07 Februari 2011

Pati Ayam Bistari

Pati Ayam Bistari mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 1989. Sewaktu ia mula-mula dipromosikan, Pati Ayam Bistari mendapat sambutan yang cukup hangat terutamanya dari pengguna-pengguna beragama Islam. Produk ini merupakan produk berasaskan pati ayam (essence of chicken) halal yang pertama seumpamanya dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Iklan Pati Ayam Bistari ketika ia mula dipasarkan. Iklan yang mempamerkan unsur-unsur Kemelayuan. Watak-watak dalam iklan ini lengkap berpakaian baju melayu dan baju kurung. Tertera perkataan Bistari dalam huruf jawi di kotak produk.


Sebelum ini hanya terdapat satu sahaja jenama pati ayam yang dipasarkan di Malaysia iaitu Pati Ayam Brand's (Brand's Essence of Chicken). Pengguna-pengguna beragama Islam ketika itu masih was-was untuk mengambil pati Ayam Brand kerana ketiadaan status halal pada produk tersebut.


Pati Ayam Brand's yang terdapat di pasaran kini telah mendapat status halal dari JAKIM. Sumber gambar: roxyzai.blogspot.com

Terdapat tiga jenis Pati Ayam Bistari yang diperkenalkan ke pasaran Malaysia. Ianya boleh dibezakan dan dikenalpasti melalui warna kotak dan pelekat pada botol pati ayam. Anda boleh membuat pilihan berdasarkan citarasa dan keperluan semasa anda.



Gambar di atas menunjukkan Pati Ayam Bistari yang biasa dan paling mudah didapati. Jenis standard lah ni. Didatangkan dalam pek berwarna hijau, harga Pati Ayam Bistari jenis standard ini lebih rendah sedikit berbanding dengan Pati Ayam Bistari jenis lain (pek berwarna hitam dan merah). Pada kotak produk ini ada tertulis kenyataan yang lebih menjurus kepada "nutrition claim":

"Pati Ayam Bistari menolong mengatasi keletihan badan dan mencerdaskan mental. Cukup berkesan terutamanya untuk para eksekutif yang sentiasa aktif, para pelajar, ahli sukan dan mereka yang sentisa menjalani penghidupan yang sibuk. Pati Ayam Bistari ialah pati cecair pekat ayam yang terkenal dan sudahpun diakui keberkesanannya. Pati Ayam Bistari pasti dapat memulihkan tenaga anda semua!"




Ini jenis yang kedua pula; Pati Ayam Bistari Dengan Herba Asli. Pek produknya berwarna hitam. Dah takde warna lain ke? Pada pendapat saya warna hitam kurang sesuai kerana cecair pati ayam itu sendiri memang semulajadinya warna hitam. Jadi, macam kurang menonjol lah sikit. Kita lihat apa yang tertulis pada kotak produk ini pula.

"Dirumus khas menggunankan herba-herba tradisional, antaranya Adas Pedas dan Pegaga. Pati Ayam yang sudahpun diakui akan keberkesanan khasiatnya serta herba-herba tadi kini digabungkan untuk menguat dan memanaskan badan agar perjalanan darah berjalan lancar. Pati Ayam Bistari dengan Herba Asli ini juga amat sesuai untuk perempuan ketika kedatangan haid atau untuk sebelum atau sesudah bersalin."



Yang ini lagi special. Pati Ayam Bistari dengan Tongkat Ali. Kenapa senyum-senyum ni? Untuk yang paling special, kenalah didatangkan dalam warna yang paling special juga. Warna merah dipilih untuk menghiasi pek dan botol produk. Kalau tidak silap saya, harga Pati Ayam Bistari jenis ini lebih sedikit dari jenis-jenis yang sebelum ini. Saya rasa anda semua sudah dapat agak apa yang akan tertulis pada kotak pembalut...

