20 Februari 2011

Tarian Singa Berselimut

Kira-kira dua minggu lepas (3 Feb 2011) rakyat Malaysia menyambut Tahun Baru Cina. Tahun ini adalah tahun Arnab. Ramai yang mengambil kesempatan pulang bercuti panjang, tak kira apa kaum sekalipun.


Arnab dan watak kartun arnab kelihatan di mana-mana sahaja sepanjang perayaan Tahun Baru Cina kali ini. Kalau sudah ada arnab, pasti ada lobak punya...

Setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina, pastinya saya tidak akan melepaskan peluang menonton Tarian Singa. Kalau tidak dapat menonton secara live, dapat tonton di TV pun jadilah. Biasanya kalau pulang ke kampung saya di Muar, akan ada banyak pertunjukkan Tarian Singa diadakan.


Sebagai warga daerah Muar, saya cukup berbangga dengan pencapaian Kelab Tarian Singa Kun Seng Keng yang berjaya memenangi kejuaraan dunia sebanyak 9 kali. Kelab ini beroperasi di Jalan Abd Rahman, Muar, Johor. Sumber gambar: www.nst.com.my

Dan setiap kali saya menonton Tarian Singa, pasti saya terkenang kembali Tarian Singa Berselimut yang saya dan anggota kumpulan saya persembahkan ketika acara Malam Kebudayaan, Perkhemahan Tahunan Pasukan Pengakap Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ismail Satu, Muar, Johor.


Inilah dia "Coat of Armour" SRK Ismail Satu, Muar dengan slogan "Usaha Jaya". Saya mula bersekolah di sini ketika berada di Darjah 6.

Pada penghujung setiap tahun, Pasukan Pengakap SRK Ismail (1) akan mengadakan program perkhemahan Pengakap. Para Pengakap Kanak-Kanak ini akan dibahagikan mengikut kumpulan Enam Sekawan yang telah sedia ada. Pada perkhemahan tahun 1990, saya diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Kumpulan Perang (sebutannya warna "perang" ye, bukan "perang" yang bertembak-tembak tu). 


Saya ketika aktif menjadi Pengakap Kanak-Kanak di sekolah rendah. Gambar diambil pada tahun 1990.

Gambar ini diambil ketika Pasukan Pengakap SRK Ismail (1) mengadakan lawatan ke Bukit Cerakah, Selangor.

Kumpulan Perang mempunyai 6 orang ahli, termasuk saya. Kami diberikan sebuah khemah untuk bermalam di padang sekolah. Dalam program perkhemahan tahunan, pelbagai acara pertandingan berorientasikan Pengakap akan dijalankan. Antaranya ialah acara kawad kaki, memasak, memasang gajet dan yang paling best ialah Malam Kebudayaan.


Acara Kawad Kaki cukup mencabar daya ketahanan Pengakap Kanak-Kanak kerana cuaca ketika berkawad biasanya panas terik. Kalau kena kawad masa hujan, lagilah mencabar. Sumber gambar: publicadz.wordpress.com

Bagi acara Malam Kebudayaan, setiap kumpulan diwajibkan membuat persembahan kebudayaan. Konsep persembahan mestilah menonjolkan ciri-ciri unik satu budaya tempatan. Tak kiralah budaya Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah Sarawak, mahupun Orang Asli.

Hasil risikan, kami telah mendapat tahu Kumpulan lain akan membuat persembahan tarian Ghazal, Kadazan, Dikir Barat, Inang dan Tarian Magunatip. Kami masih lagi terkial-kial berfikir, tak tahu nak buat persembahan apa. Cikgu kata setiap persembahan kena unik dan tidak boleh sama dengan persembahan kumpulan lain....


Barang sesiapa yang masih belum arif, inilah dia Tarian Magunatip yang ditarikan oleh kaum Murut di negeri Sabah. Penari akan menari dengan tangkasnya sambil melintasi batang buluh yang dihentak ke lantai bagi menghasilkan bunyi yang unik. Pada malam itu, Kumpulan Merah mempersembahkan tarian ini dan kesemua penarinya mengadu sakit kaki pada keesokkan harinya. Lama juga kesan lebam di kaki itu nak hilang. Sumber gambar: sam4605@flickr.com


Setelah berhempas-pulas memerah otak, kami sepakat kata membuat keputusan untuk mempersembahkan Tarian Singa. Masalah pertama yang kemudiannya bermain di fikiran kami ketika itu adalah di mana kami hendak mendapatkan kostum Singa tu? Takkanlah kami nak pergi pinjam dari Kelab Tarian Kun Seng pula...

Berbekalkan daya kreativiti yang tersedia ada hasil ilmu Pendidikan Seni yang dituntut sejak persekolahan Tadika lagi, kami pun menyiapkan kostum Singa kami yang cukup unik. Kami pun cepat-cepat membeli beberapa keping kad manila berwarna putih. Dengan menggunakan basic tools seperti pensel, krayon warna dan gunting, kami menyediakan sendiri topeng kertas bermotifkan "Kepala Sang Singa". Sepasang getah gelang diikatkan di bahagian kiri kanan topeng kertas tersebut. untuk disangkutkan pada telinga ketika persembahan nanti. Masa sekolah dulu, anda semua mesti ada buat projek Pendidikan Seni macam ni kan....


Macam inilah lebih kurang topeng kertas Kepala Singa yang kami cipta untuk dijadikan bahagian kepala Singa. Sumber gambar: libtititeras.blogspot.com


Untuk bahagian badan Singa, kami hanya menggunakan sehelai kain selimut. Macam mana tu? Tentu ada di antara anda yang tertanya-tanya bagaimana rupanya Singa kami itu nanti? Mungkin juga sudah ada yang dapat mengagak macam mana rupanya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh merujuk kepada ilustrasi di bawah...


 Ilustrasi bagaimana menghasilkan kostum Singa untuk persembahan Tarian Singa Berselimut di Malam Kebudayaan. Ribuan terima kasih diucapkan kepada saudara Mohd Amin dari MPOB di atas kesungguhan beliau menghasilkan ilustrasi ini.

Setiap seekor Singa memerlukan dua individu, seorang akan menjadi bahagian depan (kepala) dan seorang lagi akan menjadi belakang badan Singa. Individu yang menjadi bahagian depan Singa akan memakai Topeng Singa dan menjadi kepala Singa. Ketika persembahan tarian hendak dimulakan, individu yang menjadi bahagian belakang badan Singa akan tunduk membongkok dan memegang bahagian pinggang individu yang menjadi kepala Singa.


Kemudian, sehelai selimut akan diselubungkan ke atas kedua-dua individu tersebut. Pilihan warna, corak dan tema selimut terpulang kepada kehendak Sang Singa itu sendiri. Seramai tiga ekor Singa terlibat semasa persembahan kami. Setiap satunya mempunyai corak dan tema yang tersendiri berdasarkan jenis selimut yang digunakan. Ada selimut yang ada gambar kartun, corak batik dan bermacam lagi.


 Masih saya ingat, saya menggunakan selimut bertemakan kartun Hello Kitty dalam persembahan Tarian Singa. Memang kelakar betullah rupanya bila lihat Singa berbadankan corak Hello Kitty menari dengan rancaknya di tengah gelanggang.



Untuk mendapatkan bunyi gendang, kami menggunakan "Baldi" sebagai ganti. Untuk Sinbal Cina (yang hasilkan bunyi "Cheng!" tu...), kami gunakan dua keping "Tudung Periuk Besi". Seramai dua orang krew ditugaskan untuk memainkan alat muzik Tarian Singa. Kira OKlah tu. Lebih kurang sama bunyinya walaupun iramanya agak lintang-pukang.



Walaupun hanya memukul baldi air dan tudung periuk, tapi terasalah juga kemeriahannya Tarian Singa kami pada Malam Kebudayaan tersebut. Rasa seperti betul-betul real macam persembahan Tarian Singa dari kelab profesional. Sumber gambar: smp2252mohdazrul.blogspot.com


Dengan kostum Singa tersebut, diiringi muzik rancak gendang baldi dan lagaan tudung periuk, Singa-singa kami pun menari dengan rancaknya. Ada juga aksi stunt-stunt melompat seperti tarian singa profesional, sampai ada Singa yang terjatuh sehingga terselak kain selimutnya. Bila terselak kain selimutnya, nampaklah orang di dalamnya. Persembahan berlangsung hampir 20 minit.


Kami buat aksi stunt yang mudah-mudah saja. Maklumlah masih kanak-kanak lagi...

Persembahan kami mendapat tepukan yang sangat gemuruh dari penonton. Lebih membanggakan lagi kami berjaya meraih Johan Malam Kebudayaan pada tahun itu. Ramai guru-guru yang memuji dan kagum dengan persembahan Tarian Singa Berselimut kami.

1 ulasan: