24 Januari 2011

Kereta Mainan Kayuhan Kaki

Salah satu faktor penyebab ramai kanak-kanak membesar sebagai seorang dewasa yang gemuk atau obes adalah disebabkan kewujudan pelbagai barang permainan yang menggunakan bateri. Penggunaan bateri bermakna semakin kurangnya penggunaan tenaga oleh kanak-kanak untuk bermain permainan tersebut. Alatan permainan yang dahulunya perlu digerakkan dengan menggunakan kudrat kecil kanak-kanak (misalnya basikal mini yang dikayuh) sekarang telah ditukarkan dengan basikal mini berkuasa elektrik dari bateri yang dicaj.

Walaupun begitu, kebanyakkan kanak-kanak zaman sekarang masih memilih untuk mengayuh sendiri basikal mainan mereka. Mungkin lebih menyeronokkan di samping dapat menjimatkan perbelanjaan isirumah ibu-bapa mereka. Tapi pernahkan anda melihat kereta mainan kanak-kanak yang menggunakan pengayuh kaki untuk bergerak?


Dua orang Puteri "Z" sedang bergaya memandu kereta mainan kayuhan kaki yang baru dibeli. Sungguh membanggakan kerana kereta ini dibeli dengan pembayaran tunai, tanpa perlu memohon pinjaman pembiayaan kenderaan dari mana-mana bank ketika itu.

Inilah dia kereta mainan kayuhan kaki yang begitu diinginkan oleh setiap kanak-kanak sekitar era 1970 hingga 1990-an. Untuk memandu kereta ini, beberapa langkah di bawah perlu dilakukan mengikut turutan.

  1. Masuk ke dalam kenderaan dan duduk di atas "seat" yang disediakan. Hanya boleh memuatkan seorang kanak-kanak sahaja. Jangan risau saiz badan kanak-kanak membolehkan anda duduk dengan selesa.
  2. Pandang ke hadapan sambil memegang stering kereta. Jangan tekan hon lagi.
  3. Letakkan kaki perlahan-lahan di atas pedal kayuhan (pada bahagian bawah stering).
  4. Tekan dan kayuh pedal secara beransur-ansur dan perlahan.
  5. Putar stering mengikut arah yang hendak dituju (kiri dan kanan).
  6. Sekarang anda boleh mula melakukan kayuhan dengan lebih pantas dan bertenaga.

Jika tidak diilakukan mengikut turutan, nescaya kereta tersebut tidak akan berganjak dari kedudukan pegun. Sudah tentu ia tidak akan bergerak ke depan mahupun ke belakang. Anda juga tidak akan dapat mencapai pecutan yang diinginkan (dah macam kelas Fizik ni...).


Kehadiran kereta mainan kayuhan ini memang mengundang perhatian kanak-kanak lain di kawasan kejiranan anda. Anda juga secara automatis akan mendapat ramai kawan. Lihatlah gambar di atas. Ramai yang hendak bergambar di sisi kereta anda. Tidak kurang juga yang kepingin untuk meminjamnya bagi tujuan memandu.

Jika mahu memberhentikan kenderaan, anda boleh menghentikan kayuhan serta-merta. Sekiranya berlaku kes kecemasan, anda boleh menggunakan kaki anda sendiri sebagai brek, tetapi mesti dilakukan dengan berhati-hati. Biasanya hanya pemandu kanak-kanak yang profesional sahaja yang pakar dalam melakukan tindakan ini.

Kereta mainan kayuhan kaki ini juga dilengkapi dengan gear undur atau reverse. Tetapi gear reverse manual lah, bukan automatik. Adik-adik, jangan nak mengada-ngada. Masa dulu, kereta yang betul-betul bergerak atas jalan raya itupun semuanya pakai gear manual. Takdenya gear-gear automatik. Untuk bergerak ke belakang, anda hanya perlu mengayuh dengan arah lawan jam atau bersongsangan dengan corak kayuhan untuk bergerak ke hadapan.

Jangan memandang rendah keupayaan kereta mainan kayuhan ini. Dilengkapi dengan sistem hon, ia mampu mengejutkan jiran tetangga sebelah rumah yang sedang lena tidur di waktu awal petang. Sistem hon yang baik dapat memaklumkan kehadiran anda dan kereta anda di kawasan halaman rumah. Ini seterusnya dapat mengelakkan berlakunya kejadian langgar-lari, tak kira samada anda terlanggar kucing atau kaki orang lain.

Aspek keselamatan juga turut dititikberatkan. Terdapat cermin sisi (side mirror) di sebelah kiri dan kanan, membolehkan anda melihat pemandangan belakang yang jauh ditinggalkan (macamlah laju sangat kereta ni...)


Side mirror sebelah kanan sudah tercabut, kesan dari kejadian kemalangan yang berlaku sebelum gambar ini diambil.

Saya tidak begitu pasti tentang harga kereta mainan kayuhan ini. Tetapi jangkaan saya ia tidaklah murah dan boleh dianggap mahal ketika suatu masa dahulu. Saya sendiri pun tidak pernah memiliki kereta seperti ini. Saya hanya kadang-kadang tumpang bermain dengan kereta kepunyaan keluarga angkat saya. Memandunya memang seronok. lebih seronok lagi jika ada kawan-kawan lain yang mempunyai kereta yang sama jenisnya tetapi berlainan warna dan bentuk. Boleh diajak berlumba...


Lama sungguh rasanya nak menunggu sampainya giliran anda kembali untuk memandu kereta. Akibatnya saya telah dikeluarkan oleh pemandu lain dari seat kereta. Saya menangis kerana diperlakukan sedemikian rupa tanpa kerelaan saya. Waa...naik main lagi!

Walaubagaimanapun, kereta mainan kayuhan ini tidaklah dilengkapi dengan sistem lampu dan signal yang boleh dinyalakan. Yalah, di mana nak cari punca kuasanya. Mana ada bateri. Nak bergerak pun kena kayuh guna tenaga sendiri. Kadang-kadang kalau dah malas tu, minta tolong emak atau ayah tolong tolakkan. Nak minta tolong kat adik-beradik atau kawan-kawan pun boleh, tapi kena bergilir-gilir lah tolak. Mana aci, asyik kita saja yang kena tolak...


Beruntung kanak-kanak zaman sekarang. Tidak perlu mengayuh lagi. Semua kereta mainan sudah pakai bateri. Rupabentuk pun sudah semakin canggih. Tetapi fikirkanlah, anda sebenarnya sudah menggalakkan anak-anak anda supaya tidak mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Sumber gambar: mudah.my