05 April 2011

Air kotak Junior Juice

Pernahkan anda (sebagai seorang ibu atau bapa) menghadapi masalah melayan kerenah anak seperti di bawah:


"Ini kenapa tak habis minum air kotak ni? Penat mak belikan tau", tanya anda.

"Tak laratlah nak minum mak/ayah. Lagipun tak sedap", jawab anak anda.

"Minum! Tak baik membazir. Tadi dia yang nak sangat...", desak anda.

"Tak nak!!! Emak/Ayah ajelah yang minum", desak anak anda pula sambil dah mula merengek.


Kesudahannya, anda juga yang terpaksa menghabiskan minuman tersebut, kerana tidak mahu membazir. Mengapakah kejadian seperti di atas berlaku?

Selain dari rasa minuman air kotak tersebut yang mungkin kurang sedap, saya rasa kanak-kanak sebenarnya sukar untuk menghabiskan keseluruhan air dalam minuman kotak tersebut. Ya, 250 mL air di dalam minuman berkotak bukanlah mudah untuk dihabiskan oleh seorang kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah (kalau tak betul-betul dahaga).

Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak mudah terpengaruh dengan ilustrasi kartun atau gambar yang tertera pada bungkusan makanan atau minuman. Dalam kes air kotak ini, mungkin ilustrasi gambar atau grafik  pada kotak minuman tersebut memang menarik, tapi tak semestinya rasa air kotak itu juga menarik...

Kalau dah tak sedap, memang tak akan habis minum punya...

Untuk mengatasi masalah minum air kotak tak habis ni di kalangan kanak-kanak, syarikat pengeluar minuman terkemuka negara, Yeo's Hiap Seng telah memperkenalkan satu produk minuman air kotak bersaiz kecil khas untuk pengguna kanak-kanak (yang dah mula demand dah sekarang ni). Ini adalah produk minuman kotak bersaiz kecil pertama seumpamanya dipasarkan di Malaysia.

Air kotak Junior Juice mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 1992. Didatangkan dalam pek bersaiz 125 mL, ianya cukup muat dan mudah untuk dimasukkan ke dalam bekas makanan atau beg sekolah.  Saiz kotaknya yang comel juga memudahkan pek Junior Juice ini dipegang dengan tangan kanak-kanak yang bersaiz kecil. Kalau minum di sekolah pun boleh sorok-sorok, sebab takut kawan-kawan minta tumpang minum jugak...


Inilah dia produk minuman kotak Junior Juice. Rasa-rasanya anda pernah tak minum air kotak ni?

Junior Juice ini boleh didapati dalam dua perisa, iaitu campuran oren dan epal atau campuran pic dan epal. Harga di pasaran ketika itu ialah hanya 50 sen sahaja. OK lah untuk budak-budak. Ibu bapa juga merasa lega kerana tidak perlu membelikan air kotak bersaiz dewasa untuk anak-anak mereka yang selalu merengek nak minum air kotak, tapi tak larat nak habiskan.

Saya masih ingat lagi iklan Junior Juice ini ketika ditayangkan di kaca TV. Ada seekor anak beruang yang sedang kehausan mencari minuman di dalam peti ais dalam sebuah rumah manusia. Curi-curi masuk rumah orang lah ni. Pabila pintu peti ais dibuka, memang banyak air kotak di dalam, tetapi semuanya bersaiz besar, khas untuk orang dewasa...


"Besarnya, tak habis ni...", keluh anak beruang tersebut.

Tiba-tiba anak beruang itu terpandang satu air kotak Junior Juice, lalu cepat-cepat mengambil dan meminumnya...


"Waa wee! Junior Juice!", sorak anak beruang itu dalam keriangan. 


Beruang-beruang di dalam gambar ini bukannya nak cari air kotak, tapi ini dah sampai mencuri segala jenis makanan dalam rumah orang. Gambar hiasan semata-mata.

Saya tidak berapa pasti apa yang terjadi kepada produk Junior Juice ini. Rasanya memang sudah tiada dalam pasaran Malaysia. Namun begitu, ada banyak lagi syarikat pengeluar minuman yang memasarkan produk minuman bersaiz kecil untuk kanak-kanak.


Produk susu Dutch Lady "Kid" kini dipasarkan khas untuk kanak-kanak yang minum hanya sikit-sikit. Sumber gambar: sinarkebahagian.blogspot.com

29 Mac 2011

Siri Cerita Rakyat 2: Animasi TV Gagak Yang Bijak

Ramai Sang-Sang Gagak yang meluahkan perasaan kurang senang terhadap entri saya berkenaan asal-usul mereka sebelum ini (sila klik di sini: Mengapa Gagak berwarna hitam? untuk membacanya). Tidak kurang juga yang marah-marah. Pada hujung minggu lepas, Gagak-Gagak datang membuat bising di hadapan rumah saya pada waktu pagi sampaikan saya nak sambung balik tidur pun tak boleh.

Akhirnya, untuk menenangkan mereka, saya berjanji kepada Gagak-Gagak tersebut yang saya akan menulis satu entri baru yang menceritakan tentang kebaikan ataupun kelebihan Gagak ini, berbanding dengan unggas-unggas yang lain.


"Apa ni bang. Segalanya yang negatif semuanya dikaitkan dengan kami. Kami pun ada juga ciri-ciri positif", salah seekor Gagak yang mencurahkan perasaan dari hati ke hati kepada saya.

Semasa saya kecil, hampir setiap petang saya menonton TV. Ketika itu Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM) selalu menayangkan siri animasi kartun pendek berkisarkan kehidupan haiwan di Malaysia. Objektif utama tayangan animasi kartun tempatan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak khasnya, dan rakyat Malaysia, amnya.


Pasti anda selalu ternampak logo Sang Harimau yang sedang menerkam ini. Inilah dia logo Jabatan Filem Negara Malaysia.

Kadang-kadang, nak mengajar orang dewasa tentang nilai-nilai murni ini jauh lebih sukar dari mengajar kanak-kanak. Rebung sudah bertukar menjadi rebung.

Berbalik kita kepada Sang Gagak tadi. Jabatan Filem Negara Malaysia pernah suatu ketika menerbit dan menayangkan satu siri animasi pendek yang menceritakan tentang kesabaran dan kebijaksanaan seekor Gagak dalam menyelesaikan masalah seharian. Jika anda ingin menontonnya, klip videonya ada saya lampirkan di bawah. Selamat menonton.


Saya sungguh mengagumi Sang Gagak dalam cerita di atas. Beliau kelihatan sungguh "cool" sekali. Sumber video You Tube: Aredown


Dua tahun yang lepas, ketika saya pun sudah dewasa, saya ada terbaca satu strip kartun di Majalah Ujang yang mengisahkan tentang dua ekor Gagak yang cuba untuk meminum air dari bekas jag air yang muncungnya sempit. Jalan ceritanya saling tidak tumpah seperti animasi Filem Negara Malaysia yang baru anda tonton tadi.

Gagak 1: "Nasib baik kita jumpa bekas jag air ni. Dahaga betul rasanya"

Gagak 2: "Syukur. Eh, awak nak pergi cari apa tu?"

Gagak 1: "Nak pergi cari ketul batu lah. Kalau tak masukkan batu dalam jag air ni, macam mana paras air nak naik? Macam mana kita nak minum? Muncung kita tak sampai..."

Gagak 2: "Tak payah cari ketul batu. Tak bersih lagipun. Jom ikut aku".


Ke mana kedua-dua ekor Gagak ni nak pergi? Rupa-rupanya....


Gagak 2: "Dah sampai dah kat kedai mamak ni. Macha, mintak straw dua!"

Gagak 1: "Iya tak ya jugak. Pakai straw aje kan senang...."


Burung Gagak pun sudah kreatif dan mempunyai daya fikiran berinovasi pada zaman sekarang. Jadi, kepada semua Gagak yang akan bertandang ke rumah saya lagi pada minggu ini, saya sudah tunaikan janji saya. Tolong jangan marah-marah lagi kat saya ye.

Dan kepada pembaca di luar sana, kalau ada Sang Gagak yang ingin menumpang pinjam PC anda untuk melayari blog saya kerana hendak membaca entri berkenaan dengan Gagak, silalah bagi pinjam sekejap ye. Kasihan kat diorang...


"Abang, boleh tak saya pinjam pakai PC tu kejap? Nak surf internet sebab nak baca blog tentang saya lah bang. Boleh ye bang? Ala boleh lah...". Sumber gambar: Monkeyc.net



24 Mac 2011

Siri Cerita Rakyat 1: Mengapa Gagak berwarna hitam?

Setiap kali anda terlihat burung Gagak, pernahkah anda terfikir mengapakah burung Gagak tersebut bulunya berwarna hitam berkilat?

Dan pabila terdengar bunyi suara Sang Gagak tersebut, pernahkan anda terfikir kenapa bunyi suaranya sangat sumbang dan tidak semerdu kicauan unggas-unggas yang lain? 


 "Aaark! Aaaark! Aaaaark!", memang tak sedap langsung bunyi suara Gagak. Kadangkala boleh menyesakkan laluan halwa telinga.


Saya ingin berkongsi dengan anda sebuah cerita orang-orang tua yang menerangkan asal-usul bagaimana Gagak boleh berwarna hitam. Kisah ini telah dibukukan dalam salah satu buku terbitan Pustaka Antara yang berjudul "Gagak Yang Tamak", karya Muhd Mansur Abdullah.


Inilah dia buku cerita "Gagak Yang Tamak" yang diterbitkan pada tahun 1980. Tiga watak utama dalam cerita diperlihatkan pada kulit depan dan belakang buku; Sang Gagak, Sang Merak dan Sang Bangau.

Buku ini sudah berusia hampir 30 tahun. Bahasa Melayu yang digunakan pengarang juga agak lama, maklumlah hendak disesuaikan dengan cerita orang-orang tua dahulukala. Jadi, dalam entri kali ini, saya akan cuba meringkaskan serba-sedikit cerita Gagak Yang Tamak ini dan seterusnya mendedahkan bagaimana Gagak ini bulunya boleh berwarna hitam berkilat. Jangan risau, saya akan gunakan Bahasa Melayu yang moden. Gambar (warna hitam-putih) yang saya tunjukkan selepas ini adalah gambar asal dari buku ini sendiri.

Pada masa dahulu, Gagak ini sebenarnya adalah seekor burung yang cantik. Percaya atau tidak, warna asal bulu Gagak ini adalah putih, seputih kapas yang baru dipetik dari pokok. Keputihan bulunya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana burung yang lain seperti bangau dan angsa.


Sang gagak yang dahulunya mempunyai bulu berwarna putih. Bukan sebarangan putih, tapi putih jenis "Pearl White"  macam warna putih kereta Toyota Camry.



Keputihan bulunya yang menawan itulah yang menyebabkan Gagak berasa cukup sombong dan selalu berlagak dengan burung-burung yang lain. Bukan sahaja berlagak, tetapi sehingga menyindir burung-burung yang lain dengan mengatakan bahawa bulu mereka tidak secantik bulunya. Dalam cerita ini, yang menjadi mangsa sindiran Gagak adalah Sang Pucong, Sang Bangau, Sang Enggang dan Sang Kelicap.

Keturunan Sang Enggang dan Sang Pucong dikatakan malas hendak membersihkan bulu oleh Gagak. Sebab itulah warna bulunya putih kekuningan. Sang Kelicap dikatakan malas juga hendak mandi, sebab itu warna bulunya agak coklat. Sang Bangau pula digelar keturunan pemalas kerana hanya menanti kehadiran ikan di sungai. Bangau pun malas mandi juga, kata Gagak.


Sang Gagak terbang melintasi tasik di mana Sang Pucong dan Sang Bangau selalu bersantai. Lihatlah muncung Sang Pucong itu, sudah berdepa-depa panjangnya kerana meluat melihatkan kerenah Gagak yang sombong itu.


Bukan sahaja kaum Burung, malah haiwan darat lain seperti Sang Khinzir pun dikutuk oleh Gagak juga. Katanya keturunan khinzir dihukum oleh Tuhan kerana terlalu tamak. Sebab itulah hidung mereka dikembangkan hujungnya untuk ditumpukan ke kawasan banir pokok...


"Kami berasa sungguh hina dipertuduhkan sebegitu rupa oleh Sang Gagak!" luahan rasa Sang-Sang Khinzir pabila ditemuramah. Sumber gambar: willpen.wordpress.com


Pada suatu hari, kesemua penghuni rimba mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan tentang bagaimana untuk mengajar Gagak yang sombong itu. Krisis yang dicetuskan oleh Gagak menyebabkan kesemua haiwan bersatu-padu dan cuba memikirkan strategi yang terbaik untuk mengenakan Gagak.

Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Akhirnya mereka bersetuju dengan satu strategi dan Sang Enggang ditugaskan untuk mencari Sang Merak. Kenapa kena cari burung Merak pula?

Ada sedikit masalah jika mahu berjumpa dengan Sang Merak ini sebenarnya. Merak ini suka bersendirian dan tidak suka diganggu. Banyak juga gossip yang diperkatakan oleh penghuni rimba, bahawa Merak ini pun tergolong dalam kategori sombong tetapi tidak berlagak seperti Gagak. Merak tidak pernah menghina haiwan-haiwan yang lain. Merak hanya suka buat hal sendiri-sendiri sahaja.

Puas juga Sang Enggang terbang ke pelosok hutan untuk mencari Sang Merak itu. Namun akhirnya berjumpa jua. Waktu itu Sang Merak sedang enak beristirehat.


"Apa kaitan saya dengan Sang Gagak pula? Saya tak geng dengan dia..." ujar Sang Merak kepada Sang Enggang. Sumber gambar: selvam4win.wordpress.com


Maka diceritakanlah segalanya oleh Sang Enggang berkenaan dengan sikap buruk Sang Gagak ini kepada Sang Merak. Sang Merak juga dimaklumkan secara terperinci tentang strategi bagaimana hendak mengenakan Gagak. Merak bersetuju dan rancangan akan dijalankan secepat mungkin.

Sang Merak akhirnya bersua dengan Sang Gagak. Pabila melihatkan bulu Merak yang sungguh cantik itu, Gagak pun tidak teragak-agak memujinya.

"Wahai Sang Merak, pandai sungguh saudaraku menjaga bulu-bulumu sehinggakan nampak tersusun dan cantik-cantik belaka warnanya" kata Gagak.

"Manalah cantiknya bulu hamba ini. Cantik lagi bulu tuan hamba itu. Putih bersih macam kapas dibusar. Macam telur dikupas. Macam bunga cina kembang pagi. Bulu-bulu hamba ini apalah sangat, comot celorang-celoreng tak tentu rupa" balas Merak sambil buat-buat tersipu malu.


Bukan main terkejut lagi Gagak pabila mendengarkan jawapan Merak itu. Dalam hati Gagak berkata,

"Adakah Merak menyesal memiliki bulu-bulu yang cantik dan tersusun rapi sebegitu? Kalau dia tak gemar, baik sahaja aku minta. Kalau dia mahu tukar dengan warna bulu akupun tak mengapa...."


Lebih terkejut lagi Gagak pabila mendengar rungutan dari Merak,

"Hamba rasa bulu hamba inilah bulu yang terhodoh sekali dalam dunia ini. Kalaulah sesiapa yang inginkannya, mahu sahaja rasanya hamba nak berikan secara percuma sahaja..." ujar Merak.


Apa lagi. Gagak pun berasa cukup teruja dengan apa yang dikatakan Merak tadi. Fikir Gagak, kalaulah dia memiliki bulu seperti Merak, bolehlah dia menunjuk-nunjuk lagi (atau eksyen) di hadapan semua penghuni rimba. 

"Betulkah sahabatku dapat membuat warna buluku menjadi seperti warna bulu tuan hamba itu? Bagaimana caranya? Adakah kena cabut dulu bulu-bulu tuan hamba itu?" tanya Gagak bersungguh-sungguh tanpa menelan air liur.

Jawab Merak, "Oh, tidak payah sampai nak cabut bulu. Kan bulu kita ini boleh diwarnakan dengan pencelup warna. Kalau benar saudara hendak, bolehlah hamba jumpa dengan tukang sapu cat pewarna bulu yang paling mahir mewarnakan bulu hamba dulu". 


Maka, gagak pun semakin tidak sabar dan meminta Merak menetapkan temujanji dengan tukang pewarna bulu itu secepat yang boleh. Merak meminta tempoh sehari-dua kerana tukang pewarna itu perlu menyediakan bekalan cat warna terlebih dahulu. Banyak cat warna nak kena pakai...

Siapakah sebenarnya tukang pewarna bulu itu? Untuk mendapatkan jawapannya, sila lihat gambar di bawah...

"Sayalah Sang Burung Hantu, tukang pewarna cat bulu yang cukup terkenal di rimba ini. Sesiapa nak color kan bulu atau rambut, boleh contact handphone saya dulu untuk set appointment. Rawatan rebonding saya tak buat. Itu kena pergi buat di salon rambut "


Setelah tiba masa yang dijanjikan. maka datanglah Burung Hantu bersama Merak untuk melakukan tugas mewarna bulu Gagak. Mereka datang bukan pada waktu siang, tetapi waktu malam. Kenapa? Kerana sebab pada waktu malam paling sesuai mewarnakan bulu kerana tidak ada sebarang gangguan dari mana-mana penghuni rimba yang suka menyibuk. Begitulah menurut kata Sang Merak.


Puas juga agaknya Burung Hantu nak menyediakan pelbagai warna cat untuk memenuhi kehendak Gagak yang tamak ini. Tak tahulah berapa Burung Hantu nak caj Gagak.

Warna cat yang mula-mula disapukan ke badan Gagak adalah warna hitam. Berlaku sedikit kemusykilan di situ, lalu Gagak pun bertanya, 

"Mengapa pulak warna hitam Sang Merak?" soal Gagak.

"Memanglah warna hitam dulu. Nanti barulah warna emas, warna hijau, warna biru, warna merah, dan kuning, jingga, indigo, fluorescent, dan lain-lainnya disapukan atas warna hitam itu. Macam cat undercoat. Sabarlah, hamba dulu pun macam ini juga..." jelas Sang Merak.


Burung Hantu bertungkus-lumus semalaman untuk mewarnakan bulu Gagak itu. Sampai waktunya, hari sudah mula hendak siang. Maka untuk mempercepatkan kerja, Burung Hantu mencurahkan saja kesemua cat hitam itu ke atas badan Gagak. 

"Hamba nak cepat ni. sebab waktu siang mata hamba rabun", kata Burung Hantu yang sebenarnya menipu. 


Sebenarnya pada zaman dahulu, Burung Hantu pun tidur pada waktu malam seperti burung-burung lain. Burung Hantu pun boleh melihat dengan jelas pada waktu siang. 

Sebelum Burung Hantu dan Merak meninggalkan Gagak, mereka berjanji akan datang pada keesokan malamnya untuk mengecat warna-warna yang lain. Keseluruhan proses mewarna akan mengambil masa kira-kira seminggu kerana banyak warna akan digunakan.

Sejak dari malam itu, Burung Hantu dan Merak tidak pernah muncul-muncul lagi untuk menemui Gagak. Gagak berasa cemas lalu terbang menemui penghuni rimba yang lain untuk bertanyakan samada mereka ada terjumpa Merak dan Burung Hantu. Kesemua penghuni rimba sebenarnya telah dimaklumkan sejak awal lagi oleh Merak tentang strategi yang telah berjaya ini.

"Merak dan Burung Hantu malu pada tuan hamba sebab tak dapat menunaikan janji-janji, kebetulan pula cat pewarna lain itu sudah habis di pasaran", kata penghuni-penghuni rimba kepada Gagak. 


