24 Februari 2011

Papan batu: iPad zaman dahulu

Tidak semua mesyuarat yang saya hadiri adalah penting dan berkaitan secara langsung dengan kerja hakiki saya. Tidak semua yang diperkatakan oleh Pengerusi mesyuarat tersebut benar-benar penting. Kadangkala sesetengah perkara diulang-diulang beruang kali entah sampai berapa kali entah dalam mesyuarat sehingga menimbulkan rasa mual di dalam kotak pemikiran.

Setiap kali perkara di atas berulang, saya berbisik kepada diri sendiri, "Alangkah bagusnya jika saya mempunyai sebuah komputer tablet, seperti iPad. Sekurang-kurangnya jika sudah bosan mendengar ucapan yang lebih mirip kepada celoteh, boleh juga saya melayari internet. Boleh juga membaca berita online, melayani kerenah Facebook dan update blog.


Bilalah agaknya iPad 2 akan berada di pasaran tempatan?

Pakai laptop atau netbook? Sudah tentu tidak boleh. Bayangkan apa yang terjadi sekiranya gelagat anda melayari internet dengan netbook diperhatikan oleh individu-individu yang duduk bersebelahan dengan anda? Lebih teruk lagi jika Pengerusi mesyuarat terlihat anda sibuk tunduk memandang skrin netbook, sedangkan mata anda sepatutnya merenung ke arah matanya.


Walau sekecil dan senipis mana pun netbook anda, pasti ianya akan menarik perhatian individu-individu lain yang turut sama berkongsi rasa bosan ketika menghadiri mesyuarat atau perhimpunan. Bila sudah jadi tumpuan, maka peluang anda untuk terkantoi adalah lebih cerah. Gambar hiasan semata-mata. Sumber: forum.jomlinux.com
 
Itulah kekurangannya sebuah netbook atau laptop. Terlalu obvious bila digunakan untuk tujuan di atas. Jika anda menggunakan iPad, kebarangkalian untuk terkantoi adalah amat rendah. Lihat sajalah rekabentuk iPad, saling tak tumpah seperti sekeping buku nipis. Tiada siapa yang akan terperasan akan gerakan jari-jemari halus anda menyusuri skrin sesentuh iPad tersebut ketika asyik melayari internet. Tapi, sesekali kena pandai cover juga...

Jika anda menggunakan casing khas (berbentuk seperti fail atau management folder) untuk iPad seperti gambar di atas, tiada siapa yang akan perasan anda sedang bermain dengan iPad anda. Bahkan individu di sekeliling anda akan menyangkakan bahawa anda sedang khusyuk menumpukan perhatian dalam mesyuarat sambil mencatatkan nota-nota penting. Sumber gambar: gadgetsin.com

Setiap kali terpandang atau terfikirkan iPad, saya sering teringatkan satu alat pembelajaran di sekolah yang mirip kepada iPad tapi sama sekali tidak serupa. Bahkan saya rasa, idea menghasilkan iPad mungkin dicetuskan oleh kewujudan alat ini.


Inilah dia iPad zaman dahulukala. Anda pernah tengok tak "iPad" ini? Sumber gambar: http://tokpengulu.blogspot.com/

Inilah dia "Papan Batu" atau juga dikenali sebagai "Papan Selisih". Diperbuat dari kepingan kayu sebagai bingkai dan permukaan lepaan batu sebagai medium tempat tulis (skrin), papan batu ini digunakan secara meluas oleh murid-murid sekolah seawal tahun 1940-an. Papan batu ini berfungsi sebagai medium untuk menulis dan menyalin nota ketika belajar. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah "salin dan hafal". Mula-mula, murid akan menulis di permukaan papan batu tentang apa yang diajar oleh guru, kemudian cuba untuk menghafalnya sebelum tulisan itu dipadam. Perkara yang sama diulang beberapa kali setiap kali ada ilmu pelajaran yang baru.

Sejenis pensil yang diperbuat dari batu digunakan sebagai alat untuk menulis di papan batu. Pensil ini dikenali sebagai "kalam batu". Jika menulis setiap hari, kalam ini boleh digunakan untuk tempoh 3 bulan sebelum ia menjadi sangat pendek sehingga tidak boleh dipegang dengan tangan lagi.


