24 Disember 2010

Beg sekolah Polis Hutan

Setelah sekian waktunya anak-anak anda berseronok-sakan merayakan cuti sekolah, tidak lama lagi mereka akan kembali semula ke sekolah seperti biasa. Rasanya ramai ibu bapa yang sedang sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Setiap kali hendak memulakan sesi persekolahan di tahun baru, pasti ramai kanak-kanak yang merengek minta dibelikan kelengkapan sekolah yang serba baru; walaupun kelengkapan lama masih boleh dipakai. Perangai sebegini bukan sahaja ditonjolkan oleh murid sekolah rendah, tetapi remaja yang sudah mencapai peringkat dewasa muda, iaitu pelajar sekolah menengah, pun mahukan kelengkapan yang baru juga.

Baju yang lama memang patut diganti baru. Begitu juga dengan kasut. Memang logik sekiranya kedua-dua item ini diganti. Tetapi bagaimana pula dengan kotak pensil, botol air dan beg sekolah? Takkan dalam masa satu tahun sesi persekolahan sudah rosak dan tak boleh dipakai langsung pada tahun-tahun berikutnya? Mengada-ngada sungguh budak-budak zaman ini...

Menyentuh tentang beg sekolah, harganya boleh tahan juga mahalnya. Mungkin kerana terdapatnya pelbagai design beg sekolah menyebabkan kanak-kanak sekarang mudah jemu untuk memakai beg yang sama setiap tahun. Sangat mengada-ngada betul budak-budak zaman sekarang.

Nah! Zaman saya dulu, inilah beg sekolah yang digunakan oleh seorang murid sekolah untuk tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun (kalau tak rosak). Beg ini dikenali di kalangan murid-murid sebagai "Beg Sekolah Polis Hutan".



Beg sekolah Polis Hutan. Kenapa ada nama "Polis Hutan" di situ? Sedangkan yang menggunakannya adalah murid-murid sekolah sahaja. Sumber gambar: http://www.omaq.org

Ia digelar sebegitu rupa kerana bentuk, material dan warnanya hampir menyerupai beg yang digunakan oleh anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) ketika itu. Jika anda perhatikan dengan teliti gambar di atas, bahagian penutup beg tersebut dilengkapi dengan sistem "twist and lock" atau "pusing dan kunci". Tetapi sebenarnya ia boleh dibuka tanpa menggunakan sebarang kunci pun. Sistem ini memastikan penutup beg tidak boleh terbuka atau dibuka sewenang-wenangnya oleh murid-murid sekolah yang tidak bertanggungjawab bagi melaksanakan niat yang tidak baik untuk menyakat rakan sekolah mereka (contohnya seperti memasukkan katak dan menyorokkan apa-apa barang yang dilarang dibawa ke sekolah ketika itu).


Pandangan sisi beg sekolah Polis Hutan. Sumber gambar: http://www.omaq.org

Beg ini tahan lasak kerana diperbuat dari material kain kanvas berwarna hijau yang terkenal dengan sifatnya yang tidak mudah terkoyak dan keras. Kiranya pada ketika itu, ia mampu menampung beban buku-buku dan kelengkapan alat tulis untuk ke sekolah. Walaupun warna hijau beg ini akan pudar dimamah usia, tetapi ketahanannya tidak akan terjejas. Murid-murid pun tak kisah jika warna hijaunya dah pudar dan mereka tidak pernah sesekali meminta dibelikan beg yang baru. "Lagi lama, lagi best pakai, macam seluar jeans!", itulah ungkapan yang selalu didengar dari budak-budak zaman dulu. Tak macam budak-budak zaman sekarang.

Walaubagaimanapun, beg ini tetap mempunyai kekurangannya. Bila ditimpa hujan, ia tidak "water-proff" dan besar kemungkinan, jika tuan empunya beg berjalan mengharungi hujan yang lebat, buku-buku yang dibawanya akan basah jua. Namun, mereka mempunyai penyelesaian yang kreatif. Ada di antara mereka yang membalut bahagian dalam beg tersebut dengan beberapa lapisan plastik kalis air. 

3 ulasan: