28 Disember 2010

Kuda Longkang

Sepertimana yang kita tahu, pertandingan lumba kuda merupakan salah satu perlumbaan yang amat diminati oleh golongan elit. Ia bukan hanya tentang perlumbaan kuda dan Jockeynya semata-mata, tetapi ia melibatkan pertaruhan wang yang tinggi, disebabkan kos pertandingan lumba kuda yang juga tinggi. Kos pemilikan seekor kuda lumba dan penyelenggaraannya amat mahal. Hanya golongan yang berada sahaja dapat memiliki seekor kuda lumba. Gaji Jockey kuda pun cukup bulan kena dibayar juga.


Namun begitu, individu-individu yang kurang berkemampuan juga mampu memiliki kuda lumba sendiri dan boleh menyertai pertaruhan lumba kuda. Tetapi ia bukanlah kuda biasa seperti yang anda ketahui sebelum ini. Inilah dia permainan lumba KUDA LONGKANG untuk golongan yang kurang berkemampuan, tetapi masih mahu bertaruh dalam perjudian lumba kuda.

Kalau nak berjudi tu, tak kira siapa. Kaya atau miskin, muda atau tua…


Inilah dia, sukan lumba Kuda Longkang. Kesemua kuda dalam keadaan bersedia untuk dilepaskan.

Permainan kuda longkang ini mula mendapat sambutan hangat dari penduduk Kuala Lumpur bermula sejak pertengahan era 1960-an hingga awal 1980-an. Permainan ini mengadaptasi konsep pertandingan perlumbaan kuda sebenar. Kuda pertama yang mencecah garisan penamat akan diisytiharkan sebagai Juara dan seterusnya sehinggalah yang paling akhir sekali tiba.

Kuda longkang tidak memerlukan Jockey (penunggang). Kuda longkang sebenarnya adalah satu bentuk kepingan plastik ringan berbentuk bujur yang boleh terapung serta bergerak di atas permukaan air. Jika kuda lumba sebenar berlari di atas padang trek, kuda longkang akan “berlari” di atas permukaan air di dalam longkang atau parit.

Kelihatan 3 ekor kuda longkang yang sedang rancak berlumba di dalam longkang

Jika anda mahu menyertainya, anda memerlukan seekor kuda. Kuda hendaklah disewa dari penganjur pertandingan. Anda juga wajib membayar yuran pertandingan yang melayakkan anda untuk bertaruh dalam perlumbaan. Jika tidak berlumba, anda boleh menjadi penonton dan membuat pertaruhan sesama rakan dengan meneka kuda mana yang sampai dahulu. Konsepnya sama macam judi lumba kuda betul.

Antara kriteria pemilihan longkang untuk dijadikan trek perlumbaan kuda longkang adalah:
  1. Longkang mestilah bersih dan bebas dari sampah-sarap atau lumut hijau.
  2. Air longkang mestilah jernih dan tidak kotor sama sekali.
  3. Aliran air longkang tidak terlalu perlahan dan tidak juga terlalu laju.
  4. Panjang longkang sekurang-kurangnya 70 kaki.
Sebab mengapa kriteria-kriteria di atas begitu penting, akan saya perjelaskan satu persatu di bawah.


Cara-cara bermain kuda longkang (sila rujuk gambarajah lakaran di bawah)



  1. Pengadil “A” akan meletakkan barisan kuda-kuda di atas sekeping papan pemula (jika kurang faham, sila rujuk gambar pertama yang mula-mula muncul dalam siri blog kali ini).
  2. Sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan, papan pemula akan diturunkan ke atas permukaan air. Dengan arus air longkang yang telah tersedia ada, kuda-kuda akan terus meluncur dengan gagahnya di atas air longkang.
  3. Pengadil “A” akan memastikan perjalanan kuda-kuda tidak diganggu oleh penonton-penonton yang berdiri di tepi longkang.
  4. Pengadil “B” di garisan penamat akan melihat dan memutuskan kuda mana yang mencecah garisan penamat. Beliau mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan tempat pertama, kedua atau ketiga. Yang kemudiannya tu, dianggap kalah. Beliau juga akan mengutip kembali kuda-kuda dari dalam longkang yang telah menghabiskan perlumbaan.

Disebabkan pengadil perlumbaan terpaksa bergelumang dengan air longkang (banyak kali jari-jemari dan tangan terendam dengan air longkang), maka adalah sangat penting bagi penganjur memastikan longkang tersebut sentiasa bersih, tanpa sebarang sampah-sarap dan lumut. Kehadiran sampah dan lumut juga boleh mengganggu pergerakkan kuda di dalam longkang. Keadaan air yang jernih juga penting kerana jika keruh, pengadil mungkin kurang Nampak dengan jelas, kuda mana yang mencecah garisan penamat terlebih dahulu.


