Koleksi barang-barang dan kisah-kisah lama yang ditenggelamkan arus pemodenan zaman

02 Januari 2011

Sabun mandi Camay


Saya tidak berapa pasti bila Sabun mandi Camay ini memasuki pasaran Malaysia. Saya hanya mendapat tahu tentang kewujudan sabun Camay di bilik mandi rumah saya hanya bermula pada tahun 1985, setelah saya pandai menggunakan sabun untuk memandikan diri sendiri (sebelum 1985, emak saya yang mandikan saya setiap kali waktu mandi).  Jadi saya jangkakan sabun Camay ini mungkin mula memasuki pasaran tempatan seawal 1980-an, sebab saya lahir pada 1979.

Sabun Camay ini memang harum baunya. Pada masa tersebut, tiada lagi kewujudan cecair mandian (shower gel) seperti yang popular pada masa kini. Kalau ada pun, cuma cecair mandian untuk kegunaan bayi sahaja. Untuk orang dewasa punya belum dikomersilkan lagi. Jadi, Camay merupakan salah satu sabun pilihan wanita-wanita Malaysia ketika itu, selain jenama Lux dan May.

Sabun Camay ini terdapat dalam pelbagai warna, tetapi baunya lebih kurang sama sahaja. Perisanya pula saya tidak tahu kerana tidak boleh dimakan, walaupun ada kawan satu sekolah tadika saya yang pernah cuba untuk merasa sabun Camay ini dengan lidah beliau. Mungkin kerana terlalu terpersona dengan kewangiannya kot...


Sabun Camay berwarna putih. Bungkusannya berwarna putih, ketul sabunnya pun putih juga. Gambar dari http://onokuno-kuno.blogspot.com


Sabun Camay warna pink dengan tema wanita manja menggoda dan warna hitam dengan tema wanita misteri. Yang mana satu pilihan anda? Apa yang ada di bilik mandi tu, saya main pakai saja, takdenya nak fikir-fikir lagi. Saya rasa emak saya suka beli yang warna hitam. Banyak simpan misteri agaknya emak saya ni. Nanti saya tanya kenapa beliay suka beli Camay yang warna hitam. Sumber gambar: Hindi.tv

Tak kiralah anda beli Sabun Camay warna apa pun, yang penting ia tetap mempunyai logo kepala seorang wanita di pembalut bungkusan sabun. Logo kepala wanita dengan fesyen rambut "Bob" itu juga ditatahkan di atas permukaan sabun, menyebabkan saya kadang-kadang rasa sayang nak pakai sabun Camay ini. Kalau nak dipegang dengan tangan bercampur air, kemudian digosok ke badan, logo kepala wanita itu akan sedikit demi sedikit pudar dimamah buih...

Saya tidak perasan bilakah sabun Camay dihentikan pemasarannya di Malaysia. Tahu-tahu sudah tiada lagi di atas rak-rak supermarket dan kedai runcit. Jadi, untuk menyegarkan kembali nostalgia anda yang pernah menggunakan sabun Camay ini samada untuk mandi atau membuat belon ketika mandi, saya lampirkan iklan komersial sabun Camay yang ditayangkan di kaca TV pada tahun 1982. Selamat menonton iklan yang penuh dengan kejujuran, lemah lembut dan sopan-santun ini. Berbeza betul dengan iklan zaman sekarang.


video
Video AbangCantik dari YouTube

2 ulasan:

nikths berkata...

selain sabun camay,ada beberapa jenama lagi seperti popinjay(cap burung nuri),kao leather dan beberapa lagi.

tengku azri berkata...

popinjay masih lg beredar di pasaran... sabun bdk2 asrama sekolah (laki2 saja) menengah! :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...