Pabila mendengarkan jawapan itu, maka menangis dan meraunglah Sang Gagak. Beliau terpaksa menerima  hakikat bahawa bulunya kini tidak dapat diwarna-warnikan lagi. Yang tinggal sekarang hanyalah warna hitam berkilat.


Sayang semuanya sudah terlambat. Disebabkan kesombongannya dan sikap suka menghina penghuni rimba yang lain, Gagak telah kehilangan bulunya yang berwarna putih "pearl white" itu. Cat hitam itu memang kekal dan tidak boleh dibasuh langsung. Berkualiti tinggi betul cat warna hitam yang digunakan oleh Burung Hantu itu. "Gagak tertipu bang, Gagak tertipu..." keluh Sang Gagak.


Apa lagi, kesemua panghuni rimba pun membalas dendam dengan membuat sinidiran-sindiran yang pedas terhadap Gagak. Semuanya memulangkan paku buah keras...

"Bukankah warna hitam itu hanya warna arang dan buntut kuali sahaja...", perli haiwan-haiwan yang lain.


Dengan perasaan malu yang amat sangat, Gagak pun terbang melarikan diri keluar dari hutan. Sebab itulah kita sukar nak jumpa burung Gagak dalam hutan. Kesemua Gagak mudah dijumpai dalam kawasan-kawasan pekan dan bandar sebab dah lari ke sana. 


Sang Gagak kini menjadi salah seekor warga kota yang terkenal kerana selalu melepak di atas bangunan dan wayar tiang elektrik mahupun telefon. Sumber gambar: altf4numeric.blogspot.com

Kenapa pula Gagak selalu membuat bising dengan bunyi suaranya yang kuat? "Aaark! Aaaark! Aaaaark!"? Jawapannya kerana Gagak rupanya menangis kerana menyesal hingga ke akhir zaman...

Burung Merak pun sukar hendak dijumpai kerana dipercayai beliau menyembunyikan diri dari ditemui oleh Gagak.

Salah seekor burung Merak yang cuba menyembunyikan diri di dalam semak kerana takut dijumpai oleh Gagak. Tak tahulah kalau terjumpa Gagak nak buat apa kat Merak ni.

Apa pula terjadi pada Burung Hantu? Mungkin ada daripada pembaca yang sudah dapat meneka. Selepas kejadian tersebut, maka Burung Hantu pun tidak berani lagi keluar siang dan hanya keluar terbang pada waktu malam sahaja. Sebabnya pun sama seperti Merak juga. Takut terjumpa Sang Gagak sebab Burung Hantu tahu Gagak sudah tidur pada waktu malam.


Walaupun strategi mengenakan Gagak itu berjaya dilaksanakan dengan begitu licik sekali, namun Burung Hantu terpaksa menanggung akibatnya sehingga ke hari ini. Mereka terpaksa mengubah "Biological Clock" mereka dari tidur di waktu malam kepada tidur di waktu siang. Kasihan Burung Hantu...

Apakah pengajaran yang boleh diperolehi dari cerita Sang Gagak ini? Rasanya anda sendiri pun sudah tahu...

Untuk pembaca yang mempunyai anak, ataupun anak buah, bolehlah berkongsi cerita ini dengan mereka. Saya rasa anak-anak zaman sekarang agak sukar untuk memperolehi cerita sebegini. Mungkin arus pemodenan zaman yang menyebabkan cerita-cerita orang tua seperti ini dianggap remeh, ketinggalan zaman dan ada yang menganggap ia tidak lagi sesuai diceritakan kepada generasi muda.



21 Mac 2011

Setem perasmian bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak

Hari ini pada tanggal 21 Mac 2011 Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihanraya Negeri Sarawak.

Jika anda mahukan perkembangan selanjutnya tentang proses pilihanraya Negeri Sarawak, sudah tentu segala macam kisah boleh didapati dari media elektronik di luar sana. Minta maaf, blog Hilang Ditelan Zaman ini tidak menyediakan cerita-ceriti berkaitan politik negara. Bukannya tidak berminat, tetapi saya enggan meluahkan pendapat saya tentang kisah politik negara ke dalam internet.

Tetapi saya lebih berminat kepada "sekeping item" yang berkaitan dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita sedia maklum wakil rakyat yang dipilih rakyat akan memperjuangkan hak penduduk kerusi kawasan yang diwakilinya. Isu-isu berkaitan pentadbiran kawasan akan dibincangkan dalam sebuah bangunan kerajaan yang menempatkan Dewan Perbahasan, tempat Yang Berhormat (YB) berhujah, berselisih faham dan bertegang leher serta urat sebelum satu kata muafakat diambil.

Bagi Kerajaan Negeri Sarawak, dewan perbahasan untuk DUN ini sudah hampir tujuh kali berpindah tempat. Akhirnya pada 17 Ogos 1976, sebuah kompleks kerajaan lengkap yang menempatkan sebuah Dewan Perbahasan untuk DUN Negeri Sarawak telah dibina di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Sempena perasmian dewan baru ini, Pos Malaysia telah mengeluarkan sekeping setem kenangan-kenangan. Inilah dia "sekeping item" yang saya sebutkan tadi...


Inilah dia rupanya setem 15 sen yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia bersempena dengan pembukaan rasmi Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak. Setem ini diperolehi dari koleksi peribadi saya.

Kompleks DUN Negeri Sarawak ini digunakan dengan aktifnya sebagai tempat perbahasan dan penggubalan undang-undang negeri Sarawak. Rekabentuknya yang unik menyebabkan kompleks ini bukan sahaja dihadiri oleh YB-YB untuk berbahas, malah ramai pelancong-pelancong asing, mahupun pelancong dari Semenanjung Malaysia yang datang untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kompleks ini.


Wajah sebenar Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak. Gambar mungkin diambil ketika hari cuti kerana keadaan sekeliling kompleks yang sungguh hening.


Walaubagaimanapun, pada 28 Julai 2009, dewan perbahasan DUN negeri Sarawak sekali lagi berpindah tempat ke bangunan baru yang dibina berhampiran tebing Sungai Sarawak di Petra Jaya, Kuching. Bangunan sembilan tingkat ini dibina dengan kos RM300 juta. Seperti kompleks DUN yang lama, ciri binaanya juga cukup unik dan pastinya akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengambil gambarnya.


Bangunan baru yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru. Tidak berapa pasti pula samada setem kenang-kenangan yang baru ada dikeluarkan oleh Pos Malaysia bersempena dengan perasmian Bangunan DUN yang baru ini. Betul-betul baru Bangunan yang baru ini...