Sungguh bersih dan cantik sekali longkang ini. Untuk makluman pembaca, ini bukan longkang di tanahair, tetapi di Korea Selatan. Sumber: ilhamfatihah.wordpress.com

Aliran air longkang yang terlalu perlahan mungkin akan menyebabkan pergerakkan kuda menjadi lambat, seterusnya boleh menyebabkan penonton berasa bosan. Bila penonton rasa bosan, mereka mungkin tidak mahu meletakkan pertaruhan sekaligus boleh menyebabkan perlumbaan tidak mendapat sambutan. Jika pertandingan tidak mendapat sambutan, tiada siapa yang akan membuat pertaruhan wang. Sudah tentu penganjur akan rugi besar. Kalau aliran air terlalu cepat, nanti pengadil tidak sempat pula nak lihat, kuda mana yang sampai dulu. Perlumbaan pun tentu akan tamat terlalu awal. Mungkin tak sempat nak lihat aksi-aksi kejar-mengejar dan pintas-memintas antara kuda.

Mengikut apa yang diceritakan oleh ibu saya, antara lokasi longkang di Kuala Lumpur yang selalu dijadikan tapak perlumbaan kuda longkang adalah di longkang besar berhampiran tapak pasar malam Kampung Baru. Pada zaman kini, sudah tiada siapa lagi yang nak bermain kuda longkang. Salah satu sebabnya adalah keadaan longkang zaman sekarang. Dah tak bersih macam dulu dah.


Poster filem "Sikit Punya Gila". Filem ini memang cukup kelakar. Jika anda masih ingat, ada adegan Seniwati Yusni Jaafar tercekik tongkol jagung setelah melihat Ibrahim Pendek (membawa watak sebagai suaminya dalam filem ini) menggatal dengan Norlia Ramli dan Nora Shamsudin 

Pada tahun 1980, sebuah filem berjudul “Sikit Punya Gila”, lakonan Hamid Gurkha dan Dharma Harun Al-Rashid telah memaparkan adegan perlumbaan kuda longkang di Kuala Lumpur (Poster filem ditunjukkan di atas). Bagi anda yang belum pernah melihat bagaimana meriahnya perlumbaan kuda longkang ini (serta mahu memahaminya dengan lebih lanjut), anda bolehlah menonton sedikit sedutan klip filem ini.




Permainan kuda longkang ini juga sudah pupus mungkin kerana ianya tidak lagi mendapat sambutan ramai kerana kesedaran masyarakat tentang kesan negatif perjudian. Kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk lesen penganjuran perjudian lumba kuda longkang. Jadi, kuda longkang ini boleh dianggap sebagai satu bentuk perjudian haram (sama statusnya seperti ekor haram). Tapi, pada masa dulu, tidak pernah ada operasi pembanterasan yang dijalankan oleh Pihak Polis atau Jabatan Agama Islam ke atas judi lumba kuda longkang ini.

Perlumbaan kuda mempunyai pengaruh yang cukup kuat ke atas rakyat Malaysia dan Singapura. Lihatlah. Sampai sekarang pun kita masih lagi menggunakan Kalendar Kuda ini. Ternyata, walaubagaimana cantik dan canggihnya kalendar-kalendar yang ada pada zaman sekarang, kalendar kuda tetap menjadi pilihan ramai. Sumber: koleksikalendarkuda.blogspot.com

Namun, acara lumba kuda longkang ini ada kebaikannya. Secara tidak langsung, kebersihan longkang-longkang tempat berlangsungnya perlumbaan akan sentiasa terpelihara kebersihannya. Nyamuk aedes dan spesis-spesis nyamuk yang lain pun tidak dapat membiak. Penganjur perlumbaan akan memastikan tiada sampah-sarap atau lumut yang tumbuh di dalam longkang. Begitu juga dengan barisan penonton. Mereka tidak akan sesekali membuang sampah ke dalam longkang.

27 Disember 2010

Telefon bimbit/selular "berbeg" Ericsson

Sehingga sekarang, saya masih keliru samada murid sekolah dibenarkan atau tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Jika dibenarkan, saya pasti murid sekolah mempunyai telefon bimbit yang jauh lebih canggih dan manggih dari cikgu-cikgi mereka. 

Semasa saya bersekolah dulu, tidak pernah langsung kelihatan murid sekolah yang membawa telefon bimbit. Bukan sahaja murid, malah cikgu sekolah pada masa itu pun tiada seorang pun yang ada telefon bimbit. Ketika itu, caj perkhidmatan dan harga telefon bimbit pun sangat-sangat mahal.

Tetapi, ada seorang Cikgu saya memiliki telefon bimbit. Tapi saya rasa telefon tersebut tidak layak dipanggil telefon bimbit. Cikgu saya tu tidak pernah sekali pun membimbit telefon tersebut kerana.....

