20 Disember 2010

Jam tangan Robot

Kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan dengan alat permainan mereka. Jika kita lihat, ramai budak-budak di luar sana yang sentiasa membawa alat permainan mereka bersama ke hulu dan ke hilir. Asyik berkepit dan tak boleh berenggang,. Itu yang sampai ada yang sanggup gantung PlayStation Portable (PSP) kat leher tu. Bila berjalan, bukannya tunduk kerana rasa rendah diri, tapi kerana berat PSP tersebut.

Sebelum ini ada saya siarkan tentang jam tangan yang mempunyai permainan Game Watch. Kali ini saya akan perkenalkan anda semua dengan satu lagi produk permainan yang lebih kurang sama konsepnya dengan jam tangan Game Watch tapi tak serupa cara permainannya. Konsep yang digunakan oleh pereka produk ini adalah "Kanak-kanak dan alat permainan tidak dapat dipisahkan" macam pepatah P. Ramlee; irama dan lagu tak boleh dipisahkan...  




Apa bendanya tu? Nampak macam jam tangan sebab pakai di tangan. Tapi ini bukan jam tangan biasa. Inilah dia Jam Tangan Robot kalau anda nak tahu. Produk mainan ini sangat popular dan menjadi idaman kanak-kanak sekitar awal tahun 1980-an. Bahagian badan jam ini boleh ditukar atau "ditransform"kan menjadi sebuah robot kecil. Kagum betul saya pada masa itu melihatkan jam tangan boleh dilipat-lipat, diputar-putar, dibengkok-bengkok dan dipulas-pulas untuk bertukar menjadi robot (gambar di bawah).




Robot berkaki warna biru dan kuning (yang terletak di tengah) dalam gambar di atas itu adalah robot yang telah ditransformasikan dari jam tangan yang ditunjukkan dalam gambar sebelum ini. Kalau tak silap saya, rekabentuknya sama seperti robot Voltron. Kedua-dua robot yang menjadi pengiringnya itu (kiri dan kanan) saya tak pasti pula dari spesis robot mana. Tapi, kedua-duanya pun boleh jadi jam tangan juga. 

Kan betul kata saya. Robot jam dalam gambar sebelum ini adalah sebenarnya robot Voltron. Kalau tak percaya, lihat gambar robot Voltron di atas ni dan bandingkan dengan robot jam tangan tadi. 

Untuk menukarkan jam tangan ini kepada mod robot, bahagian badan jam ini perlulah dipisahkan dari talinya.   Bab yang ini sebenarnya agak meresahkan serta merisaukan ibu bapa. Apa taknya, bila dah jadi robot, kebarangkalian anak-anak mereka untuk menghilangkan tali jam tersebut secara tidak sengaja adalah tinggi. Bila tali jam dah hilang, maka secara automatiknya "Jam Tangan Robot" dah bertukar statusnya menjadi "Jam Robot Pegang Dengan Tangan". Sekali pandang, dah rupa macam Stopwatch pulak. Bila sudah jadi macam ni, anak-anak pun mulalah merengek kembali minta dibelikan jam tangan robot yang baru. Ramai budak-budak yang saya lihat pada mulanya mempunyai jam tangan robot yang lengkap dengan talinya. Selepas 4-5 hari, tali jam tu samada sudah tercabut atau sudah hilang.


Kadang-kadang sebab takut tali jam tangan robot tu hilang, ada ibu bapa yang sengaja tak mahu bagi anak mereka tu pakai jam tangan tersebut pada waktu-waktu kritikal seperti masa bermain dengan rakan-rakan. Bila dah dengan kawan-kawan, mesti ramai yang sekejap suruh tukar jadi robot dan jam bersilih-ganti. Kalau tak hilang jam, hilang tali jam. Jadi penyelesaiannya, hanya pakai jam robot pada waktu tertentu sahaja. Bila tak pakai, letak balik dalam pek plastik dia macam gambar di atas.

Walaubagaimanapun, jam tangan robot ini sedikit sebanyak dapat mengajar kanak-kanak supaya lebih menghargai dan menepati masa dengan cara melihat masa yang tertera pada jam tangan dengan lebih kerap. Bila teringat robot, akan teringat juga sekarang dah pukul berapa. Dan bila teringat sekarang dah pukul berapa, teringat pula tentang robot. 


Tidak banyak aksi yang boleh digayakan oleh Robot jam tangan ini.  Harapkan muka robot sahaja yang garang, tapi  tak boleh nak buat apa sangat selain mempamerkan masa.

Tetapi apakan daya, jam tangan robot ini tidak mampu dimiliki oleh semua kanak-kanak. Kemampuan memilikinya bergantung kepada ketebalan dompet ibu bapa masing-masing. Saya sendiri pun tidak pernah memilikinya walaupun menaruh minat yang agak mendalam. Yalah, mana ada budak-budak lelaki macam saya yang tak minat dengan robot pada masa itu? Tapi, apa boleh buat. Keadaan ekonomi keluarga saya tidak mengizinkan. 

Tapi sekarang bila saya sudah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, barulah saya boleh beli sendiri robot-robot yang saya idamkan, seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar di bawah.

Barisan robot-robot yang membintangi filem 
Transformers Revenge of the Fallen


Robot Decepticon Starscream yang sengaja lewat menghadirkan diri untuk sesi fotografi beramai-ramai dalam gambar sebelum ini. Dia ni demand sikit. Tak mahu ambil gambar bersama dengan robot lain. "Saya nak glamour sorang-sorang", katanya. 

3 ulasan:

  1. wahhh banyak betul koleksi robot...haha best2x..

    BalasPadam
  2. Ada lagi sebenarnya. Tapi masih ada robot yg malu-malu kucing hendak bergambar.

    Lego pun saya ada...

    BalasPadam