27 Disember 2010

Telefon bimbit/selular "berbeg" Ericsson

Sehingga sekarang, saya masih keliru samada murid sekolah dibenarkan atau tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Jika dibenarkan, saya pasti murid sekolah mempunyai telefon bimbit yang jauh lebih canggih dan manggih dari cikgu-cikgi mereka. 

Semasa saya bersekolah dulu, tidak pernah langsung kelihatan murid sekolah yang membawa telefon bimbit. Bukan sahaja murid, malah cikgu sekolah pada masa itu pun tiada seorang pun yang ada telefon bimbit. Ketika itu, caj perkhidmatan dan harga telefon bimbit pun sangat-sangat mahal.

Tetapi, ada seorang Cikgu saya memiliki telefon bimbit. Tapi saya rasa telefon tersebut tidak layak dipanggil telefon bimbit. Cikgu saya tu tidak pernah sekali pun membimbit telefon tersebut kerana.....

Telefon bimbit "berbeg" Ericsson. Kenapa anda ketawa melihatnya? Membawanya ke hulu-hilir samalah seperti membimbit sebuah beg kecil.

Kalau anda lihat gambar di atas, pasti anda tahu sebabnya mengapa Cikgu saya itu tidak pernah bimbit telefonnya. Ketika ini, telefon di atas lebih dikenali sebagai telefon mudah-alih (bukannya telefon bimbit), kerana ianya boleh dialih-alihkan dengan mudah, walaupun agak berat. Beratnya hampir menyampai berat tiga buah laptop skrin 14 inci. Ketika ini (sekitar tahun 1992), hanya perkhidmatan pasca-bayar (postpaid) sahaja yang ditawarkan oleh Telekom  Malaysia. Perkhidmatan Pra-bayar (pre-paid) merupakan satu konsep yang tidak pernah didengari langsung. Satu-satunya talian telefon bimbit yang ditawarkan ketika itu ialah talian "ATUR" (Automatic Telephone Using Radio). Jika anda mahu bil telefon rumah anda melambung-lambung, cubalah hubungi mana-mana nombor telefon ATUR ni. Cajnya memang tinggi ketika itu.

Jangan risau. Kejadian terlupa di mana anda tertinggal telefon bimbit tidak akan sesekali berlaku sekiranya anda menggunakan telefon mudah-alih "berbeg" seperti model telefon Ericsson di atas.

Berbalik kepada kisah Cikgu saya dan telefon mudah-alihnya itu. Cikgu "A" (tuan empunya telefon di atas) merupakan seorang guru sebuah sekolah agama rakyat (lebih dikenali sebagai sekolah petang). Cikgu "A" ini tidaklah begitu berbangga dengan telefonnya ini, tapi kadang-kadang tu berlagak juga. Sebab mengapa beliau memerlukan sebuah telefon mudah-alih adalah kerana beliau mempunyai perniagaan sendiri pada masa yang sama (part-time business). Saya tidak berapa pasti tentang hal ini, tapi ramai kawan-kawan sekolah saya yang mengatakan beliau menjalankan perniagaan mengorek pasir. Tidak tahulah sejauh mana kebenarannya...


Ini bukan gambar industri mengorek pasir tetapi gambar kanak-kanak bermain pasir di pantai. Gambar industri mengorek pasir tidak ditunjukkan kerana penulis berasa gusar untuk meletakkannya di dalam blog. Industri mengorek pasir adalah bidang perniagaan yang begitu sensitif pada masa sekarang


Cikgu A selalu meletakkan telefonnya di dalam kereta Mercedes S-Class miliknya yang berwarna hitam. Keretanya selalu diletakkan di hadapan biliknya yang terletak bersebelahan dengan kelas tempat saya belajar. Punyalah tak bestnya, lokasi kelas sebelah bilik Guru Besar. Cikgu A suka meletakkan telefonnya di dalam kereta atas beberapa faktor seperti berikut:
  1. Telefon itu perlu dicas menggunakan charger yang di"plug" kan terus ke sistem bateri kereta. Kadang-kadang beliau cas juga menggunakan plug soket di dinding sekolah. Tapi, mungkin malas nak bawa ke hulu-hilir sebab berat. 
  2. Leceh agaknya, sekejap kena cabut telefon keluar dari sistem plug di kereta, sekejap nak kena plug-in kembali...
  3. Beliau lebih selesa untuk berkomunikasi di dalam kereta agaknya. Lebih privacy...


Kereta Mercedes S-Class hitam yang saling tak tumpah sama seperti kereta yang dipakai oleh Cikgu A. Cuma nombor pendaftaran sahaja yang berbeza.

Disebabkan beliau suka meletakkan telefonnya di dalam kereta, maka kerapkali proses pembelajaran kami terganggu. Apa tidaknya, ketika Cikgu A tengah mengajar, telefonnya selalu berbunyi. Walaupun terletak dalam kereta yang bertutup rapat cermin tingkapnya, bunyi telefon tersebut begitu kuat sehingga ada pelajar perempuan yang terkejut melatah setiap kali ianya berbunyi.

Bila terdengar sahaja deringan telefon, maka Cikgu A pun terus bergegas sambil berlari pergi ke keretanya untuk menjawab panggilan telefon tersebut. Bergantung kepada keadaan, kadang-kadang lama dan kadang-kadang terlalu sekejap sangat beliau berkomunikasi. Kalau yang sekejap itu, mungkin panggilan "miss-call" agaknya, minta telefon balik.

Jadi, setiap kali telefon Cikgu A berbunyi, kami berbisik sambil tergelak sesama sendiri, "Bisnes besar lah tu..."

4 ulasan:

  1. nasib phone tu besar !!

    belum lagi Phone yg askar US guna masa perang Vietnam..

    ooo lupa.. cakap pasal phone besar tu..

    teringat motorola gak yg besar tu..

    jap line ATUR ada lagi ke?? org kata ATUR line lebih baik dari Celcom, Maxis dan Digi sbb kalau anda sesat di hutan.. guna ATUR !!

    BalasPadam
  2. ATUR guna wavelength lain, berbeza dari talian komunikasi mobile yg lain...

    BalasPadam
  3. aku penah gak try fon ni dulu², (boss aku punye dlm pajero dia).. ckp tak sampai 30 saat pon dah cukup pening kepala.. kuat tu dia punye 'tangkap'..

    BalasPadam
  4. Boss saya bagi pakai phone Ericsson ni...tak larat nak angkut...tinggalkan dalam van je !!

    BalasPadam