25 Mei 2018

Menyalahkan masa

Saya memang terperanjat semalam bila ada rakan yang bertanyakan mengapa saya sudah lama tidak update blog Hilang Ditelan Zaman ini. Pabila saya akses kembali blog ini, rupanya terdapat banyak komen dari pembaca, dan tidak kurang juga yang meminta saya menulis tentang beberapa barang mahupun peristiwa lampau.

Saya memohon maaf kepada semua. Tidak lupa juga saya rakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kesudian Tuan/Puan membaca blog ini, dan juga aktif dalam melahirkan cadangan.

Sama sepertimana dengan majoriti penduduk Bumi ini, saya terpaksa menunding jari kepada satu entiti ghaib, namun kehadirannya mengekori kita tidak dapat disangkal. Entiti ini juga tidak dapat dihalau dengan apa jua kaedah sekalipun.

Entiti yang saya maksudkan adalah MASA.

Menulis blog berkaitan barang-barang lama dan peristiwa lampau memerlukan masa kerana penyelidikan perlu dilakukan. Tambahan pula dengan adanya Akta baru, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar membuatkan proses penulisan dijalankan lebih berhati-hati. Tapi saya terfikir pula, apalah sangat signifikan RUU tersebut terhadap penulisan tentang barang-barang lama? Tetapi pabila difikirkan tentang cerita atau peristiwa lampau, RUU tersebut diterima pakai.

Kekurangan masa, kesempitan masa, tidak ada masa, masa tidak cukup dan banyak lagi istilah merupakan alasan saya, padahal saya boleh “mengadakan masa” untuk menulis. Sebenarnya terdapat dua tiga draf artikel yang telah saya sediakan. Walaubagaimanapun, isi kandungannya masih tidak lengkap untuk diterbitkan.

Buat masa ini, saya kira objektif blog ini akan tersasar jauh sedikit dari matlamat asal. Terdapat satu kategori dalam blog ini yang dilabelkan di bawah sub-topik “Dari Lidah Pengarang”. Saya mungkin ada lebih banyak menulis di bawah sub-topik ini, memandangkan keinginan untuk mencurahkan buah fikiran begitu meluap-luap selepas apa yang berlaku di dalam negara pada 9 Mei 2018 yang lepas....