik ringan berbentuk bujur yang boleh terapung serta bergerak di atas permukaan air. Jika kuda lumba sebenar berlari di atas padang trek, kuda longkang akan “berlari” di atas permukaan air di dalam longkang atau parit.
Jika anda mahu menyertainya, anda memerlukan seekor kuda. Kuda hendaklah disewa dari penganjur pertandingan. Anda juga wajib membayar yuran pertandingan yang melayakkan anda untuk bertaruh dalam perlumbaan. Jika tidak berlumba, anda boleh menjadi penonton dan membuat pertaruhan sesama rakan dengan meneka kuda mana yang sampai dahulu. Konsepnya sama macam judi lumba kuda betul.
Antara kriteria pemilihan longkang untuk dijadikan trek perlumbaan kuda longkang adalah:
- Longkang mestilah bersih dan bebas dari sampah-sarap atau lumut hijau.
- Air longkang mestilah jernih dan tidak kotor sama sekali.
- Aliran air longkang tidak terlalu perlahan dan tidak juga terlalu laju.
- Panjang longkang sekurang-kurangnya 70 kaki.
Cara-cara bermain kuda longkang (sila rujuk gambarajah lakaran di bawah)
- Pengadil “A” akan meletakkan barisan kuda-kuda di atas sekeping papan pemula (jika kurang faham, sila rujuk gambar pertama yang mula-mula muncul dalam siri blog kali ini).
- Sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan, papan pemula akan diturunkan ke atas permukaan air. Dengan arus air longkang yang telah tersedia ada, kuda-kuda akan terus meluncur dengan gagahnya di atas air longkang.
- Pengadil “A” akan memastikan perjalanan kuda-kuda tidak diganggu oleh penonton-penonton yang berdiri di tepi longkang.
- Pengadil “B” di garisan penamat akan melihat dan memutuskan kuda mana yang mencecah garisan penamat. Beliau mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan tempat pertama, kedua atau ketiga. Yang kemudiannya tu, dianggap kalah. Beliau juga akan mengutip kembali kuda-kuda dari dalam longkang yang telah menghabiskan perlumbaan.
Disebabkan pengadil perlumbaan terpaksa bergelumang dengan air longkang (banyak kali jari-jemari dan tangan terendam dengan air longkang), maka adalah sangat penting bagi penganjur memastikan longkang tersebut sentiasa bersih, tanpa sebarang sampah-sarap dan lumut. Kehadiran sampah dan lumut juga boleh mengganggu pergerakkan kuda di dalam longkang. Keadaan air yang jernih juga penting kerana jika keruh, pengadil mungkin kurang Nampak dengan jelas, kuda mana yang mencecah garisan penamat terlebih dahulu.
Sungguh bersih dan cantik sekali longkang ini. Untuk makluman pembaca, ini bukan longkang di tanahair, tetapi di Korea Selatan. Sumber: ilhamfatihah.wordpress.com |
Aliran air longkang yang terlalu perlahan mungkin akan menyebabkan pergerakkan kuda menjadi lambat, seterusnya boleh menyebabkan penonton berasa bosan. Bila penonton rasa bosan, mereka mungkin tidak mahu meletakkan pertaruhan sekaligus boleh menyebabkan perlumbaan tidak mendapat sambutan. Jika pertandingan tidak mendapat sambutan, tiada siapa yang akan membuat pertaruhan wang. Sudah tentu penganjur akan rugi besar. Kalau aliran air terlalu cepat, nanti pengadil tidak sempat pula nak lihat, kuda mana yang sampai dulu. Perlumbaan pun tentu akan tamat terlalu awal. Mungkin tak sempat nak lihat aksi-aksi kejar-mengejar dan pintas-memintas antara kuda.
Mengikut apa yang diceritakan oleh ibu saya, antara lokasi longkang di Kuala Lumpur yang selalu dijadikan tapak perlumbaan kuda longkang adalah di longkang besar berhampiran tapak pasar malam Kampung Baru. Pada zaman kini, sudah tiada siapa lagi yang nak bermain kuda longkang. Salah satu sebabnya adalah keadaan longkang zaman sekarang. Dah tak bersih macam dulu dah.
Pada tahun 1980, sebuah filem berjudul “Sikit Punya Gila”, lakonan Hamid Gurkha dan Dharma Harun Al-Rashid telah memaparkan adegan perlumbaan kuda longkang di Kuala Lumpur (Poster filem ditunjukkan di atas). Bagi anda yang belum pernah melihat bagaimana meriahnya perlumbaan kuda longkang ini (serta mahu memahaminya dengan lebih lanjut), anda bolehlah menonton sedikit sedutan klip filem ini.
Permainan kuda longkang ini juga sudah pupus mungkin kerana ianya tidak lagi mendapat sambutan ramai kerana kesedaran masyarakat tentang kesan negatif perjudian. Kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk lesen penganjuran perjudian lumba kuda longkang. Jadi, kuda longkang ini boleh dianggap sebagai satu bentuk perjudian haram (sama statusnya seperti ekor haram). Tapi, pada masa dulu, tidak pernah ada operasi pembanterasan yang dijalankan oleh Pihak Polis atau Jabatan Agama Islam ke atas judi lumba kuda longkang ini.
Namun, acara lumba kuda longkang ini ada kebaikannya. Secara tidak langsung, kebersihan longkang-longkang tempat berlangsungnya perlumbaan akan sentiasa terpelihara kebersihannya. Nyamuk aedes dan spesis-spesis nyamuk yang lain pun tidak dapat membiak. Penganjur perlumbaan akan memastikan tiada sampah-sarap atau lumut yang tumbuh di dalam longkang. Begitu juga dengan barisan penonton. Mereka tidak akan sesekali membuang sampah ke dalam longkang.
hehe, aku suka cerita tu dulu.. sikit punya gila..
BalasPadamIngat tak Hamid Gurkha basuh ikan dengan sabun?
BalasPadamIngat tak Hamid Gurkha basuh ikan dengan sabun?
BalasPadampastu dia berus gigi ikan tu,haha
BalasPadamsatu ketika dulu air longkang semasa permainan kuda longkang di zaman saya amat bersih..tapi lepas hujan ler
BalasPadam