14 Februari 2011

Malam Burung Hantu

Kehidupan saya kebelakangan ini yang saling tak tumpah seperti seekor burung hantu mengingatkan saya tentang satu jenis aktiviti adventure yang selalu dimainkan ketika zaman persekolahan menengah dahulu. Pernahkah anda mendengar tentang aktiviti atau permainan "Malam Burung Hantu"?

Untuk mengelakkan anda berasa terkejut lalu takut dengan tajuk entry kali ini, saya letakkan gambar kartun burung hantu sahaja pada bahagian awal cerita ini. Diharapkan perasan ketakutan dapat dikurangkan supaya anda dapat meneruskan pembacaan entry blog ini.


Aktiviti Malam Burung Hantu ini pastinya dijalankan pada waktu malam, khususnya selepas jam 12 tengah malam. Kalau tidak, takkanlah dinamakan sebagai Malam Burung Hantu. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk menambahkan daya keyakinan, ketabahan dan keberanian individu. Aktiviti ini sering dijadikan acara kemuncak dalam program-program ko-kurikulum di sekolah khususnya dalam aktiviti perkhemahan (camping) dan program-program bina semangat. Tetapi biasalah, mesti ada objektif-objektif lain yang ditambah kemudiannya. Antaranya ialah keseronokkan hendak mengusik pelajar-pelajar Junior atau ahli-ahli kelab yang baru.


Kehadiran bulan mengambang penuh memang sangat dialu-alukan oleh penganjur aktiviti Malam Burung Hantu. Lebih terasa keseramanannya. Barulah mencabar bulu roma dan tengkuk para peserta. Sumber gambar: thereknee.blogspot.com

Konsep aktiviti ini agak mudah difahami dan dipraktikkan, di mana setiap peserta akan melihat diri mereka sebagai seekor burung hantu yang duduk bersendirian di waktu malam gelap untuk menghayati suasana malam. Bukannya tidur ye. Burung Hantu hanya tidur pada waktu siang.


Nama sahaja aktiviti Malam Burung Hantu. Tetapi sebenarnya tiada seekor pun burung hantu yang terlibat secara langsung dalam menjayakan aktiviti ini. Walaubagaimanapun kehadiran burung hantu sebenar amatlah dialu-alukan bagi menambah kesan bunyi yang menyeramkan. Woo...woo...woo! Sumber gambar: knowledgera-theworld.blogspot.com


Setiap peserta akan ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu dan jaraknya berjauhan antara satu sama lain. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya komunikasi di antara mereka. Peserta tidak dibenarkan membawa sebarang bentuk alat hiburan (contoh: walkman) dan komunikasi (telefon, wisel). Tapi masa saya sekolah dulu, mana ada pelajar sekolah yang pakai handphone! Berapa lama anda akan ditinggalkan bersendirian, itu bergantung kepada kehendak penganjur aktiviti.


Bagaimanakah rasanya pabila duduk seorang diri di tempat yang gelap pada malam yang gelap-gelita? Inilah persoalan yang sering menghantui perasaan peserta Malam Burung Hantu sebelum mereka terpaksa tanpa rela menyertai program tersebut. Waa...nak balik!

Sebenarnya aktiviti Malam Burung Hantu ini terbahagi kepada dua kategori;
  1. Malam Burung Hantu tanpa Hantu, dan
  2. Malam Burung Hantu dengan Hantu.

Malam Burung Hantu tanpa Hantu

Dalam kategori ini, peserta akan ditinggalkan berseorangan di satu lokasi tertentu. Jadilah peserta itu seperti seekor burung hantu. Peserta tidak dibenarkan meninggalkan tempat tersebut dan mereka hendaklah kekal berada di sana untuk satu tempoh yang ditetapkan. Mereka hanya  boleh meninggalkan tempat tersebut hanya setelah dijemput pulang oleh pengelola aktiviti Burung Hantu.

Kebiasannya peserta akan berhadapan dengan cabaran emosi dan godaan yang timbul dari dalam diri sendiri. Ada peserta yang ternampak atau terdengar "sesuatu", dan ada juga yang tidak terjumpa apa-apa. Kadang-kadang ada yang menjerit ketakutan walaupun sebenarnya tak nampak apa-apa pun.


Menutup mata dan telinga tidak banyak membantu para peserta dalam menghilangkan perasaan takut kerana perasaan takut itu datang dari dalam jiwa mereka sendiri.
 

