17 Disember 2010

Kerusi rotan rasmi Kerajaan Malaysia

Kalau kita berkunjung ke jabatan-jabatan kerajaan sekarang seperti di Putrajaya, kita dapati semua perabot seperti kerusi dan meja semuanya berekabentuk moden ergonomik. Kadang-kadang, setiap jabatan mempunyai warna kerusi tertentu yang seragam, dipilih berdasarkan polisi jabatan kerajaan, warna korporat atau atas arahan Ketua Jabatan. Contohnya, kalau bahagian Pentadbiran, warna biru, bahagian Penyelidikan warna hijau dan sebagainya.


Maka dengan ini bangganya saya memperkenalkan anda kepada Kerusi Rotan Rasmi Kerajaan Malaysia yang cukup dihormati pada suatu masa dahulu, sekitar tahun 1970-an hingga awal 1990-an (gambar di bawah).


Jika anda pergi berurusan dengan mana-mana jabatan kerajaan ketika waktu dahulu, anda mungkin tidak dapat menjumpai kerusi rotan ini di kaunter-kaunter menunggu (contohnya di hospital besar, Jabatan Pendaftaran dan yang sewaktu dengannya). Kerusi rotan ini hanya diletakkan dalam ruang-ruang tamu yang berada dalam pejabat Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan, khususnya dalam bilik Pegawai JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam, Gred VK7 atau VU6 ke atas). Pada kerusi rotan tersebut, tertera cop begini:

"HAK MILIK KERAJAAN MALAYSIA".

Kerusi rotan ini didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu warna kuning rotan asli yang telah disapu dengan varnis. Jika sudah jemu atau bosan atau dah mula naik menyampah memandangnya, pegawai-pegawai JUSA ini tidak boleh sewenang-wenangnya menukar atau melupuskan aset kerajaan ini. Untuk mengatasi rasa bosan tersebut, mereka boleh menukar sarung kusyen tersebut. Jika tak suka warna sarung kusyen yang dibekalkan oleh Kerajaan Malaysia, boleh beli sendiri di kedai perabot di luar dan boleh buat tuntutan (claim) rasmi. Tapi mesti disertakan dengan resit lah. Lagi tinggi jawatan anda, lagi cerah peluang anda untuk dapat claim. Kerani bahagian claim pun tak akan banyak tanya tentang claim anda tu...


Proses pembuatan kerusi rotan rasmi kerajaan. Tak pasti pula kompeni mana yang dapat tender membekalkannya ke seluruh jabatan kerajaan di segala ceruk dan pelosok negara ketika itu.


Kerusi ini bukan sahaja ditempatkan di bilik-bilik Pegawai JUSA, tapi turut dibekalkan sebagai perabot dan diletakkan di rumah-rumah atau kuarters rasmi Kerajaan. Walaupun ayah saya hanya berpangkat Koperal dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, tapi kami memperoleh dua unit kerusi rotan ini untuk digunakan sebagai perabot rasmi di rumah Flat Tingkat 4, unit di mana kami tinggal. Walaubagaimanapun, ianya didatangkan tanpa sarung kusyen. Ayah saya kena beli sarung kusyen kat luar, tapi dia tak claim. 

Kusyen yang digunakan adalah dari jenama Dunlop. Dekat atas kusyen itu pun ada tertera cop "HAK MILIK KERAJAAN MALAYSIA". Mungkin ini adalah salah satu cara unutuk mengingatkan kakitangan kerajaan ketika itu bahawa mereka dan keluarga mereka (anak-beranak) tidak boleh merosakkan atau menyalahgunakan kusyen tersebut untuk tujuan selain daripada untuk tujuan duduk baik-baik bagi melabuhkan punggung.


Mengikut apa yang diberitahu oleh rakan sepejabat saya, Dr Noor Azmi Shaharudin, kerusi rotan ini masih boleh ditemui di rumah-rumah rekreasi dan keraian kerajaan. Masih berkeadaan baik dan kukuh untuk merehatkan badan penjawat-penjawat awam yang bercuti untuk melepaskan penat dan lelah. 


Entah kenapa sekarang ni, pihak media, tak kira stesen TV atau akhbar tempatan, suka menggunakan istilah "Penjawat Awam" sebagai head lines dalam ruangan berita mereka. Istilah "Kakitangan Awam" sudah semakin jarang digunakan...





Keratan akhbar yang menggunapakai istilah "Penjawat Awam". Agaknya tahun-tahun yang akan datang media massa akan guna istilah baru agaknya. Jangan kembali guna istilah "Orang Gomen" sudah...




2 ulasan:

  1. kat rumah aku dulu ada tilam dan bantal Dunlop, tak ingat pulak ada cok hak kerajaan ke tak... hehe..

    BalasPadam
  2. Mesti ada, tapi sudah pudar dimamah usia. Dakwat cop jenis tak kuat kot.

    BalasPadam