13 Disember 2010

Jam tangan dengan "game watch"

Sewaktu saya mula-mula melihat jam tangan ini, saya berasa sungguh kagum kerana ia turut dilengkapi dengan permainan elektronik "game watch". Harganya cukup mahal ketika itu (lebih dari RM300). Setiap jam seperti ini didatangi dengan sejenis permainan elektroniknya yang tersendiri. Terpulanglah kepada pembeli untuk memilih berdasarkan citarasa dan kemampuan mereka.

Antara yang popular ialah game kapal terbang, kereta lumba, bola sepak dan lain-lain lagi. Tetapi game yang disediakan agak ringkas berbanding dengan set handheld game watch yang biasa (akan dibincangkan dalam post yang akan datang). Kalau game kapal terbang pun, hanya ada dua butang sahaja; kiri dan kanan. Bateri jam jenis ini pun cepat habis kerana penggunanya asyik dok picit butang untuk main game saja, bukannya nak tengok pukul berapa...


Jam tangan Casio dengan game kapal terbang

Jam tangan Nintendo dengan game Super Mario Bros 
(game jenis lompat sana dan lompat sini)

Jam tangan Nintendo dengan game Donkey Kong 
(pun game jenis lompat sana dan sini)

Yang ini saya rasa jam tangan game watch yang paling canggih dan terbaik dalam kelasnya. Jam tangan Casio dengan game kereta lumba.


Masa dulu, pabila terpandang jam-jam seperti ini di dalam meja pameran kaca, hanya boleh berangan sajalah untuk memilikinya. Melihatkan harganya, memang saya tak berani langsung nak buka mulut kat ayah saya. Ada juga kawan-kawan saya yang memilikinya. Bilangan mereka ini pun boleh dibilang dengan menggunakan jari pada sebelah tangan sahaja. Jadi, saya boleh membuat kesimpulan pada masa itu, jam tangan seperti ini merupakan jam tangan anak orang-orang berada sahaja. Kalau sesiapa yang pakai jam seperti ini ke sekolah, cara mereka berjalan sambil menghayunkan tangan pun berbeza dari mereka yang hanya pakai jam biasa atau tidak memakai jam tangan langsung. Untuk makluman anda, masa zaman saya kanak-kanak pun masih ramai budak sekolah yang tidak mempunyai jam tangan sendiri lagi...


Senapang/meriam buluh Cina

Kali ini saya akan memperkenalkan anda sebuah senjata yang digunakan oleh kanak-kanak pada zaman dahulu ketika bermain perang-perang, atau dengan sebutan glamournya ialah "Combat". 

Senapang atau meriam kecil buluh Cina 
Sumber gambar: http://yusmanhambali.blogspot.com

Senjata ini dikenali sebagai senapang atau meriam buluh Cina. Kenapa namanya begitu? Senapang ini diperbuat dari sebatang buluh Cina bersaiz sederhana. Pokok buluh Cina mudah didapati di kampung-kampung ketika itu kerana ia tumbuh melata, biasanya di tepi sungai.


Pokok buluh Cina
Senapang buluh cina juga dikenali sebagai "Caplog" di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Nama lain yang agak popular di kalangan kana-kanak ialah "Senapang Letup-letap" atau "Letap-letup" (terpulanglah kepada anda untuk nak sebut yang mana dulu). Proses pembuatan senjata ini agak mudah. Dua batang buluh cina diperlukan untuk membuat bahagian meriam (berlubang di tengah) dan bahagian laras. Sila rujuk kepada gambarajah lakaran di bawah untuk maklumat lanjut.


Lakaran skematik kasar jurutera senjata senapang/meriam buluh cina

Saya biasanya menggunakan buah cenerai sebagai peluru untuk senapang ini. Sebelum keluar berperang, setiap askar perlu memastikan bahawa dia dilengkapi dengan bekalan peluru yang cukup. Lokasi tempat ternanamnya pokok buah cenerai biasanya dijadikan lokasi strategik yang mesti dikuasai atau ditawan semasa berperang, macam gudang peluru lah ni. Untuk askar yang pemalas tapi masih mahu lagi berjuang di medan pertempuran yang tidak mempunyai pokok buah cenerai, mereka boleh menggunakan kertas suratkhabar yag telah dicarik-carik kecil dan direndam dalam air. Tak kira samada anda menggunakan buah cenerai atau kertas suratkhabar, yang penting anda harus meletakkan dua biji peluru pada laras senapang; pada muncung hadapan dan muncung belakang. Kalau tidak, senapang tak meletup dan mungkin mengakibatkan kecederaan pada diri sendiri (senjata makan tuan). 

