05 Januari 2011

Kasut sekolah Bata "Badminton Master"

"Melangkah ke sekolah dengan penuh gaya..."

Kita masih lagi berada dalam "mood" kembali ke sekolah. Setelah puas melepaskan geram pada Tuan Pengetua H pada post blog yang lepas, kali ini saya akan bercerita tentang kasut sekolah yang saya pakai dari Darjah 1 hingga 5.



Kasut Bata "Badminton Master". Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com. Kasutnya belum dikeluarkan lagi dari kotaknya. Tunggu sekejap ya....

Dengan ini saya mempersembahkan kepada anda, kasut sekolah "Badminton Master" yang dikeluarkan oleh syarikat Bata. Saya tidak berapa pasti tahun awal pengeluaran kasut Badminton Master ini. Tahu-tahu, kasut pertama saya ketika hendak memulakan persekolahan rendah adalah kasut Badminton Master inilah. Semasa bersekolah tadika, saya memakai kasut jenama Pallas jenis "strap-on" atau dengan panggilan kampungnya kasut jenis "lekat-lekat". Pada mulanya, saya menghadapi sedikit masalah untuk mengikat tali kasut. Entah kenapa, sukar untuk saya melakukannya. Tetapi setelah diajar berulangkali oleh ibu saya, akhirnya berjaya juga.

Mengikut sumber dari http://mohdfitri.blogspot.com, harganya sekitar RM18.99 pada zaman era 1980-an. Walaupun ketika itu, syarikat Bata telah mengeluarkan pelbagai jenis kasut sekolah model baru seperti Bata "Sinaran" (yang ada pemantul cahaya tu..), kasut Badminton Master ini tetap menjadi pilihan ramai, kerana harganya yang murah. Ia diperbuat dari kanvas sepenuhnya berbanding dengan kasut Bata lain yang diperbuat daripada campuran kanvas, span dan plastik lembut.


Kasut Badminton Master yang telah dikeluarkan dari kotaknya. Dah tak sabar lagi nak memakainya. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com




Rekabentuknya yang simple memudahkan proses pembasuhan kasut yang selalu dilakukan pada hujung minggu atau sehari sebelum esoknya nak sekolah balik (kes bertangguhlah ni...). Tapi tidak apa. Harganya yang agak murah membolehkan sesetengah ibu-bapa membeli lebih dari 2 pasang kasut Badminton Master untuk setiap anak yang bersekolah. Ada spare satu lagi kalau tak sempat basuh. Kalau dua-dua pasang kasut tidak dibasuh, alamatnya pakai kasut kotorlah ke sekolah. Pengawas sekolah pun akan menjeling semacam sahaja pada anda kalau pakai kasut yang kotor.

Untuk mengelakkan dari cepat kotor, anda boleh menyapu kapur ke kasut. Nampak lebih putih berseri lagi suci. Tapi masalahnya, ia akan menarik perhatian ramai kawan-kawan anda untuk memijak kasut anda itu, samada sengaja atau buat-buat tidak sengaja. Kejadian ini selalu berlaku ketika berbaris untuk memasuki kelas. Kalau orang dah pijak kasut saya, saya biasanya akan balas balik. Tapi biasanya yang suka memijak kasut orang ni, kasut diorang sememangnya dah sedia kotor...Jadi, saya juga yang rugi akhirnya.


Puas saya cari, tapi tak jumpa gambar kapur kasut yang sapu guna berus macam saya gunakan dulu. Senang budak-budak zaman sekarang, pakai kapur kasut jenis picit dan tonyoh sahaja.
Sumber gambar: mummyfad.blogspot.com



Kejadian memijak kasut kawan selalu berlaku ketika masing-masing hendak berbaris atau beratur untuk masuk ke kelas. Kejadian tersebut paling kerap berlaku pada hari pertama persekolahan setiap minggu (Isnin atau Ahad). Kehadiran guru di hadapan barisan tidak banyak membantu dalam mencegah kejadian memijak kasut kawan.
Sumber gambar: elenasofeaphotography.blogspot.com
 
Dengan mengaplikasikan ciri-ciri Unisex, kasut Badminton Master ini sesuai untuk dipakai oleh semua golongan murid-murid, tidak kira lelaki atau perempuan. Malah, ada juga golongan guru wanita yang memakai kasut Badminton Master ini semasa mengajar di sekolah. Kalau tak percaya, sila lihat klip video di bawah.


Petikan dari filem Adik Manja. Adibah Amin melakonkan watak seorang guru yang memakai kasut Badminton Master.