Sebagai penutup entry kali ini, saya perdengarkan lagu "Mari Mengundi" ciptaan Dato' Zainal Alam yang dicipta pada tahun 1950-an. Lagu ini ditujukan khas untuk semua rakyat negeri Sarawak yang bakal membuang undi tidak berapa lama lagi.




14 Mac 2011

Dari Lidah Pengarang: Post 6: Ada batasannya...

Bukannya putus harap, bukannya putus asa, bukannya putus usaha dan bukannya menyerah kepada takdir semata-mata, tetapi ikhtiar kita sebagai manusia ada batasnya...
Bilakah kali terakhir kita berhenti sejenak untuk melihat tenggelamnya matahari di ufuk barat?

12 Mac 2011

Deodoran Mawar: Deodoran Tanpa Alkohol Pertama di Malaysia

Memakai deodoran sudah menjadi kemestian bagi semua selepas selesai mandi. Tanpa kita sedari atau terperasan, menyapu deodoran ke ketiak adalah antara perkara pertama yang dilakukan ketika berdandan di depan cermin. 

Mengapa kita perlu memakai deodoran? Fungsi deodoran adalah untuk mengurangkan aroma bau semulajadi badan yang terhasil dari proses metabolisme semulajadi badan. Badan manusia sentiasa menghasilkan metabolite seperti peluh yang dikeluarkan pada bahagian anggota-anggota badan tertentu seperti ketiak.

Kadangkala deodoran juga dikenali sebagai "Ubat Ketiak". Sebagai rakyat Malaysia, kita memanglah sangat-sangat digalakkan untuk memakai deodoran disebabkan tinggal dalam negara yang mempunyai iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

Bila panas, kita akan berpeluh. Dan bila berpeluh, badan pun akan menjadi lembap kerana dilembapi dengan peluh.

Semasa produk deodoran mula diperkenalkan ke pasaran tempatan, beberapa jenama terkenal deodoran seperti Rexona dan Odorono telahpun memonopoli pasaran deodoran antarabangsa. Produk Rexona dan Odorono diterima dengan baik sekali oleh penduduk Malaysia. Hinggakan sehingga kini, masih ramai yang merujuk deodoran sebagai Odorono. Padahal sudah ada banyak jenama produk deodoran dalam pasaran tempatan. Kalau tak percaya, cuba tanya pada ibu-bapa anda dan orang-orang veteran. Pasti anda pernah terdengar dialog seperti di bawah ini:

"Nak pergi beli Odorono lah. Kat rumah Odorono dah nak habis..."


Walaubagaimanapun, bermula pada tahun 1987, terdapat beberapa isu tentang produk-produk deodoran yang terdapat dalam pasaran. Antara isu yang popular ketika itu ialah tentang penggunaan bahan alkohol dalam produk deodoran. 

Oleh yang demikian, sebuah syarikat tempatan telah menghasilkan satu produk deodoran yang bebas dari kandungan alkohol. Produk ini diberikan jenama "Mawar". Mungkin nama Mawar dipilih kerana ciri-diri keharuman bunga mawar yang menjadi pujaan gadis sepanjang zaman.


Inilah dia produk deodoran bebas alkohol berjenama Mawar. Didatangkan dalam tiga keharuman mempersona, deodoran Mawar ini tidak mudah kering seperti produk-produk deodoran yang lain.


Mungkin juga jenama Mawar diilhamkan dari sifat semulajadi wanita yang begitu sukakan bunga mawar, tak kira dalam bentuk jambangan mahupun suntingan. Produk ini mendapat sambutan yang baik, khususnya dari kaum wanita. Mungkin kaum wanita membayangkan apabila mereka memakai produk ini, akan muncul ramai lelaki yang berpusu-pusu berkejar untuk menghadiahkan jambangan bunga mawar kepada mereka. 



Bukankah betul kata saya? Wanita memang menyukai bunga mawar. Tertera di atas ialah iklan produk deodoran Mawar pada tahun 1989. Kalau tak silap saya, model dalam iklan di atas ialah pelakon Puteri Salbiah.


Walaubagaimanpun, menjelang penghujung era 1990-an, produk deodoran Mawar ini mula menghilang dari pasaran tempatan. Sebabnya saya kurang pasti pula. Mungkin sebab kaum wanita sudah mula menaruh minat pada jenis-jenis bunga yang lain kot (selain dari mawar) seperti Lavender.

Kepada mereka di luar sana yang mempunyai masalah bau badan, jangan berasa risau dan rendah diri. Terdapat banyak produk deodoran di pasaran yang dapat membantu anda mengatasi masalah sebegini. Ada juga rawatan-rawatan moden mahupun petua tradisional yang dapat diamalkan bagi menghilangkan masalah bau badan. Janganlan segan-segan untuk bertanya.

Jika mahukan inspirasi atau dorongan, bagi anda yang mempunyai masalah seperti di atas bolehlah menonton dua buah drama Melayu berjudul "Nizam Kambing" dan "Dollah Hapak" yang telah ditayangkan di skrin TV. Kedua-dua drama TV ini mengisahkan kesungguhan dua orang lelaki yang mahu memperbaiki imej personaliti mereka dengan mengatasi masalah bau badan.



Cerita "Nizam Kambing" lakonan Pierre Andre sebagai Nizam mengisahkan seorang pemuda yang mempunyai masalah bau badan dan imej yang tidak terurus. Drama ini pernah ditayangkan dalam slot Cerekarama TV3. Heroin dalam drama ini ialah Hani Yasmin. Hani Yasmin yang bertanggungjawab mengubah imej Nizam Kambing kepada Nizam Macho. Nizam Kambing dan Hani Yasmin jatuh cinta dalam drama ini. 

Drama "Dollah Hapak" lakonan Fizo Omar mengisahkan tentang Dollah yang tidak pandai menjaga kebersihan diri dan turut mempunyai masalah bau badan melampau. Dollah diketemukan dengan Aida, seorang anak orang kaya lakonan Hani Yasmin juga! Sebagai happy ending, Dollah juga berjaya mengubah imejnya yang comot kepada handsome. Kenapa ye, kalau drama-drama berkisarkan tentang transformasi lelaki dari imej comot kepada imej segak, mesti produser ambil saudari Hani Yasmin berlakon sebagai heroin... 


Antara dialog dalam drama Dollah Hapak yang tidak dapat saya lupakan adalah semasa adegan perbualan antara Fizo Omar (Dollah) dengan TS Jefri di dalam sebuah bas:

Jefri: "Cubalah kau pakai ubat ketiak ni..."

Dollah: "Buat apa pulak aku nak pakai ubat ketiak? Ketiak aku bukannya sakit pun!" 



09 Mac 2011

Dari Lidah Pengarang: Post 5 : Anda, Kucing dan Lidi

Sewaktu di tempat kerja, janganlah anda menjadi seperti seekor kucing yang sentiasa disuakan dengan hujung lidi...
 
Jika anda diperlakukan sedemikian rupa, nescaya anda tidak akan bergerak ke mana-mana. Hanya akan berada di takuk yang sama selama-lamanya.
 
 
Bukan sahaja rakan-rakan sepejabat dan bos-bos yang gelakkan anda, malah kucing-kucing di kantin pejabat anda pun turut sama tergelak melihat nasib anda pabila diperlakukan sebegitu rupa.
 
 

08 Mac 2011

Setem sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun 1975

Pada hari ini, 8 Mac 2011 genaplah 100 tahun ulangtahun sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Hari istimewa ini sebenarnya pertama kali disambut pada 19 Mac 1911 di negara Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland. Idea mengadakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini dicetuskan pada tahun 1910 dalam satu mesyuarat Petubuhan Sosial Antarabangsa. Hasilnya, sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini telah disambut dengan meriah setahun kemudiannya oleh kira-kira 1 juta wanita, bersama-sama dengan kaum lelaki. 

Ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang ke-64 dalam tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju untuk menetapkan tarikh 8 Mac pada setiap tahun sebagai tarikh rasmi sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun ketika itu cukup mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara. Isu-isu berkaitan dengan kebajikan kaum wanita semakin mendapat tempat di hati para pemimpin negara untuk diperjuangkan. Penyertaan wanita secara aktif dalam sektor pekerjaan ketika itu amatlah digalakkan.

Sebagai tanda menghargai wanita, Pos Malaysia ketika itu telah mengeluarkan satu setem kenang-kenangan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 1975. 




Setem ini diperolehi dari koleksi peribadi ibu saya. Dijual di pejabat-pejabat pos seluruh negara ketika itu, setem berharga 15 sen ini merupakan salah satu setem yang paling menarik pernah dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Mungkin kerana warnanya yang pink menyebabkan setem ini kelihatan begitu feminin sekali, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita tanpa mengira peringkat usia. Sememangnya hidup kita tidak lepas dari dikelilingi oleh wanita-wanita yang berjasa kepada kita, bermula sejak kita lahir ke dunia hinggalah kita meninggalkan dunia.

"Wanita, engkaulah racun, engkaulah penawar...."

Untuk semua wanita di Malaysia, saya tujukan khas lagu berjudul "Perempuan" dendangan Ito dari kumpulan Blues Gang untuk tatapan dan renungan anda semua...




Ramai yang bertanyakan kepada saya, "Kenapa tidak diadakan Hari Lelaki?"

Saya jawab, "Hari Lelaki tidak pernah ada kerana lelaki selalu berkorban untuk wanita".

Mereka bertanya lagi, "Berkorban macam mana dan sebanyak mana pengorbanan lelaki terhadap wanita?"

Saya jawab lagi, "Lelaki telah berkorban sejak zaman awal kewujudan manusia lagi di mana Adam telah mengorbankan sebatang tulang rusuknya untuk diberikan kepada Hawa...".



06 Mac 2011

Trak lama Tentera Darat Malaysia: Volvo C303

Sambutan hangat terhadap post sebelum ini; Pakaian tempur celoreng lama Tentera Darat, mengilhamkan saya untuk menulis satu lagi entry berkaitan dengan perkasasan lama yang pernah digunakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada suatu masa dahulu.

Kali ini saya akan berkongsi tentang kenderaan trak yang pernah digunakan oleh TDM. Koleksi trak-trak yang dibincangkan nanti adalah trak-trak tentera yang pernah saya lihat dan naiki ketika ayah saya ; Tn Syed Abu Bakar bertugas sebagai tentera darat di Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).

Antara trak askar yang selalu saya naiki adalah trak Volvo C303 buatan Sweden. Trak Volvo ini mula digunakan oleh TDM sejak 1970-an hingga penghujung 1990-an. TDM telah membeli dua variasi trak Volvo C303 ini iaitu jenis 4 x 4 (pacuan empat roda) dan 6 x 6 (pacuan enam roda). Trak Volvo ini digerakkan sepenuhnya dengan menggunakan kuasa petrol.


Inilah dia trak Volvo C303 pacuan empat roda (4 x 4) yang digunakan oleh 10 RAMD. Yang berada di atas bumbung trak sambil menjulang rifal M-16 itu ialah ayah saya. Dilengkapi dengan empat buah tayar, trak Volvo 4 x 4 jenis ini biasanya digunakan untuk membawa senjata sokongan artileri seperti mortar atau meriam.


Gambar ayah saya bersama dengan trak Volvo C303 pacuan enam roda (6 x 6). Dari segi rekabentuk bahagian hadapan (kepala) trak, model 6 x 6 ini tidak berbeza dengan model 4 x 4. Apa yang membezakannya adalah saiz muatan belakangnya yang lebih besar dan tinggi di samping dilengkapi dengan enam buah tayar. Trak jenis ini biasanya digunakan untuk mengangkut barang-barang operasi atau anggota-anggota tentera.


Ruang muatan belakang tak Volvo 6 x 6 ini sememangnya luas. Bahagian bumbungnya boleh dibuka dan ditutup bergantung kepada keadaan. Biasanya ketika mengangkut anggota tentera untuk pergi ke tempat operasi di dalam hutan, bahagian bumbung trak akan dibuka bagi membolehkan anggota tentera untuk terjun keluar dari trak dengan lebih pantas, sekiranya berlakunya sebarang serang-hendap oleh pengganas komunis.


Pada sudut kiri gambar anda akan dapat lihat bagaimana rupanya bahagian muatan belakang trak Volvo 6 x 6 ini. Pada bahagian tengah gambar adalah kereta Proton Saga yang merupakan kenderaan rasmi Pegawai Memerintah 10 RAMD berpangkat Lt. Kolonel ketika itu.


Bahagian dalaman atau interior trak Volvo C303 ini amatlah ringkas dan sungguh basic. Panel pemukanya (dashboard) hanya mempamerkan beberapa instrumen asas, tidak seperti yang terdapat pada trak-trak tentera pada masa kini. Bahagian permukaan dalam pintunya hanya dibuat dari kepingan kayu biasa dengan corak berlubang-lubang. Yang kurang best tentang trak Volvo ini adalah ia langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Radio pun tiada. 


