06 Mac 2011

Trak lama Tentera Darat Malaysia: Volvo C303

Sambutan hangat terhadap post sebelum ini; Pakaian tempur celoreng lama Tentera Darat, mengilhamkan saya untuk menulis satu lagi entry berkaitan dengan perkasasan lama yang pernah digunakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada suatu masa dahulu.

Kali ini saya akan berkongsi tentang kenderaan trak yang pernah digunakan oleh TDM. Koleksi trak-trak yang dibincangkan nanti adalah trak-trak tentera yang pernah saya lihat dan naiki ketika ayah saya ; Tn Syed Abu Bakar bertugas sebagai tentera darat di Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).

Antara trak askar yang selalu saya naiki adalah trak Volvo C303 buatan Sweden. Trak Volvo ini mula digunakan oleh TDM sejak 1970-an hingga penghujung 1990-an. TDM telah membeli dua variasi trak Volvo C303 ini iaitu jenis 4 x 4 (pacuan empat roda) dan 6 x 6 (pacuan enam roda). Trak Volvo ini digerakkan sepenuhnya dengan menggunakan kuasa petrol.


Inilah dia trak Volvo C303 pacuan empat roda (4 x 4) yang digunakan oleh 10 RAMD. Yang berada di atas bumbung trak sambil menjulang rifal M-16 itu ialah ayah saya. Dilengkapi dengan empat buah tayar, trak Volvo 4 x 4 jenis ini biasanya digunakan untuk membawa senjata sokongan artileri seperti mortar atau meriam.


Gambar ayah saya bersama dengan trak Volvo C303 pacuan enam roda (6 x 6). Dari segi rekabentuk bahagian hadapan (kepala) trak, model 6 x 6 ini tidak berbeza dengan model 4 x 4. Apa yang membezakannya adalah saiz muatan belakangnya yang lebih besar dan tinggi di samping dilengkapi dengan enam buah tayar. Trak jenis ini biasanya digunakan untuk mengangkut barang-barang operasi atau anggota-anggota tentera.


Ruang muatan belakang tak Volvo 6 x 6 ini sememangnya luas. Bahagian bumbungnya boleh dibuka dan ditutup bergantung kepada keadaan. Biasanya ketika mengangkut anggota tentera untuk pergi ke tempat operasi di dalam hutan, bahagian bumbung trak akan dibuka bagi membolehkan anggota tentera untuk terjun keluar dari trak dengan lebih pantas, sekiranya berlakunya sebarang serang-hendap oleh pengganas komunis.


Pada sudut kiri gambar anda akan dapat lihat bagaimana rupanya bahagian muatan belakang trak Volvo 6 x 6 ini. Pada bahagian tengah gambar adalah kereta Proton Saga yang merupakan kenderaan rasmi Pegawai Memerintah 10 RAMD berpangkat Lt. Kolonel ketika itu.


Bahagian dalaman atau interior trak Volvo C303 ini amatlah ringkas dan sungguh basic. Panel pemukanya (dashboard) hanya mempamerkan beberapa instrumen asas, tidak seperti yang terdapat pada trak-trak tentera pada masa kini. Bahagian permukaan dalam pintunya hanya dibuat dari kepingan kayu biasa dengan corak berlubang-lubang. Yang kurang best tentang trak Volvo ini adalah ia langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Radio pun tiada. 


Bahagian interior Volvo C303. Ramai anggota tentera ketika itu melahirkan kekecewaan kerana trak ini langsung tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa mahupun radio. Untuk mengatasi masalah tersebut, biasanya anggota tentera akan memasang sendiri kipas kecil dan membawa radio mini berkuasa bateri ke dalam trak. Sumber gambar: http://www.real4x4.com/Volvo303.shtml



Mengikut apa yang diceritakan oleh ayah saya, kesemua trak-trak tentera ketika itu diselenggara sendiri oleh tentera yang bertugas di bahagian MT (military transport). Setiap seorang anggota tentera di bahagian MT akan ditugaskan untuk memandu, menyelenggara, memperbaiki dan mencuci hanya sebuah trak yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Saya tidak berapa pasti samada trak-trak tentera pada masa kini masih diselenggara oleh anggota tentera itu sendiri atau dihantar ke pusat-pusat servis kenderaan di luar sana. Kadang-kadang saya selalu nampak ada trak tentera yang diletakkan di workshop-workshop di luar kawasan kem tentera untuk diservis atau diperbaiki.