Setelah melangkah dengan penuh gayanya ke sekolah dengan memakai kasut Badminton Master ini, barulah saya sedari bahawa terdapat dua jenis kasut Badminton Master ini rupanya. Ada yang mempunyai tapak getah berwarna hijau, dan ada yang berwarna merah (gambar di bawah).



Kasut Badminton Master bertapak getah warna hijau. Saya lebih suka yang ini kerana tampak lebih segar. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com

Kasut Badminton Master yang mempunyai tapak getah berwarna merah. Melalui pemerhatian saya dulu-dulu semasa bersekolah, kasut bertapak merah ini menjadi pilihan murid-murid yang sedikit berlagak atau "kerek". Mungkin mereka ini sentiasa berasa bagus dan berbangga setiapkali memakainya.
Hek eleh.....Macam bagus. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com

Tak kiralah samada tapak warna merah atau hijau, ternyata pada suatu masa dulu, kasut Badminton Master inilah yang digunakan untuk ke sekolah mahupun untuk bersukan, terutamanya ketika bermain badminton atau sepak takraw. Pendek kata, kasut multi-purpose lah.

Saya tak tahu samada saya masih menyimpan lagi kasut Badminton Master ini di rumah saya di kampung. Rasanya dah reput kot dimamah usia. Jadi, untuk post kali ini saya mengucapkan terima kasih kepada En. Mohd Fitri Osman kerana mengizinkan saya menggunakan gambar kasut Badminton Master simpanan beliau. Pelbagai shot gambar kasut Badminton Master boleh dilihat dalam blog beliau. Link saya sertakan di sini: http://mohdfitri.blogspot.com/2009/06/kasut-bata-badminton-master-tapak-getah.html


03 Januari 2011

Sikap Pengetua Sekolah yang membazirkan duit ibu-bapa

Saya terbaca satu artikel dari laman blog syedsoutsidethebox.blogspot.com/ yang menceritakan tentang bagaimana ibu bapa terpaksa menghabiskan sejumlah wang untuk membeli kelengkapan sekolah yang sepatutnya tidak harus dibeli berulang kali, setiap kali bermulanya sesi persekolahan yang baru.

Kelengkapan seperti baju dan seluar sukan (track bottom), sticker, lencana dan cadar bukannya perlu ditukar setiap tahun, apatah lagi sekiranya kelengkapan di atas masih elok dan boleh dipakai. Tetapi pihak sekolah nampaknya mewajibkan setiap pelajar untuk membelinya, dengan harga tertentu yang arasnya entah ditentukan oleh pihak mana, saya pun tidak tahu. Jadi, berapakah jumlah wang yang perlu dikeluarkan oleh ibu-bapa untuk setiap anak mereka yang memulakan persekolahan?


Selain dari pelbagai kelengkapan sekolah yang memang wajar ditukar setiap tahun kerana sudah tidak boleh digunakan lagi atau pakai buang (seperti gambar di atas), bermacam-macam lagi kelengkapan "mengarut" yang perlu dibeli oleh ibu-bapa untuk memenuhi tuntutan pihak sekolah.
Gambar hiasan dari sumber: rinnamanja.blogspot.com

Walaupun masih bujang, belum berkahwin dan mempunyai anak, saya sebenarnya sudah lama memendam rasa dan bengang dengan pelbagai tuntutan pihak sekolah, setiap kali sesi persekolahan bermula. Apa rasionalnya pihak sekolah mewajibkan pelajar untuk membeli kelengkapan-kelengkapan yang bukan-bukan? Pihak sekolah patut sedar yang saban tahun, ibu-bapa menghabiskan begitu banyak wang untuk menguruskan itu dan ini, untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

Dalam post kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika berada dalam Tingkatan 1 di sekolah menengah, tempat saya menuntut ilmu dari Tingkatan 1 hingga 5. Untuk makluman pembaca blog sekelian, saya memang banyak kali tidak bersetuju dengan guru-guru di sana kerana tidak puas hati dengan beberapa peraturan sekolah yang tidak boleh diterima pakai dan dibuat hanya untuk memenuhi kehendak peribadi beberapa orang tenaga pengajar.

Sewaktu perhimpunan sekolah, saya (dan murid-murid lain) diperkenalkan kepada Pengetua "H" yang baru dilantik sebagai Pengetua di sekolah kami. Alangkah terkejutnya saya apabila Pengetua H ini memperkenalkan peraturan baru di mana setiap murid lelaki hanya dibenarkan memakai baju berlengan pendek. Baju lengan panjang tidak dibenarkan (kecuali Pengawas).


