18 Januari 2011

Susu Tepung KLIM

Pesan ibu, minum susu sebelum tidur. Nanti anda akan membesar jadi sihat dan kuat. Anda selalu tak minum susu sebelum tidur? Kali ini saya mahu mengajak anda kembali mengingati salah satu jenama susu tepung atau susu skim yang antaranya pernah mendominasi pasaran tempatan Malaysia ketika era 1980-an dahulu.


Susu tepung penuh krim atau susu skim KLIM. Sumber gambar: layarlara-layarlara.blogspot.com

Pasti anda kenal jenama susu tepung di atas kan? Populariti susu tepung KLIM ini hampir menyamai kepopularan susu tepung jenama terkenal yang lain seperti Dumex, Nespray dan Everyday. Harganya di pasaran tempatan pun lebih kurang sama. Tapi tidak berapa pasti jenama mana yang sampai dahulu di Malaysia.

Semasa kanak-kanak, saya bukanlah seorang yang cukup berdisiplin dalam aspek minum susu ni. Mungkin disebabkan kurangnya disiplin dalam menyerapkan kalsium dan protein ke dalam tubuh melalui peminuman susu tepung, ketinggian saya sekarang hanya pada peringkat sederhana sahaja, tak pendek dan tak tinggi. Bukannya apa, terus-terang saya katakan saya kurang menggemari rasa lemak susu.


Memang ada populasi kanak-kanak yang tidak menggemari rasa susu. Bila dah tak gemarkan rasanya, bila disuruh minum pasti akan merengek punya. Ibu bapa juga yang pening kepala sebab sudah membelanjakan sejumlah wang untuk membeli susu. Sumber gambar: rose-lina.blogspot.com


Walaupun begitu, jika diberi pilihan, saya akan memilih susu KLIM kerana rasanya yang sedikit masin berbanding susu-susu skim jenama yang lain. Jadi kuranglah sedikit rasa lemak susunya. Namun, setiap kali segelas susu dihidangkan di hadapan saya, pasti saya akan mengeluh keresahan. Susah betul rasanya nak habiskan susu segelas tu. Bermacam-macam alasan yang saya reka untuk tidak menghabiskan susu tersebut. Bila diingatkan kembali, kesian dekat ibu dan ayah saya...


Ibu bapa kadangkala terpaksa melakukan eksperimen dalam memilih susu tepung yang sesuai dan digemari oleh anak-anak mereka yang sudah pandai demand pada masa kini. Pening juga kepala dan dompet dibuatnya. Sumber gambar: qaisya.blogspot.com


Jika dilihat pada yang tertera di tin susu KLIM, produk ini telah dikeluarkan seawal tahun 1857. Tetapi ia hanya memasuki pasaran Malaysia pada hujung era 1970-an. Sebelum itu, susu KLIM telah digunakan dengan begitu meluas di pasaran benua Eropah dan Amerika.  Jika anda perasan, perkataan KLIM sebenarnya datang daripada perkataan MILK yang dieja secara terbalik.


Motorsikal membawa bekalan Susu KLIM untuk dijual secara runcit di Washington DC, USA sekitar tahun 1950-an. Sumber gambar: http://www.jockeyjournal.com/?p=494


Iklan penerangan Susu KLIM yang disiarkan dalam majalah di USA pada tahun 1920. Lembu yang menjadi model dalam iklan susu tepung semuanya bermuka masam sahaja. Mungkin mereka tak rela susu mereka diambil untuk kegunaan manusia. Sumber gambar: Wikipedia

Semasa Perang Dunia ke-2, susu KLIM telah dijadikan salah satu bahan makanan rangsum (ration) oleh Tentera Amerika Syarikat dan lain-lain pasukan dalam Gabungan Tentera Berikat (Allied Armed Forces). Pasukan Palang Merah Antarabangsa juga menghantar susu KLIM kepada askar-askar Amerika Syarikat yang menjadi tahanan perang (POW) di kem tahanan perang sekitar kawasan tanah jajahan Jerman. Ini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pengambilan kalori askar-askar yang ditahan, bagi memastikan mereka terus sihat dan bertenaga.

Walaupun tepung susunya telah habis dibuat minuman, tetapi tin susu yang kosong tidak dibuang begitu sahaja. Masih ada kegunaannya seperti yang ditunjukkan di bawah...