Malam Burung Hantu dengan Hantu

Aktiviti kategori ini jauh lebih menakutkan dan lebih mencabar keberanian para peserta. Kaedahnya sama seperti sebelum ini tetapi beberapa inidividu telah dipilih untuk menjadi "Hantu". Hantu-hantu ini biasanya terdiri dari barisan pelajar-pelajar Senior yang berpengalaman luas dalam menjadi Hantu pada aktiviti-aktiviti Malam Burung Hantu yang diadakan sebelum ini. Mereka juga semestinya telah merasai jerit-perih pengalaman menjadi Burung Hantu dan dikacau oleh Hantu sewaktu mereka berstatus Junior.



Status identiti sebenar Hantu-Hantu yang terlibat dalam program Malam Burung Hantu biasanya dirahsiakan oleh pihak penganjur. Ini bagi mengelakkan para peserta a.k.a Burung Hantu menaruh perasaan geram dan dendam terhadap mereka di kemudian hari. Sumber gambar: atoyis-san.blogspot.com

Sebelum aktiviti malam itu dimulakan, Hantu-hantu yang terpilih hendaklah menyiapkan diri mereka dengan persediaan fizikal dan mental. Dari segi fizikal, mereka akan memilih pakaian dan solekan yang bersesuaian dengan tema atau jenis hantu yang dipilih. Kebiasaannya mereka lebih senang memilih untuk berlakon menjadi Hantu Pontianak/Langsuir atau Hantu Pocong, tapi biasanya Pocong yang boleh berjalanlah. Tak mahu mereka jadi Hantu Pocong yang melompat-lompat. Bukannya senang. 

Pakaian pula direka sendiri berdasarkan daya kreativiti masing-masing. Kalau nak senang, pinjam saja kain telekung emak masing-masing di rumah. Kulit batang serai atau penyedut minuman (straw) yang diraut halus boleh disarungkan pada hujung jari bagi menonjolkan imej "kuku panjang Hantu". Teknik solekan juga mudah, di mana hanya bedak sejuk sahaja yang diperlukan untuk memutihkan wajah, seperti gambar di bawah ini.


 
Hantu-hantu akan mengambil sajian makanan  sebelum malam menjelang tiba, bagi memastikan mereka dilengkapi keperluan tenaga dan nutrien yang mencukupi sepanjang menjalankan tugas sebagai seorang Hantu. Sumber gambar: forumkami.com

Persediaan dari segi mental juga perlu. Hantu-hantu akan diberikan panduan yang lengkap tentang bagaimana menangani situasi-situasi kecemasan dan keadaan yang tidak diingini. Kebiasaannya nasihat dan tunjuk ajar akan diberikan oleh Hantu-hantu yang lebih berpengalaman. Antara keadaan yang paling tidak diingini berlaku adalah situasi di mana Hantu-hantu ini terjumpa "Hantu-hantu yang sebenar".



Para peserta diminta supaya tidak sesekali menjalinkan persahabatan dengan para Hantu yang menguji mereka dalam aktiviti Malam Burung Hantu kerana tidak dapat dipastikan samada Hantu tersebut benar-benar "Hantu betul" atau "Hantu Palsu". Sumber gambar: noorizamshah.com


Pabila para peserta telah diletakkan bersendirian, maka keluarlah Hantu-hantu untuk menjalankan tugas mereka. Seorang Hantu biasanya akan diiringi oleh seorang pembantu yang bukan Hantu bagi membantu mobiliti Hantu. Iyelah, kalau dah berpakaian seperti Hantu, mestilah susah sikit nak berjalan kan...Bagi yang lebih kreatif, ada Hantu yang berdiri di atas scateboard dan pembantunya akan menarik atau menolak scateboard itu dengan menggunakan tali. Ini bagi mendapatkan special effect pergerakkan Hantu yang lancar dan smooth, macam berjalan atas angin dan kaki tidak berpijak di bumi...



Bukannya mudah nak berjalan ke sana ke mari jika anda berpakaian seperti ini. Sumber gambar: duniaseorangputera.blogspot.com


Bagaimana respon para peserta terhadap kehadiran Hantu-hantu tersebut? Bergantung kepada kekuatan mental mereka. Ada yang menjerit, menangis dan tidak kurang pula yang cabut lari terus meninggalkan lokasi kejadian. Ada juga yang hanya ketawa melihat gelagat Hantu-hantu yang mengusik mereka. Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah semasa sekumpulan pelajat Junior merayu-rayu sambil menangis-nangis kepada kami (pelajar Senior) supaya tidak mengadakan aktiviti Malam Burung Hantu pada satu program perkhemahan tahunan. Tapi kami peduli apa. Aktiviti tersebut tetap dijalankan seperti biasa...

Saya tidak berapa pasti sama ada program Malam Burung Hantu ini masih aktif dipraktikkan oleh badan-badan beruniform atau ko-kurikulum di sekolah-sekolah pada masa kini. Menurut kawan saya. ia masih lagi dijalankan tetapi tidak secara meluas. Aktiviti ini pun sudah semakin ditinggalkan. Kata kawan saya lagi, "Burung Hantunya memang ada, tapi tiada siapa yang nak jadi Hantunya..."


Pasukan Pengakap SEDAR Batch 1996. Kami sering mengadakan aktiviti Malam Burung Hantu pada setiap program perkhemahan Pengakap yang diadakan di dalam dan luar kawasan sekolah. Cuba anda teka siapa di dalam gambar ini yang selalu menjadi Hantu...

07 Februari 2011

Pati Ayam Bistari

Pati Ayam Bistari mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 1989. Sewaktu ia mula-mula dipromosikan, Pati Ayam Bistari mendapat sambutan yang cukup hangat terutamanya dari pengguna-pengguna beragama Islam. Produk ini merupakan produk berasaskan pati ayam (essence of chicken) halal yang pertama seumpamanya dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Iklan Pati Ayam Bistari ketika ia mula dipasarkan. Iklan yang mempamerkan unsur-unsur Kemelayuan. Watak-watak dalam iklan ini lengkap berpakaian baju melayu dan baju kurung. Tertera perkataan Bistari dalam huruf jawi di kotak produk.


Sebelum ini hanya terdapat satu sahaja jenama pati ayam yang dipasarkan di Malaysia iaitu Pati Ayam Brand's (Brand's Essence of Chicken). Pengguna-pengguna beragama Islam ketika itu masih was-was untuk mengambil pati Ayam Brand kerana ketiadaan status halal pada produk tersebut.


Pati Ayam Brand's yang terdapat di pasaran kini telah mendapat status halal dari JAKIM. Sumber gambar: roxyzai.blogspot.com

Terdapat tiga jenis Pati Ayam Bistari yang diperkenalkan ke pasaran Malaysia. Ianya boleh dibezakan dan dikenalpasti melalui warna kotak dan pelekat pada botol pati ayam. Anda boleh membuat pilihan berdasarkan citarasa dan keperluan semasa anda.



Gambar di atas menunjukkan Pati Ayam Bistari yang biasa dan paling mudah didapati. Jenis standard lah ni. Didatangkan dalam pek berwarna hijau, harga Pati Ayam Bistari jenis standard ini lebih rendah sedikit berbanding dengan Pati Ayam Bistari jenis lain (pek berwarna hitam dan merah). Pada kotak produk ini ada tertulis kenyataan yang lebih menjurus kepada "nutrition claim":

"Pati Ayam Bistari menolong mengatasi keletihan badan dan mencerdaskan mental. Cukup berkesan terutamanya untuk para eksekutif yang sentiasa aktif, para pelajar, ahli sukan dan mereka yang sentisa menjalani penghidupan yang sibuk. Pati Ayam Bistari ialah pati cecair pekat ayam yang terkenal dan sudahpun diakui keberkesanannya. Pati Ayam Bistari pasti dapat memulihkan tenaga anda semua!"




Ini jenis yang kedua pula; Pati Ayam Bistari Dengan Herba Asli. Pek produknya berwarna hitam. Dah takde warna lain ke? Pada pendapat saya warna hitam kurang sesuai kerana cecair pati ayam itu sendiri memang semulajadinya warna hitam. Jadi, macam kurang menonjol lah sikit. Kita lihat apa yang tertulis pada kotak produk ini pula.

"Dirumus khas menggunankan herba-herba tradisional, antaranya Adas Pedas dan Pegaga. Pati Ayam yang sudahpun diakui akan keberkesanan khasiatnya serta herba-herba tadi kini digabungkan untuk menguat dan memanaskan badan agar perjalanan darah berjalan lancar. Pati Ayam Bistari dengan Herba Asli ini juga amat sesuai untuk perempuan ketika kedatangan haid atau untuk sebelum atau sesudah bersalin."



Yang ini lagi special. Pati Ayam Bistari dengan Tongkat Ali. Kenapa senyum-senyum ni? Untuk yang paling special, kenalah didatangkan dalam warna yang paling special juga. Warna merah dipilih untuk menghiasi pek dan botol produk. Kalau tidak silap saya, harga Pati Ayam Bistari jenis ini lebih sedikit dari jenis-jenis yang sebelum ini. Saya rasa anda semua sudah dapat agak apa yang akan tertulis pada kotak pembalut...