Telefon bimbit "berbeg" Ericsson. Kenapa anda ketawa melihatnya? Membawanya ke hulu-hilir samalah seperti membimbit sebuah beg kecil.

Kalau anda lihat gambar di atas, pasti anda tahu sebabnya mengapa Cikgu saya itu tidak pernah bimbit telefonnya. Ketika ini, telefon di atas lebih dikenali sebagai telefon mudah-alih (bukannya telefon bimbit), kerana ianya boleh dialih-alihkan dengan mudah, walaupun agak berat. Beratnya hampir menyampai berat tiga buah laptop skrin 14 inci. Ketika ini (sekitar tahun 1992), hanya perkhidmatan pasca-bayar (postpaid) sahaja yang ditawarkan oleh Telekom  Malaysia. Perkhidmatan Pra-bayar (pre-paid) merupakan satu konsep yang tidak pernah didengari langsung. Satu-satunya talian telefon bimbit yang ditawarkan ketika itu ialah talian "ATUR" (Automatic Telephone Using Radio). Jika anda mahu bil telefon rumah anda melambung-lambung, cubalah hubungi mana-mana nombor telefon ATUR ni. Cajnya memang tinggi ketika itu.

Jangan risau. Kejadian terlupa di mana anda tertinggal telefon bimbit tidak akan sesekali berlaku sekiranya anda menggunakan telefon mudah-alih "berbeg" seperti model telefon Ericsson di atas.

Berbalik kepada kisah Cikgu saya dan telefon mudah-alihnya itu. Cikgu "A" (tuan empunya telefon di atas) merupakan seorang guru sebuah sekolah agama rakyat (lebih dikenali sebagai sekolah petang). Cikgu "A" ini tidaklah begitu berbangga dengan telefonnya ini, tapi kadang-kadang tu berlagak juga. Sebab mengapa beliau memerlukan sebuah telefon mudah-alih adalah kerana beliau mempunyai perniagaan sendiri pada masa yang sama (part-time business). Saya tidak berapa pasti tentang hal ini, tapi ramai kawan-kawan sekolah saya yang mengatakan beliau menjalankan perniagaan mengorek pasir. Tidak tahulah sejauh mana kebenarannya...


Ini bukan gambar industri mengorek pasir tetapi gambar kanak-kanak bermain pasir di pantai. Gambar industri mengorek pasir tidak ditunjukkan kerana penulis berasa gusar untuk meletakkannya di dalam blog. Industri mengorek pasir adalah bidang perniagaan yang begitu sensitif pada masa sekarang


Cikgu A selalu meletakkan telefonnya di dalam kereta Mercedes S-Class miliknya yang berwarna hitam. Keretanya selalu diletakkan di hadapan biliknya yang terletak bersebelahan dengan kelas tempat saya belajar. Punyalah tak bestnya, lokasi kelas sebelah bilik Guru Besar. Cikgu A suka meletakkan telefonnya di dalam kereta atas beberapa faktor seperti berikut:
  1. Telefon itu perlu dicas menggunakan charger yang di"plug" kan terus ke sistem bateri kereta. Kadang-kadang beliau cas juga menggunakan plug soket di dinding sekolah. Tapi, mungkin malas nak bawa ke hulu-hilir sebab berat. 
  2. Leceh agaknya, sekejap kena cabut telefon keluar dari sistem plug di kereta, sekejap nak kena plug-in kembali...
  3. Beliau lebih selesa untuk berkomunikasi di dalam kereta agaknya. Lebih privacy...


Kereta Mercedes S-Class hitam yang saling tak tumpah sama seperti kereta yang dipakai oleh Cikgu A. Cuma nombor pendaftaran sahaja yang berbeza.

Disebabkan beliau suka meletakkan telefonnya di dalam kereta, maka kerapkali proses pembelajaran kami terganggu. Apa tidaknya, ketika Cikgu A tengah mengajar, telefonnya selalu berbunyi. Walaupun terletak dalam kereta yang bertutup rapat cermin tingkapnya, bunyi telefon tersebut begitu kuat sehingga ada pelajar perempuan yang terkejut melatah setiap kali ianya berbunyi.

Bila terdengar sahaja deringan telefon, maka Cikgu A pun terus bergegas sambil berlari pergi ke keretanya untuk menjawab panggilan telefon tersebut. Bergantung kepada keadaan, kadang-kadang lama dan kadang-kadang terlalu sekejap sangat beliau berkomunikasi. Kalau yang sekejap itu, mungkin panggilan "miss-call" agaknya, minta telefon balik.

Jadi, setiap kali telefon Cikgu A berbunyi, kami berbisik sambil tergelak sesama sendiri, "Bisnes besar lah tu..."