"Diperkaya dengan Tongkat Ali yang sudah terkenal sejak turun temurun. Kini digabungkan dengan pati ayam yang diakui akan keberkesanan khasiatnya, keduanya ini kini boleh anda dapati dalam Pati Ayam Bistari dengan Tongkat Ali. Ianya boleh menguatkan tenaga sambil mencegah keletihan diri. Ia juga memastikan yang badan anda sentiasa bertenaga dan sihat. Jika kerap diminum ia boleh memperbaiki penghidupan seharian anda dan menambahkan kenikmatan berumahtangga."  


Anda nampaknya masih lagi tersenyum. Kenapa hanya Tongkat Ali? Tiadakah produk Pati Ayam Bistari dengan Kacip Fatimah? Jawapannya memang tiada. Sebabnya saya pun tidak tahu kerana pada masa itu, saya masih kanak-kanak lagi.

Walaupun kanak-kanak, saya sudah mengetahui serba-sedikit tentang khasiat Tongkat Ali. Dapat tahu melalui pembacaan buku dan tontonan TV. Tapi, bila diingatkan kembali, saya pasti tiada siapa pun pernah memperkatakan tentang khasiat Kacip Fatimah. Nama "Kacip Fatimah" itupun saya tak pernah dengar pada masa dulu. 


Untuk anda yang masih belum mengenali Kacip Fatimah, inilah dia pokoknya. Sumber gambar: extrememanworld.blogspot.com


Jadi, saya rasa ketika waktu tersebut, mungkin berlakunya sedikit kekurangan keprihatinan tentang aspek kesihatan kaum wanita. Mungkin kesihatan kaum lelaki lebih diutamakan. Agak berat sebelah di situ. Itulah sebab yang memungkinkan syarikat pengeluar Pati Ayam Bistari tidak menghasilkan produk pati Ayam dengan Kacip Fatimah. Rata-rata kaum wanita ketika itupun tidak merungut. Walaubagaimanapun, kini persepsi sudah berubah. Lambakan produk kesihatan berasaskan Kacip Fatimah terdapat di merata-rata pusat jualan. Kadang-kadang bila dilihatkan iklan produk sebegini di majalah dan media massa, nak tergelak pun ada. Setiap perkataan atau madah yang diucapkan dalam iklan seolah-olah mempunyai "double meaning".


Setiap kali anda membelek helaian suratkhabar tempatan, pasti ada banyak iklan-iklan produk herba penjagaan kesihatan wanita yang mempamerkan slogan mahupun testimoni produk yang melucukan bila dibaca. Paling sensasi sekali ialah testimoni "SEBELUM " dan "SELEPAS" penggunaan produk...Gambar hiasan semata-mata. Sumber: picasaweb.google.com


Akan tetapi, belumpun sempat Syarikat Pati Ayam Bistari berkira-kira mahu menghasilkan pati ayam dengan campuran Kacip Fatimah, produk Pati Ayam Bistari ini telahpun dihentikan penjualannya. Tidak pasti kenapa. Tiba-tiba ia hilang terus dari pasaran bermula seawal tahun 1998. Pesaing utamanya, Pati Ayam Brand's masih kekal bertahan hingga ke saat ini.

Pengalaman peribadi minum Pati Ayam Bistari? Ada, saya pernah cuba. Jiran ibu saya pernah sekali memberi satu botol Pati Ayam Bistari (yang kotak warna hijau) kepada saya. Disebabkan saya tak putus-putus bertanya kepadanya bagaimana rasanya pati ayam tersebut, dia bagi percuma saja. Ibu saya berkali-kali tanya kepada saya,

"Betul ke anak nak try Bistari ni?

"Betul Ummi. Teringin sangat sebab tengok dalam TV macam sedap. Tolong buka botol tu Ummi..."

"Dah, minum slow-slow. Try sikit dulu, jangan teguk terus."

Saya berlari terus ke bilik air selepas itu. Tapi tak sempat. Kesian ibu saya, kena mop lantai untuk membersihkan kesan muntah saya....


Masa kecik-kecik dulu di kampung, setiap kali lantai kotor memang ibulah yang menge"mop"nya. Kalau saya yang menge"mop", alamat jadi macam gambar di ataslah. Tapi sekarang, kalau lantai rumah sendiri kotor, "mop" lah sendiri... Sumber gambar: along-samsulaili.fotopages.com