Tin susu KLIM yang kosong digunakan untuk membuat saluran batang paip yang dijadikan lubang udara dalam pembinaan terowong bawah tanah di kem-kem tahanan. Laluan terowong digunakan untuk melarikan diri dari kem tahanan. Inilah faedahnya minum susu. Sumber gambar: http://anonymous-generaltopics.blogspot.com/2009/01/great-escape.html

09 Januari 2011

88 Super Bubble Gum

Apakah objektif utama anda mengunyah chewing gum, bubble gum atau gula-gula getah? Pada zaman kini, terdapat beberapa iklan di TV yang menyedarkan pengguna bahawa dengan mengunyah bubble gum, dapat memelihara kebersihan mulut dan gigi. Nafas akan lebih segar, gigi lebih putih dan berseri.

Itu zaman sekarang. Masa zaman saya kanak-kanak dahulu, tiada siapa yang menyedari faedah mengunyah bubble gum ini. Objektif utama nak kunyah bubble gum ketika itu ialah semata-mata nak buat belon.Tapi bukan semua bubble gum yang sesuai untuk dibuat belon. Ada jenis-jenis tertentu sahaja. Salah satu produk bubble gum yang popular dan amat sesuai dibuat belon adalah 88 Super Bubble Gum.


Pek besar produk gula-gula getah 88 Super Bubble Gum mengandungi 60 paket kecil bubble gum.

Sepertimana yang anda lihat pada gambar di atas, tentu anda faham kenapa 88 Super Bubble Gum ini sesuai sangat untuk dikunyah bagi menghasilkan belon. Pada bahagian labelnya pun sudah tertera belon bubble gum yang besar sedang dihasilkan oleh dua orang kanak-kanak (lelaki dan perempuan). Saiz belon tersebut lebih besar dari saiz kepala diorang...

Produk 88 Super Bubble Gum ini sangat popular sekitar era 1980-an. Ia dihasilkan oleh syarikat Khee San Food Industries Sdn Bhd, kilangnya terletak di Sri Kembangan, Selangor. Dahulu, ia biasa dijual dalam bentuk paket kecil dengan harga 10 sen setiap satu. Dalam satu paket kecil ini, ada tiga biji bubble gum, tiap-tiap satunya berwarna oren, kuning dan merah.


Biasanya pekedai runcit akan meletakkan paket-paket kecil produk di dalam balang plastik untuk dijual. Balang plastik akan diletakkan berhampiran dengan kaunter bayaran supaya juruwang (yang biasanya towkay kedai) akan dapat mengawasi genggaman tangan budak-budak semasa mengambil paket kecil bubble gum dari dalam balang plastik. Takut beli satu, tapi ambil dua atau tiga paket...

Mengikut deria rasa lidah saya, bubble gum berwarna merah berperisa strawberry, kuning rasanya seperti lemon, dan yang oren memang rasa macam buah oren.

Untuk menghasilkan belon yang betul-betul bagus, biasanya saya dan kawan-kawan kunyah 3 biji bubble gum sekaligus. Tiga-tiga perisa oren, lemon dan strawberry bercampur-aduk dan tidak boleh dibezakan lagi oleh tunas rasa yang terdapat pada permukaan lidah. Takrifan belon yang betul-betul bagus di sini adalah:
  1. Belon mudah ditiup dan mudah mengembang
  2. Saiz belon yang besar.
  3. Daya tahan kembang belon lebih lama (sebelum belon pecah dan melekat di bahagian mulut).

Berapa besar belon yang boleh anda hasilkan daripada kunyahan bubble gum? Mungkin selepas ini anda boleh cuba dan catatkan dalam Malaysian Book of Records.

Tidak kiralah sama ada objektif ada mengunyah bubble gum untuk menghasilkan belon, atau untuk membersihkan mulut dan gigi, ataupun untuk sekadar menunjukkan lagak di depan gadis-gadis (kononnya baguslah ni...), yang paling penting adalah anda tahu di mana sepatutnya anda membuang sisa kunyahan bubble gum anda itu...


Tidak kira samada anda memakai kasut yang mahal atau murah, tapi kalau sudah terpijak sisa chewing gum, memang akan melekat punya. Sisa chewing gum tak kenal siapa dan kasut siapa. Sumber gambar: ye1.org