 Apabila trak Volvo ini hendak dipamerkan untuk pertunjukkan atau pemeriksaan oleh Pegawai Kanan Tentera Darat, ia akan dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Permukaan bahagian badan trak akan disapu dengan lapisan minyak bagi menghasilkan kesan kilat pada trak, seolah-olah kelihatan baru dibeli.


Selain dari kegunaan untuk mengangkut barang-barang dan anggota tentera ke tempat operasi, trak Volvo ini turut digunakan bagi mengangkut para-para isteri dan anak-anak anggota tentera. Kebiasaanya pihak pengurusan kem tentera akan menyediakan pengangkutan percuma kepada mana-mana ahli keluarga anggota tentera yang hendak pergi keluar ke bandar-bandar berhampiran untuk membeli barang keperluan (shopping) atau untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital-hospital kerajaan.

Ketika bersekolah, salah satu perkara yang menjadi kebanggaan saya sebagai seorang anak tentera adalah setiap hari saya akan sampai ke sekolah dengan menaiki trak tentera Volvo 6 x 6 inilah. Glamour tu! Kesemua murid-murid sekolah akan memandang saya dan rakan-rakan saya (yang juga sama-sama anak tentera) dengan rasa penuh kagum. Agaknya mereka pun teringin nak naik trak tentera ni. 

Untuk memuatkan murid-murid sekolah ini ke dalam trak dengan selesa, sebuah kerusi kayu yang panjang akan diletakkan di bahagian tengah muatan belakang trak. Ini bagi memastikan adanya ruang tempat duduk yang mencukupi. Seramai dua orang abang tentera akan ditugaskan bagi setiap buah trak yang digunakan untuk menghantar anak-anak tentera ke sekolah. Seorang pemandu trak, manakala seorang lagi akan duduk di belakang trak bersama-sama dengan anak-anak untuk menjaga keselamatan mereka. 

Disebabkan setiap hari persekolahan saya dah naik trak Volvo ni, hampir segenap bahagian trak Volvo ini saya sudah explore. Kadang-kadang saya selalu juga duduk di seat kiri bahagian kepala trak, sebelah pemandu. Memang seronok duduk di hadapan sambil berborak dengan abang askar yang memandu trak tersebut. Peluang ini saya gunakan sebaik-baiknya untuk melihat dan mempelajari serba-sedikit tentang fungsi panel bahagian depan dan dashboard trak.



 Saya (berdiri) dan rakan-rakan seangkatan ketika bersiap-sedia untuk ke sekolah dengan trak Volvo 6 x 6. Sebatang tangga kayu disediakan untuk membolehkan anak-anak memanjat naik dan turun dari trak dengan mudah. Seperkara yang tidak dapat saya lupakan adalah sekiranya hujan turun pada waktu malam, kami akan membawa kertas suratkhabar pada keesokkan paginya. Kertas suratkhabar tersebut akan digunakan bagi melapik tempat duduk dalam trak yang basah akibat hujan malan tadi. Keadaan dalam trak juga akan basah dan selalunya digenangi air. Hujan tempiaslah tu. Gambar diambil pada tahun 1989 di Blok Selangor, Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu.



Namun begitu, sehingga kini masih ada satu misteri yang belum terungkai tentang trak tentera ini, dan saya masih tercari-cari jawapan kepada persoalan ini sehingga kini. Kenapa trak tentera yang digunakan untuk membawa anak-anak tentera ini ke sekolah dinamakan sebagai "FERI SEKOLAH"? Siap tampal besar lagi label FERI SEKOLAH tu pada bahagian depan trak...


 Sehingga ke hari ini pun, gelaran "FERI SEKOLAH" masih diberikan kepada trak yang membawa anak-anak tentera ke sekolah. Rasanya Feri Sekolah pada masa sekarang mungkin lebih selesa berbanding Feri Sekolah pada zaman saya bersekolah dulu.