09 Disember 2010

Kalkitos


Kalkitos merupakan satu permainan berasaskan pembelajaran dalam bidang pendidikan seni yang cukup popular seawal tahun 1970-an. Satu set kit Kalkitos mengandungi 2 elemen penting iaitu:

  1. Sekeping gambar pemandangan atau suasana (contohnya pantai, padang rumput, atau kawasan bandar) yang kosong, tanpa sebarang watak.
  2. Sekeping kepingan plastik yang mengandungi gambar watak-watak atau item yang boleh dipindahkan ke dalam gambar pemandangan kosong tadi.

Gambar pemandangan kosong
Kepingan plastik mengandungi gambar watak atau item
Apa yang perlu dilakukan adalah untuk melekatkan gambar watak atau item tersebut ke dalam gambar pemandangan kosong tersebut dengan melorekkannya menggunakan pensel. Teknik ini dikenali sebagai proses kromolitografi. Anda boleh rujuk kepada gambar dan video YouTube di bawah untuk melihat bagaimana proses tersebut dijalankan.

Penerangan ringkas tentang cara memindahkan item ke dalam gambar pemandangan kosong



Setelah selesai, begini hasilnya...Tapi bila gambar telah melekat, memang tak boleh nak dicabut semula. Oleh itu, ramai pengguna yang begitu berhati-hati, berfikir sedalam-dalamnya di manakah lokasi paling strategik di dalam gambar pemandangan kosong untuk dilekatkan dengan item-item tersebut. Kreativiti seseorang dapat diserlahkan dan dinilai berdasarkan hasil akhir seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Kehidupan di padang rumput Afrika

Kebiasaannya Kalkitos diletakkan berhampiran dengan kaunter pembayaran di kedai-kedai runcit dan pasaraya. Mungkin ini adalah satu bentuk taktik pemasaran, di mana ketika ibu bapa hendak membayar di kaunter, anak-anak yang bersama mereka akan terpandang set Kalkitos ini dan terus merengek untuk minta dibelikan. Lebih teruk lagi jika anak-anak buat perangai lembik, berguling-guling di atas lantai dan menangis tersedu-sedan secara berterusan.

Harga satu set Kalkitos ketika zaman kegemilangannya adalah kurang dari RM10 (kalau tak silap saya). Saya biasa membeli Kalkitos di Kedai Jimat Pernas (papan tanda kedai tersebut berwarna oren, menggunakan logo mirip bentuk kipas). Kedai Jimat pun sudah tidak wujud lagi sekarang. Pengeluaran Kalkitos dihentikan pada penghujung 1980-an.   



Sabun buku "Super Busa"

Sabun buku jenama Super Busa, keluaran Lever Brothers cukup terkenal sekitar tahun1980-1990 an. Ia mudah didapati di mana-mana kedai runcit mahupun "supermarket" ketika zaman kegemilangannya. Super Busa digunakan untuk menghilangkan kekotoran yang melekat di baju, pada masa yang sama turut mengharumkan pakaian anda.

Sabun Super Busa berwarna hijau. Tak pasti jika ada warna yang lain.

Sifat fizikalnya yang keras saling tak tumpah macam batu-bata menyebabkan ia menjadi pilihan pelajar-pelajar Sekolah Berasrama (Asrama Penuh dan Tak Penuh) untuk mencuci uniform sekolah mereka. Harganya amat berpatutan mengikut saiz dompet budak sekolah ketika itu. Warden-warden asrama juga menggalakkan penghuni asrama untuk menggunakan sabun buku seperti ini disebabkan beberapa faktor tertentu. Pertama, ia mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana; boleh diletakkan dalam satu bekas sabun yang sama menempatkan sabun mandi. Ini dapat menjimatkan ruang almari pelajar, sekaligus mengurangkan kesempitan "dorm".

Faktor kedua, sabun buku akan memaksa pelajar untuk terus mencuci pakaian mereka pada masa itu juga, takdenya nak bertangguh-tangguh lagi dah nak basuh baju. Penggunaan sabun serbuk dan cecair detergent hanya akan merangsang pelajar untuk merendam pakaian mereka dalam baldi untuk satu tempoh masa yang lama (1-2 minggu; kes pemalas lah ni). Akibatnya, muncul kehadiran bau yang kurang menyenangkan pada pakaian. Kebiasaannya, bau itu akan terus melekat walaupun pakaian itu telah kering selepas disidai.

Antara pesaing utama Super Busa dalam pasaran adalah Sabun buku FAB dan Breeze. Sepanjang tahun 1980-an, Super Busa ada menjadi penaja beberapa rancangan TV di RTM 1. Maknanya, laku betul lah Super Busa ni. Buktinya ada di bawah...