Buah cenerai yang dijadikan peluru. Boleh makan juga buah ni...
Hasil tembakan mempunyai bunyi yang agak kuat dan menakutkan khususnya kepada kanak-kanak perempuan yang biasanya menjadi mangsa korban yang tidak berdosa dalam peperangan. Bunyi yang kuat akan menyebabkan mereka menjerit ketakutan. Orang-orang tua di sekeliling khususnya makcik-makcik akan menjerit kerana terkejut atau marah kerana menganggu mereka yang sedang rancak berbual tentang gossip-gossip semasa. Ada juga orang tua yang marah kerana bunyi letupan tersebut mengganggu mereka yang sedang lena diulit intan melelapkan mata semasa tidur di waktu petang. Jika tidak sabar, mereka juga akan turut sama turun ke medan pertempuran untuk menyertai peperangan tanpa membawa sebarang senapang/meriam buluh cina, tetapi dengan membawa rotan atau penyapu. Saya tak berapa pasti, mana yang lebih sakit. Samada kena rotan atau penyapu, atau kena tembakan dari senapang buluh cina.   

Kami selalu main perang-perang dengan senapang ini ketika menghadiri kelas agama petang. Satu hari, Ustaz Hassan menjalankan Operasi Insurgensi untuk menangkap kami hidup-hidup. Tapi akhirnya Ustaz Hassan tersungkur tewas selepas terkena tembakan tepat di leher. Ternyata tembakan itu meninggalkan kesan yang berkekalan kepada kesihatan fizikal dan mental Ustaz Hassan. Dari segi fizikalnya, kesan merah di leher Ustaz Hassan hasil tembakan tersebut masih jelas kelihatan walaupun hampir dua minggu selepas kejadian. Dari segi mentalnya pula, ramai pelajar perempuan yang senyum-senyum simpul sambil memperkatakan yang Ustaz Hassan mempunyai kesan "love bite" di leher...

Minta maaf ye Ustaz Hassan...

Kanak-kanak zaman sekarang sudah tidak berpeluang untuk bermain permainan seperti ini. Namun konsep permainan perang-perang ini masih lagi dipraktikkan sekarang dalam permainan aksi seperti "Paintball" dan "NERF". Tetapi, masalahnya kini anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli peralatan dan menyewa kawasan untuk dijadikan medan pertermpuran. Berbeza dengan zaman dahulu, kawasan kampung yang begitu luas membolehkan anda bertempur di mana sahaja dalam apa jua situasi. Tidak perlu keluar duit pun...


Permainan Paintball memerlukan kos yang agak tinggi. Oleh sebab itu, ia hanya dimainkan oleh budak-budak dan bapa budak-budak yang sudah matang dan mempunyai pendapatan sendiri

Permainan NERF boleh dimainkan di taman permainan sekitar kawasan perumahan. Tapi anda masih perlu mengeluarkan wang untuk membeli peralatan permainan ini. Tak semua kanak-kanak boleh memilikinya, bergantung kepada ketebalan dompet ibu bapa mereka.






Minyak rambut VITALIS

Minyak rambut Vitalis mula memasuki pasaran tempatan pada akhir era 1970-an. Tiga jenis variasi Vitalis dijual di Malaysia iaitu Super Control, Protein dan Medicated. Jenis Medicated kelihatan begitu menarik sekali kerana cecair minyak rambutnya berwarna biru. Manakala jenis Super Control dan Protein berwarna keemasan.



Vitalis Super Control adalah untuk mereka yang mahu mengekalkan bentuk atau style unik dandanan rambut, Protein untuk melembutkan serta membekal nutrien ekstra untuk rambut, manakala Medicated untuk mengatasi masalah kelumumur (dandruft) dan kulit kepala berminyak (oily scalp).

Saya mula mengenali Vitalis semasa saya di sekolah Tadika lagi (1986). Saya selalu melihat ayah saya menggunakan Vitalis setiap pagi sebelum pergi ke tempat kerja. Jenis Vitalis yang digunakan ayah saya adalah Super Control, barangkali untuk mengekalkan style rambutnya yang selalu pendek (ayah saya bekerja sebagai Tentera Darat), walaupun sebenarnya rambut ayah saya dah tak boleh nak buat style lain dah sebab rambut dia kerinting semulajadi...

Disebabkan selalu melihat ayah saya berdandan dengan Vitalis, maka saya pun kadangkala curi-curi pakai sikit Vitalis dia. Vitalis ini tidak sama cirinya seperti Brylcreem atau Code 10. Ia tidak berminyak, bebas dari gris dan tidak melekit seperti minyak rambut lain yang berbentuk emulsion. Vitalis lebih kepada bentuk cecair tetapi tidak lekit seperti gel rambut. Apa yang paling saya gemari tentang Vitalis adalah baunya yang harum seakan-akan minyak wangi Brut. Saya kurang pasti mengapa Vitalis sudah tiada lagi di pasaran menjelang tahun 1990.

Saya tak tahulah sejauh mana kehebatan dan popularnya Vitalis ini. Tapi rasanya cukup popular dan menjadi pilihan jejaka-jejaka ketika itu, tak kira samada jejaka berstatus bujang, berkahwin atau beranak-pinak mahupun bercucu-cicit. Kalau tak popular, takkan sampai Y. Bhg Datuk Yusof Haslam pun pakai Vitalis seperti dalam iklan di bawah. Wah! Muda belia betul Datuk Yusof Haslam ketika ini...