05 Januari 2011

Dari Lidah Pengarang: Post 2

Sumber gambar: imod.co.za

Suami yang berjaya adalah suami yang mempunyai gaji yang lebih tinggi dari gaji isterinya...

Kasut sekolah Bata "Badminton Master"

"Melangkah ke sekolah dengan penuh gaya..."

Kita masih lagi berada dalam "mood" kembali ke sekolah. Setelah puas melepaskan geram pada Tuan Pengetua H pada post blog yang lepas, kali ini saya akan bercerita tentang kasut sekolah yang saya pakai dari Darjah 1 hingga 5.



Kasut Bata "Badminton Master". Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com. Kasutnya belum dikeluarkan lagi dari kotaknya. Tunggu sekejap ya....

Dengan ini saya mempersembahkan kepada anda, kasut sekolah "Badminton Master" yang dikeluarkan oleh syarikat Bata. Saya tidak berapa pasti tahun awal pengeluaran kasut Badminton Master ini. Tahu-tahu, kasut pertama saya ketika hendak memulakan persekolahan rendah adalah kasut Badminton Master inilah. Semasa bersekolah tadika, saya memakai kasut jenama Pallas jenis "strap-on" atau dengan panggilan kampungnya kasut jenis "lekat-lekat". Pada mulanya, saya menghadapi sedikit masalah untuk mengikat tali kasut. Entah kenapa, sukar untuk saya melakukannya. Tetapi setelah diajar berulangkali oleh ibu saya, akhirnya berjaya juga.

Mengikut sumber dari http://mohdfitri.blogspot.com, harganya sekitar RM18.99 pada zaman era 1980-an. Walaupun ketika itu, syarikat Bata telah mengeluarkan pelbagai jenis kasut sekolah model baru seperti Bata "Sinaran" (yang ada pemantul cahaya tu..), kasut Badminton Master ini tetap menjadi pilihan ramai, kerana harganya yang murah. Ia diperbuat dari kanvas sepenuhnya berbanding dengan kasut Bata lain yang diperbuat daripada campuran kanvas, span dan plastik lembut.


Kasut Badminton Master yang telah dikeluarkan dari kotaknya. Dah tak sabar lagi nak memakainya. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com




Rekabentuknya yang simple memudahkan proses pembasuhan kasut yang selalu dilakukan pada hujung minggu atau sehari sebelum esoknya nak sekolah balik (kes bertangguhlah ni...). Tapi tidak apa. Harganya yang agak murah membolehkan sesetengah ibu-bapa membeli lebih dari 2 pasang kasut Badminton Master untuk setiap anak yang bersekolah. Ada spare satu lagi kalau tak sempat basuh. Kalau dua-dua pasang kasut tidak dibasuh, alamatnya pakai kasut kotorlah ke sekolah. Pengawas sekolah pun akan menjeling semacam sahaja pada anda kalau pakai kasut yang kotor.

Untuk mengelakkan dari cepat kotor, anda boleh menyapu kapur ke kasut. Nampak lebih putih berseri lagi suci. Tapi masalahnya, ia akan menarik perhatian ramai kawan-kawan anda untuk memijak kasut anda itu, samada sengaja atau buat-buat tidak sengaja. Kejadian ini selalu berlaku ketika berbaris untuk memasuki kelas. Kalau orang dah pijak kasut saya, saya biasanya akan balas balik. Tapi biasanya yang suka memijak kasut orang ni, kasut diorang sememangnya dah sedia kotor...Jadi, saya juga yang rugi akhirnya.


Puas saya cari, tapi tak jumpa gambar kapur kasut yang sapu guna berus macam saya gunakan dulu. Senang budak-budak zaman sekarang, pakai kapur kasut jenis picit dan tonyoh sahaja.
Sumber gambar: mummyfad.blogspot.com



Kejadian memijak kasut kawan selalu berlaku ketika masing-masing hendak berbaris atau beratur untuk masuk ke kelas. Kejadian tersebut paling kerap berlaku pada hari pertama persekolahan setiap minggu (Isnin atau Ahad). Kehadiran guru di hadapan barisan tidak banyak membantu dalam mencegah kejadian memijak kasut kawan.
Sumber gambar: elenasofeaphotography.blogspot.com
 
Dengan mengaplikasikan ciri-ciri Unisex, kasut Badminton Master ini sesuai untuk dipakai oleh semua golongan murid-murid, tidak kira lelaki atau perempuan. Malah, ada juga golongan guru wanita yang memakai kasut Badminton Master ini semasa mengajar di sekolah. Kalau tak percaya, sila lihat klip video di bawah.


Petikan dari filem Adik Manja. Adibah Amin melakonkan watak seorang guru yang memakai kasut Badminton Master.


Setelah melangkah dengan penuh gayanya ke sekolah dengan memakai kasut Badminton Master ini, barulah saya sedari bahawa terdapat dua jenis kasut Badminton Master ini rupanya. Ada yang mempunyai tapak getah berwarna hijau, dan ada yang berwarna merah (gambar di bawah).



Kasut Badminton Master bertapak getah warna hijau. Saya lebih suka yang ini kerana tampak lebih segar. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com

Kasut Badminton Master yang mempunyai tapak getah berwarna merah. Melalui pemerhatian saya dulu-dulu semasa bersekolah, kasut bertapak merah ini menjadi pilihan murid-murid yang sedikit berlagak atau "kerek". Mungkin mereka ini sentiasa berasa bagus dan berbangga setiapkali memakainya.
Hek eleh.....Macam bagus. Sumber gambar: http://mohdfitri.blogspot.com

Tak kiralah samada tapak warna merah atau hijau, ternyata pada suatu masa dulu, kasut Badminton Master inilah yang digunakan untuk ke sekolah mahupun untuk bersukan, terutamanya ketika bermain badminton atau sepak takraw. Pendek kata, kasut multi-purpose lah.

Saya tak tahu samada saya masih menyimpan lagi kasut Badminton Master ini di rumah saya di kampung. Rasanya dah reput kot dimamah usia. Jadi, untuk post kali ini saya mengucapkan terima kasih kepada En. Mohd Fitri Osman kerana mengizinkan saya menggunakan gambar kasut Badminton Master simpanan beliau. Pelbagai shot gambar kasut Badminton Master boleh dilihat dalam blog beliau. Link saya sertakan di sini: http://mohdfitri.blogspot.com/2009/06/kasut-bata-badminton-master-tapak-getah.html