"Diperkaya dengan Tongkat Ali yang sudah terkenal sejak turun temurun. Kini digabungkan dengan pati ayam yang diakui akan keberkesanan khasiatnya, keduanya ini kini boleh anda dapati dalam Pati Ayam Bistari dengan Tongkat Ali. Ianya boleh menguatkan tenaga sambil mencegah keletihan diri. Ia juga memastikan yang badan anda sentiasa bertenaga dan sihat. Jika kerap diminum ia boleh memperbaiki penghidupan seharian anda dan menambahkan kenikmatan berumahtangga."  


Anda nampaknya masih lagi tersenyum. Kenapa hanya Tongkat Ali? Tiadakah produk Pati Ayam Bistari dengan Kacip Fatimah? Jawapannya memang tiada. Sebabnya saya pun tidak tahu kerana pada masa itu, saya masih kanak-kanak lagi.

Walaupun kanak-kanak, saya sudah mengetahui serba-sedikit tentang khasiat Tongkat Ali. Dapat tahu melalui pembacaan buku dan tontonan TV. Tapi, bila diingatkan kembali, saya pasti tiada siapa pun pernah memperkatakan tentang khasiat Kacip Fatimah. Nama "Kacip Fatimah" itupun saya tak pernah dengar pada masa dulu. 


Untuk anda yang masih belum mengenali Kacip Fatimah, inilah dia pokoknya. Sumber gambar: extrememanworld.blogspot.com


Jadi, saya rasa ketika waktu tersebut, mungkin berlakunya sedikit kekurangan keprihatinan tentang aspek kesihatan kaum wanita. Mungkin kesihatan kaum lelaki lebih diutamakan. Agak berat sebelah di situ. Itulah sebab yang memungkinkan syarikat pengeluar Pati Ayam Bistari tidak menghasilkan produk pati Ayam dengan Kacip Fatimah. Rata-rata kaum wanita ketika itupun tidak merungut. Walaubagaimanapun, kini persepsi sudah berubah. Lambakan produk kesihatan berasaskan Kacip Fatimah terdapat di merata-rata pusat jualan. Kadang-kadang bila dilihatkan iklan produk sebegini di majalah dan media massa, nak tergelak pun ada. Setiap perkataan atau madah yang diucapkan dalam iklan seolah-olah mempunyai "double meaning".


Setiap kali anda membelek helaian suratkhabar tempatan, pasti ada banyak iklan-iklan produk herba penjagaan kesihatan wanita yang mempamerkan slogan mahupun testimoni produk yang melucukan bila dibaca. Paling sensasi sekali ialah testimoni "SEBELUM " dan "SELEPAS" penggunaan produk...Gambar hiasan semata-mata. Sumber: picasaweb.google.com


Akan tetapi, belumpun sempat Syarikat Pati Ayam Bistari berkira-kira mahu menghasilkan pati ayam dengan campuran Kacip Fatimah, produk Pati Ayam Bistari ini telahpun dihentikan penjualannya. Tidak pasti kenapa. Tiba-tiba ia hilang terus dari pasaran bermula seawal tahun 1998. Pesaing utamanya, Pati Ayam Brand's masih kekal bertahan hingga ke saat ini.

Pengalaman peribadi minum Pati Ayam Bistari? Ada, saya pernah cuba. Jiran ibu saya pernah sekali memberi satu botol Pati Ayam Bistari (yang kotak warna hijau) kepada saya. Disebabkan saya tak putus-putus bertanya kepadanya bagaimana rasanya pati ayam tersebut, dia bagi percuma saja. Ibu saya berkali-kali tanya kepada saya,

"Betul ke anak nak try Bistari ni?

"Betul Ummi. Teringin sangat sebab tengok dalam TV macam sedap. Tolong buka botol tu Ummi..."

"Dah, minum slow-slow. Try sikit dulu, jangan teguk terus."

Saya berlari terus ke bilik air selepas itu. Tapi tak sempat. Kesian ibu saya, kena mop lantai untuk membersihkan kesan muntah saya....


Masa kecik-kecik dulu di kampung, setiap kali lantai kotor memang ibulah yang menge"mop"nya. Kalau saya yang menge"mop", alamat jadi macam gambar di ataslah. Tapi sekarang, kalau lantai rumah sendiri kotor, "mop" lah sendiri... Sumber gambar: along-samsulaili.fotopages.com