29 Mac 2011

Siri Cerita Rakyat 2: Animasi TV Gagak Yang Bijak

Ramai Sang-Sang Gagak yang meluahkan perasaan kurang senang terhadap entri saya berkenaan asal-usul mereka sebelum ini (sila klik di sini: Mengapa Gagak berwarna hitam? untuk membacanya). Tidak kurang juga yang marah-marah. Pada hujung minggu lepas, Gagak-Gagak datang membuat bising di hadapan rumah saya pada waktu pagi sampaikan saya nak sambung balik tidur pun tak boleh.

Akhirnya, untuk menenangkan mereka, saya berjanji kepada Gagak-Gagak tersebut yang saya akan menulis satu entri baru yang menceritakan tentang kebaikan ataupun kelebihan Gagak ini, berbanding dengan unggas-unggas yang lain.


"Apa ni bang. Segalanya yang negatif semuanya dikaitkan dengan kami. Kami pun ada juga ciri-ciri positif", salah seekor Gagak yang mencurahkan perasaan dari hati ke hati kepada saya.

Semasa saya kecil, hampir setiap petang saya menonton TV. Ketika itu Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM) selalu menayangkan siri animasi kartun pendek berkisarkan kehidupan haiwan di Malaysia. Objektif utama tayangan animasi kartun tempatan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak khasnya, dan rakyat Malaysia, amnya.


Pasti anda selalu ternampak logo Sang Harimau yang sedang menerkam ini. Inilah dia logo Jabatan Filem Negara Malaysia.

Kadang-kadang, nak mengajar orang dewasa tentang nilai-nilai murni ini jauh lebih sukar dari mengajar kanak-kanak. Rebung sudah bertukar menjadi rebung.

Berbalik kita kepada Sang Gagak tadi. Jabatan Filem Negara Malaysia pernah suatu ketika menerbit dan menayangkan satu siri animasi pendek yang menceritakan tentang kesabaran dan kebijaksanaan seekor Gagak dalam menyelesaikan masalah seharian. Jika anda ingin menontonnya, klip videonya ada saya lampirkan di bawah. Selamat menonton.


Saya sungguh mengagumi Sang Gagak dalam cerita di atas. Beliau kelihatan sungguh "cool" sekali. Sumber video You Tube: Aredown


Dua tahun yang lepas, ketika saya pun sudah dewasa, saya ada terbaca satu strip kartun di Majalah Ujang yang mengisahkan tentang dua ekor Gagak yang cuba untuk meminum air dari bekas jag air yang muncungnya sempit. Jalan ceritanya saling tidak tumpah seperti animasi Filem Negara Malaysia yang baru anda tonton tadi.

Gagak 1: "Nasib baik kita jumpa bekas jag air ni. Dahaga betul rasanya"

Gagak 2: "Syukur. Eh, awak nak pergi cari apa tu?"

Gagak 1: "Nak pergi cari ketul batu lah. Kalau tak masukkan batu dalam jag air ni, macam mana paras air nak naik? Macam mana kita nak minum? Muncung kita tak sampai..."

Gagak 2: "Tak payah cari ketul batu. Tak bersih lagipun. Jom ikut aku".


Ke mana kedua-dua ekor Gagak ni nak pergi? Rupa-rupanya....


Gagak 2: "Dah sampai dah kat kedai mamak ni. Macha, mintak straw dua!"

Gagak 1: "Iya tak ya jugak. Pakai straw aje kan senang...."


Burung Gagak pun sudah kreatif dan mempunyai daya fikiran berinovasi pada zaman sekarang. Jadi, kepada semua Gagak yang akan bertandang ke rumah saya lagi pada minggu ini, saya sudah tunaikan janji saya. Tolong jangan marah-marah lagi kat saya ye.

Dan kepada pembaca di luar sana, kalau ada Sang Gagak yang ingin menumpang pinjam PC anda untuk melayari blog saya kerana hendak membaca entri berkenaan dengan Gagak, silalah bagi pinjam sekejap ye. Kasihan kat diorang...


"Abang, boleh tak saya pinjam pakai PC tu kejap? Nak surf internet sebab nak baca blog tentang saya lah bang. Boleh ye bang? Ala boleh lah...". Sumber gambar: Monkeyc.net



2 ulasan:

  1. haha, terima kasih bro...

    ini la animasi Malaysia yg byk pengajaran berbanding now..
    *maksud saya shorties mcm ni la..

    rindu zaman TV Malaysia hebat masa tu...

    bro pun ingat gak...

    cakap pasal yg comic ujang tu.. zaman saya adalah pasal rakan sains.. ada satu episode gagak letak batu dlm botol dan lepas minum dia complain sbb air masin pastu berlaku la sains kenapa air itu masin.

    Pengajaran dlm Sains.. n masa tu comic tu mahal.. RM4 atau RM5 xsilap tapi lebih berbaloi dari comic Anak2 Sidek.

    maafkan saya, saya xsuka comic anak2 sidek sbb dia mcm... zalim sgt encik haji sidek menyeksa Misbun... pastu pilih kasih pada anak keduanya. Razif xsilap..

    apa2 pun saya suka kalau animasi sebegini tunjuk di TV, kalau tgk negara barat dan UK pun ada tunjuk animasi lama yg byk pengajaran.

    BalasPadam
  2. Secret Drifter, memang diakui Razif adalah anak kesayangan.

    Sekarang ni, harga komik Ujang dan Apo ialah RM5.90. Saya masih beli sampai sekarang....

    BalasPadam