Kalam batu biasanya dijual bersama-sama dengan papan batu. Kalau nak beli kemudian, harganya lebih mahal sikit. Mengikut apa yang diceritakan oleh arwah nenek saya, dua batang kalam ini dijual pada harga 5 sen sahaja. Kalam ini bolehlah dianggap seperti "stylus" pakai-buang. Sumber gambar: http://tokpengulu.blogspot.com/
   
Untuk memadam tulisan di papan batu, boleh gunakan kain yang dibasahkan dengan sedikit air. Pemadam duster ketika itu bukan mudah untuk didapati seperti sekarang.

22 Februari 2011

Minuman berkarbonat SUDI

Hari ini genap 19 tahun pemergian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, penyanyi tanahair yang masih belum ada galang-gantinya sehingga kini. Sejarah Sudirman tidak perlu saya ceritakan lagi kerana hampir seluruh rakyat Malaysia mengetahui tentang kejayaan beliau sebagai penghibur serba-boleh yang berjaya mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa.

Peristiwa kejayaan Sudirman masih kekal di ingatan setiap rakyat Malaysia. Lagunya masih rancak berkumandang di radio, wajahnya terpampang di risalah-risalah perlancongan negara dan video klip nyanyian beliau boleh ditonton seberapa banyak kali yang anda mahu di laman web You Tube.

Tetapi ada satu hasil tangan Sudirman yang tidak lagi boleh didapati sekarang. Masihkah anda ingat bahawa Sudirman pernah mengeluarkan produk minuman berkarbonatnya (soft drink) sendiri? Produk minuman tersebut dijenamakan dengan nama "SUDI".



Allahyarham Sudirman ketika memperkenalkan produk minuman SUDI. Slogan yang digunakan  untuk mempromosikan minuman ini adalah "Sudi-sudikanlah...". Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Pada tahun 1989 (kalau tak silap saya), Sudirman telah menubuhkan sebuah syarikat perniagaannya sendiri iaitu Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal berjumlah RM3 juta. Salah satu produk utama keluaran syarikat ini adalah minuman berkarbonat SUDI inilah.

Minuman tin SUDI ini dipasarkan dalam empat jenis perisa iaitu Oren, Kola, Lemonade dan Isotonik. Harganya lebih kurang sama dengan hargan minuman berkarbonat tin yang lain. Semasa pertama kali dilancarkan, minuman SUDI mendapat sambutan yang cukup menghangatkan sehingga ia begitu cepat habis dijual di kedai-kedai runcit.


Minuman SUDI berperisa oren. Rasanya gambar wajah Sudirman pada tin tersebut adalah gambar yang diambil ketika beliau merangkul gelaran Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Ini pula minuman SUDI berperisa kola. Rasanya lebih kurang sama seperti Coca-cola dan Pepsi. Sumber gambar:  http://ramlan1984.blogspot.com/

Pada tangan Sudirman itu ialah minuman SUDI berperisa Lemonade. Antara ketiga-tiga perisa, SUDI berperisa lemonade inilah yang paling saya suka dan paling kerap saya beli. Rasanya saling tak tumpah seperti minuman 7Up atau Sprite. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Saya masih ingat lagi betapa gembiranya saya ketika pertama kali membeli minuman SUDI ini di sebuah kedai Jimat Pernas di kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Masa mula-mula beli dulu, ramai yang berebut-rebut nak ambil minuman SUDI ini dari peti sejuk kedai sehinggakan tuan punya kedai terpaksa menghadkan seorang pembeli hanya boleh beli satu tin sahaja.


Jika anda lihat gambar di atas dengan teliti, anda dapat lihat ada satu tin minuman SUDI yang berwarna perak (silver) berjalur biru. Yang itulah SUDI berperisa isotonik. Rasanya sama seperti minuman 100 Plus yang ada sekarang. Tetapi entah mengapa perisa isotonik ini kurang dipasarkan berbanding perisa-perisa yang lain. Sumber gambar: http://ramlan1984.blogspot.com/

Ada juga pembeli yang saya lihat menyanyi lagu Sudirman ketika hendak membuka penutup tin minuman SUDI ini. Agaknya beliau betul-betul peminat setia Sudirman. Saya banyak kali juga beli minuman SUDI ini tapi tidak pernah teringat untuk menyimpan tin minumannya. Semuanya saya kumpul dan jual untuk program kitar semula.

Sebagai menghargai jasa peminatnya yang memberi sokongan dengan membeli minuman SUDI, Sudirman telah mengadakan konsert percuma beliau di Tapak Ekspo Ayer Keroh, Melaka pada 9 Mac 1991. Perbelanjaan konsert ditaja sepenuhnya oleh syarikat SUDI Sdn Bhd.