Tuan Pengetua "H" dengan eksennya mengumumkan peraturan baru "Dilarang memakai baju lengan panjang" ketika perhimpunan sekolah seperti gambar di atas. Gambar hiasan dan tiada kena mengena dengan perhimpunan di sekolah tempat saya belajar dahului. Sumber gambar: dlela.edu.my


Apa logiknya perlaksanaan peraturan tersebut? Pengetua H mengatakan ianya perlu dilaksanakan untuk memastikan keseragaman di sekolah. Sesi persekolahan baru saja bermula, dan saya sedar ayah saya membelanjakan sejumlah wang unttuk membeli baju sekolah saya yang berlengan panjang. Saya memang memilih baju lengan panjang kerana saya tidak mahu lengan saya gelap sekerat dimamah mentari ketika menunggang basikal pergi dan pulang dari sekolah. Sesiapa yang tunggang basikal dulu-dulu ke sekolah mesti faham dan dapat merasai keperitan cahaya matahari memamah kulit tangan yang memegang "handle" basikal....


Keperitan kulit dimamah terik mentari khususnya di bahagian atas lengan ketika menunggang basikal dapat dikurangkan sekiranya memakai baju sekolah lengan panjang. Takkan nak pakai jaket kot? Lagi panas lah...Kalau naik motorsikal lain cerita, angin bertiup kencang ketika menunggang. Sumber gambar: Era.fm


Takkanlah saya kena beli baju sekolah yang BARU, atau dengan lebih tepat lagi; baju sekolah BARU berlengan pendek? Kena beli BARU sebab semata-mata hendak mengikuti peraturan BARU yang dicipta oleh Tuan Pengetua sekolah yang BARU dilantik?

"Bagi murid-murid yang memakai baju berlengan panjang, jika tidak mahu menukar ke baju lengan pendek, anda boleh menggunting lengan baju lengan panjang yang anda sedang pakai sekarang. Jadi, anda semua tidak rugi",  ucap Pengetua H lagi.

Agaknya Pengetua H tidak pernah mencuci atau menjemur atau menggosok baju lengan panjang yang dipakai setiap hari untuk bertugas. Sebab itu beliau tidak pernah perasan yang potongan lengan baju berbeza di antara baju lengan pendek dan baju lengan panjang. Potongan lengan pada baju "lengan panjang" adalah berbentuk lonjong dan membesar di bahagian lengan. Potongan lengan pada baju "lengan pendek" berbentuk lurus dan agak mengecil di bahagian bawah. Kalau tak percaya, cuba anda balik rumah dan bandingan corak potongannya.


Baju uniform sekolah lengan pendek. Sila lihat pada bahagian bulatan yang menunjukkan potongan lengan baju. Sumber gambar: http://eshop.canggih.com.my

Baju uniform sekolah lengan panjang. Sekali lagi cuba anda lihat pada bahagian bulatan yang menunjukkan potongan lengan baju yang berbeza dari potongan baju lengan pendek. Bahagian tersebut akan menguncup sekiranya dipotong. Sumber gambar:  http://eshop.canggih.com.my


Apa akan jadi pada lengan baju "lengan panjang" sekiranya ia digunting? Emak saya bukanlah seorang tukang jahit, tapi emak saya tahu, BURUK RUPANYA kalau baju lengan panjang digunting atau dimodifasikan untuk dijadikan baju lengan pendek. Bahagian lengan yang tertinggal setelah dipotong akan menguncup. Kalau anda tak percaya juga, cubalah anda buat langkah-langkah di atas terhadap mana-mana baju lengan panjang anda. Tapi jangan tuntut ganti rugi dari saya.

"Sekiranya ada murid-murid yang enggan menggunting baju lengan panjang mereka, saya sendiri yang akan menggunting lengan baju kamu. Saya akan bawa gunting ke mana-mana sahaja sewaktu meronda di sekolah", tegas Pengetua H lagi.



Pada pendapat anda, gunting bersaiz mana yang dapat dimuatkan ke dalam poket seluar Tuan Pengetua H? Saiz gunting penting agar Pengetua H berasa selesa setiap kali berjalan dan khususnya duduk kerana dikhuatiri gunting yang tidak bertepatan saiznya boleh melukakan badan Pengetua H itu sendiri. Sumber gambar: monicaelny.blogspot.com


Jadi, apakah pendapat anda tentang isu di atas? Jika hendak diceritakan, ada banyak lagi kisah yang seumpama di atas telah berlaku ke atas anda semasa anda bersekolah dulu. Mungkin perkara yang sama berulang kembali kepada anak-anak anda yang sedang memulakan sesi persekolahan sekarang.