Bahagian interior Volvo C303. Ramai anggota tentera ketika itu melahirkan kekecewaan kerana trak ini langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa mahupun radio. Untuk mengatasi masalah tersebut, biasanya anggota tentera akan memasang sendiri kipas kecil dan membawa radio mini berkuasa bateri ke dalam trak. Sumber gambar: http://www.real4x4.com/Volvo303.shtml



Mengikut apa yang diceritakan oleh ayah saya, kesemua trak-trak tentera ketika itu diselenggara sendiri oleh tentera yang bertugas di bahagian MT (military transport). Setiap seorang anggota tentera di bahagian MT akan ditugaskan untuk memandu, menyelenggara, memperbaiki dan mencuci hanya sebuah trak yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Saya tidak berapa pasti samada trak-trak tentera pada masa kini masih diselenggara oleh anggota tentera itu sendiri atau dihantar ke pusat-pusat servis kenderaan di luar sana. Kadang-kadang saya selalu nampak ada trak tentera yang diletakkan di workshop-workshop di luar kawasan kem tentera untuk diservis atau diperbaiki.



 Apabila trak Volvo ini hendak dipamerkan untuk pertunjukkan atau pemeriksaan oleh Pegawai Kanan Tentera Darat, ia akan dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Permukaan bahagian badan trak akan disapu dengan lapisan minyak bagi menghasilkan kesan kilat pada trak, seolah-olah kelihatan baru dibeli.


Selain dari kegunaan untuk mengangkut barang-barang dan anggota tentera ke tempat operasi, trak Volvo ini turut digunakan bagi mengangkut para-para isteri dan anak-anak anggota tentera. Kebiasaanya pihak pengurusan kem tentera akan menyediakan pengangkutan percuma kepada mana-mana ahli keluarga anggota tentera yang hendak pergi keluar ke bandar-bandar berhampiran untuk membeli barang keperluan (shopping) atau untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital-hospital kerajaan.

Ketika bersekolah, salah satu perkara yang menjadi kebanggaan saya sebagai seorang anak tentera adalah setiap hari saya akan sampai ke sekolah dengan menaiki trak tentera Volvo 6 x 6 inilah. Glamour tu! Kesemua murid-murid sekolah akan memandang saya dan rakan-rakan saya (yang juga sama-sama anak tentera) dengan rasa penuh kagum. Agaknya mereka pun teringin nak naik trak tentera ni. 

Untuk memuatkan murid-murid sekolah ini ke dalam trak dengan selesa, sebuah kerusi kayu yang panjang akan diletakkan di bahagian tengah muatan belakang trak. Ini bagi memastikan adanya ruang tempat duduk yang mencukupi. Seramai dua orang abang tentera akan ditugaskan bagi setiap buah trak yang digunakan untuk menghantar anak-anak tentera ke sekolah. Seorang pemandu trak, manakala seorang lagi akan duduk di belakang trak bersama-sama dengan anak-anak untuk menjaga keselamatan mereka. 

Disebabkan setiap hari persekolahan saya dah naik trak Volvo ni, hampir segenap bahagian trak Volvo ini saya sudah explore. Kadang-kadang saya selalu juga duduk di seat kiri bahagian kepala trak, sebelah pemandu. Memang seronok duduk di hadapan sambil berborak dengan abang askar yang memandu trak tersebut. Peluang ini saya gunakan sebaik-baiknya untuk melihat dan mempelajari serba-sedikit tentang fungsi panel bahagian depan dan dashboard trak.



 Saya (berdiri) dan rakan-rakan seangkatan ketika bersiap-sedia untuk ke sekolah dengan trak Volvo 6 x 6. Sebatang tangga kayu disediakan untuk membolehkan anak-anak memanjat naik dan turun dari trak dengan mudah. Seperkara yang tidak dapat saya lupakan adalah sekiranya hujan turun pada waktu malam, kami akan membawa kertas suratkhabar pada keesokkan paginya. Kertas suratkhabar tersebut akan digunakan bagi melapik tempat duduk dalam trak yang basah akibat hujan malan tadi. Keadaan dalam trak juga akan basah dan selalunya digenangi air. Hujan tempiaslah tu. Gambar diambil pada tahun 1989 di Blok Selangor, Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu.



Namun begitu, sehingga kini masih ada satu misteri yang belum terungkai tentang trak tentera ini, dan saya masih tercari-cari jawapan kepada persoalan ini sehingga kini. Kenapa trak tentera yang digunakan untuk membawa anak-anak tentera ini ke sekolah dinamakan sebagai "FERI SEKOLAH"? Siap tampal besar lagi label FERI SEKOLAH tu pada bahagian depan trak...


 Sehingga ke hari ini pun, gelaran "FERI SEKOLAH" masih diberikan kepada trak yang membawa anak-anak tentera ke sekolah. Rasanya Feri Sekolah pada masa sekarang mungkin lebih selesa berbanding Feri Sekolah pada zaman saya bersekolah dulu.

01 Mac 2011

Pakaian tempur celoreng Tentera Darat Malaysia yang lama

Hari ini genap 78 tahun penubuhan Tentera Darat Malaysia (TDM) di mana ulangtahunnya disambut pada 1 Mac setiap tahun. TDM ditubuhkan pada 1 Mac 1933. Dalam post kali ini, saya tidak mahu menghuraikan tentang sejarah TDM kerana pembaca boleh mendapatkan maklumatnya dengan mudah di internet.

Apa yang ingin saya kongsikan bersama kali ini adalah tentang pakaian tempur Tentera Darat (corak celoreng lama) yang sudah tidak lagi digunakan pada masa kini. Mungkin ada generasi sekarang yang tidak pernah melihat pakaian tempur celoreng tentera kita pada masa dahulu.

Hampir kesemua gambar yang saya kongsikan di sini adalah koleksi peribadi ayah saya; Tn Syed Abu Bakar b. Syed Mohamad, semasa beliau bertugas sebagai Tentera Darat suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, beliau dapat bersara dari dunia tentera dengan jayanya tanpa mengalami sebarang kemalangan atau kecederaan semasa bertugas. Ayah saya mula bertugas pada tahun 1973 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1992. Pada masa tersebut, aktiviti memerangi pengganas Komunis sedang giat dijalankan sehinggalah pada tahun 1990 apabila Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata secara rasmi.


Ayah saya (posisi bertinggung) bersama rakan platun semasa mula menyertai perkhidmatan Tentera Darat pada tahun 1973. Pada waktu ini Tentera Darat belum lagi menggunakan pakaian tempur yang mempunyai corak celoreng. Pakaian tempur di atas sebenarnya berwarna hijau muda. Lokasi gambar adalah rahsia.


Gambar ini diambil pada tahun 1979 di Kem Semanggo, Kuching, Sarawak. Ketika ini ayah saya bertugas di Rejimen ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD). Inilah dia sebenarnya pakaian tempur celoreng yang pertama digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.


Ayah saya ketika perbarisan 10 RAMD di Kem Semanggo, Kuching.


Gambar diambil di Cameron Highlands sewaktu operasi bersama Kor Armor Diraja. Kereta perisai V-150 TD dalam gambar ini sudahpun ditamatkan perkhidmatannya dalam Tentera Darat.


Ayah saya bergambar berlatarbelakangkan helikopter Aloutte yang masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga kini. Rasanya kena tukar lah tu dengan helikopter yang baru...


Gambar diambil di sebuah kem di utara Semenanjung ketika ayah saya mengikuti satu operasi. Kereta perisai APC SIBMAS dalam gambar di atas masih aktif lagi digunakan oleh Kor Armor Diraja. Senang saja kalau anda nak tahu samada seseorang tentera itu sedang menjalankan operasi atau tidak. Lihat saja pada pakaian celorengnya. Kalau warna celoreng itu sudah pudar atau lusuh, maknanya tengah operasi lah tu. Ayah saya kata kain celoreng ini macam kain denim (jeans). Lebih lusuh ia, lebih selesa dipakai. Material kainnya juga lebih tahan lasak dari kain celoreng jenis baru. 


Ayah saya dan rakan-rakan platun 10 RAMD ("skot" dalam bahasa askar) sedang berehat sebentar sambil berposing di hadapan kamera ketika menjalankan satu operasi di lokasi yang dirahsiakan. Ketika ini 10 RAMD berpusat di Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu.


Sekarang pakaian celoreng telah digantikan dengan corak yang baru. Menurut apa yang diceritakan oleh ayah saya, pakaian celoreng lama lebih bagus berbanding dengan celoreng yang baru. Ini kerana jika seseorang tentera berada dalam keadaan "menyamar" di dalam hutan, beliau lebih sukar untuk dikesan jika memakai pakaian celoreng jenis yang lama. Celoreng jenis lama lebih sesuai digunakan oleh anggota tentera yang bertugas di unit-unit khas seperti Sniper dan Marksman. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tanya ayah saya...


Pakaian tempur celoreng Tentera Darat yang baru. Pada pendapat anda, celoreng mana yang lebih cantik? Lama atau baru?


Sniper Tentera Darat Malaysia. Cuba anda lihat betul-betul pada corak celoreng yang digunakan pada pakaian dan pada senjata Sniper di atas. Celoreng baru digunakan untuk pakaian manakala celoreng lama digunakan sebagai pembalut samaran pada senjata. Corak celoreng mana yang lebih realistik? 


Tidak kisahlah sama celoreng baru atau lama, yang penting ialah semangat kesetiaan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap anggota Tentera Darat. Pakaian celoreng sebenarnya adalah pakaian eksklusif untuk anggota tentera sahaja. Saya sama sekali tidak bersetuju jika pakaian celoreng ini dipakai oleh individu-individu yang bukan dari golongan tentera.

Ayah saya pernah melahirkan rasa tidak senang pabila melihat terdapat ramai orang awam (civilian) di luar sana yang bukannya tentera, tetapi mengenakan pakaian celoreng dengan bersahaja dan sesuka hati. Cuba anda lihat di kompleks-kompleks membeli belah, berapa ramai remaja yang suka-suka hati berpakaian celoreng. Tak kiralah pakai baju celoreng ke, seluar celoreng ke, topi celoreng ke...

Tahukah anda, apakah yang diperlu dilalui oleh seorang tentera untuk melayakkan mereka memakai pakaian celoreng tersebut? Cuba anda fikirkan segala perit-jerih latihan ketenteraan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal mereka. Anda mungkin faham, tetapi anda tidak dapat merasainya. Memahami dan merasai adalah dua perkara yang cukup berbeza.

Budak-budak remaja sekarang sedap saja melepak, mengurat aweks, membuat bising sambil bermain handphone di shopping complex dengan memakai baju celoreng ala-ala tentera. Mereka sedikit pun tidak tahu tentang keperitan dan erti pengorbanan seorang anggota tentera dalam mempertahankan negara. Tahu-tahu sekarang dah hidup senang-lenang. Adik-adik, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tak sama langsung dengan Program Rekrut Tentera...

Lebih menyedihkan lagi ada golongan tertentu pada zaman kini yang cuba mengangkat martabat pengganas Komunis sebagai pembela negara pula. Katakanlah apa sahaja, pendapat golongan ini memang tidak dapat saya terima langsung.

Bagi mengakhiri post kali ini saya kepilkan klip-klip video Filem "Darah Satria" dan "Prebet Lapok" yang cukup membangkitkan inspirasi anak-anak muda suatu ketika dulu untuk menyertai perkhidmatan tentera atau dengan panggilan sinonimnya dikenali sebagai "Masuk askar". Kalau anda mahu lihat aksi tentera semasa menggunakan pakaian celoreng lama, bolehlah menonton kedua-dua filem ini.


Filem Darah Satria dibintangi oleh Aman Shah, A Galak, AR Badul sebagai teraju utama. Filem tahun 1983 ini diarahkan oleh Datuk Aziz Satar. Jika anda menghayati lirik lagu ini dengan penuh khusyuk, boleh terasa semacam satu perasaan yang sukar digambarkan.



video
Klip dari filem Prebet Lapok arahan Datuk Aziz Satar. Klip di atas mempertontonkan gelagat dan aksi AR Badul ketika mula-mula memasuki kursus asas rekrut Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat Port Dickson.



video
Klip video lagu "Hoi Kawan-kawan" dalam filem Prebet Lapok. Lagu dinyanyikan di atas trak tentera ketika perjalanan ke tempat operasi.


Kenapa sudah tiada produser filem tempatan yang berminat nak buat filem tentera Malaysia ye? Kan banyak sumber cerita dan skrip yang boleh diolah berdasarkan kisah benar perjuangan anggota tentera ketika menentang pengganas komunis dulu?

Selamat menyambung ulangtahun ke-78 Tentera Darat Malaysia kepada semua perajurit dan bekas perajurit tanahair. Pengorbanan Tuan-tuan yang tiada tolok-bandingnya kepada negara amatlah kami sanjungi. Keamanan dan kemakmuran negara kini terbina dari hasil titisan keringat, darah serta air mata anda (dan juga keluarga anda). Al-Fatihah untuk semua pahlawan negara yang telah gugur mempertahankan bumi Malaysia ini.

"Untuk semua penulis blog, ingatlah bahawa kemajuan sistem internet negara yang membolehkan kita menulis blog pada hari ini adalah terbina hasil pengorbanan para perajurit dalam mempertahankan negara." 

p/s: Entry selanjutnya saya akan bercerita tentang trak-trak askar yang pernah digunakan oleh Tentera Darat semasa memerangi pengganas Komunis. Sila klik di sini: "Trak Askar Lama"